Ilmu, budaya penyelidikan pemacu sektor awam

Ilmu, budaya penyelidikan pemacu sektor awam

KEPUTUSAN kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam tepat pada masanya selepas mengambil kira kos sara hidup yang sedikit meningkat ketika ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYELIDIKAN merupakan jentera yang memacu sektor awam untuk menjana pengetahuan dan pendekatan baharu. Selain memberi peluang kepada sektor awam untuk merekayasa semula proses dan struktur kerja, ia juga merangsang penciptaan idea kreatif dan inovatif di semua peringkat. Dalam konteks ini, daya saing sektor awam dapat diperkukuhkan melalui penyelidikan berimpak tinggi.

Penyelidikan menawarkan kelebihan kepada sektor awam untuk kekal relevan dan mampan kerana ia mampu menggubal dan melaksanakan dasar yang pragmatik. Ia melengkapkan kakitangan awam dengan kemahiran dan kepakaran untuk mengeksploitasi pengetahuan dan peluang baharu, sambil mempercepatkan momentum agenda kerajaan.

Menyedari bahawa penyelidikan memainkan peranan penting dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar, sektor awam mempunyai kedudukan yang unik untuk menggalakkan pembudayaan penyelidikan bagi memastikan dasar-dasar yang digubal mampan dan diterima baik oleh rakyat. Sehubungan dengan itu, penggubalan, pelaksanaan dan penilaian dasar-dasar berasaskan penyelidikan perlu diperluaskan dalam sektor awam.

Ketika kita melangkah memasuki era ketidakpastian dan penuh dengan pelbagai cabaran global, keupayaan untuk menjalankan penyelidikan melibatkan kecekapan adalah antara ciri atau sifat yang sangat dicari dalam sektor awam, selain daripada pemikiran strategik dan kemahiran kepimpinan yang kukuh. Oleh itu, sektor awam yang menunjukkan tahap keupayaan tinggi untuk menggubal dasar berasaskan bukti akan dapat memberi impak positif kepada rakyat serta menyelesaikan isu-isu dan masalah negara melalui ilmu penyelidikan yang berkualiti tinggi.

Dalam konteks ini, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menganjurkan siri Kolokium Penyelidikan tahunan dengan objektif untuk mewujudkan satu wadah perkongsian mengenai kajian-kajian yang telah dilaksanakan oleh penjawat awam serta mengenal pasti hasil kajian yang mempunyai implikasi dan impak positif ke atas dasar kerajaan untuk tujuan penambahbaikan.

Kolokium penyelidikan ini, secara khususnya menyediakan platform kepada penjawat awam yang telah menamatkan pengajian pascasiswazah peringkat sarjana dan kedoktoran (PhD) di bawah biasiswa latihan kerajaan untuk berkongsi hasil penyelidikan mereka.

Program tahunan ini yang diadakan sejak 2017 mencerminkan kepentingan penyelidikan dalam sektor awam. Selain bagi tujuan penyebaran pengetahuan dan perkongsian ilmu kepada penjawat awam, hasil dapatan daripada kajian yang telah dijalankan oleh penerima Hadiah Latihan Persekutuan, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong serta kajian para penyelidik di agensi dan kementerian-kementerian juga dimanfaatkan di dalam penjanaan dasar-dasar dan peraturan-peraturan awam yang bertepatan dengan konteks piramid Data-Information-Knowledge-Wisdom (DIKW).

Ia juga menjadi dukungan kepada prinsip untuk membudaya dan mengembangkan amalan keilmuan serta penyelidikan dalam sektor awam yang dapat menjadi wahana dan juga wacana pembelajaran sepanjang hayat yang dapat membantu dalam mencetus dan meneroka pengetahuan ilmu baharu.

Sesungguhnya, keupayaan penjawat awam dalam menjalankan penyelidikan bukan sahaja akan memberi impak dalam proses penggubalan dasar tetapi juga membawa kesan limpahan yang meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam. Untuk kekal berdaya saing, sektor awam mesti mencipta nilai daripada penyelidikan dan dapatan serta penemuan yang diperoleh.

Kejayaan dalam menggubal dasar yang baik juga bergantung kepada kemampuan dan kemahiran penjawat awam menggunakan kaedah dan teknik yang terbaik disamping mengaplikasikan dapatan-dapatan daripada kajian dan penyelidikan terkini.

Dalam erti kata lain, penyelidikan bukan sahaja menghasilkan pengetahuan dan nilai baharu kepada sektor awam tetapi juga meningkatkan kebolehpercayaan bahawa cadangan yang dikemukakan berdasarkan penyelidikan akan mampu menghasilkan dasar yang lebih jitu dan tadbir urus yang lebih baik.

Kebolehan dan kemampuan penjawat awam untuk menjalankan penyelidikan dan menyesuaikan dasar atau polisi yang digubal adalah sangat diperlukan sebagai tindak balas terhadap perubahan di peringkat global dan persekitaran.

PENYELIDIKAN SEKTOR AWAM
Dengan matlamat membawa sektor awam ke tahap yang lebih tingg, bertaraf dunia serta pemangkin perubahan, agensi kerajaan boleh menjadi peneraju bidang penyelidikan sektor awam. Usaha untuk meningkatkan kualiti penyelidikan sektor awam dan memperkasakan penjawat awam dalam menjalankan penyelidikan berimpak tinggi boleh dimanfaatkan melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman serta kerjasama antara agensi. Sesungguhnya, penyelidikan boleh menawarkan alternatif, strategi dan ilmu baharu untuk meningkatkan penyertaan dan mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan.

Sehubungan dengan itu, Kolokium Penyelidikan tahunan ini telah membuka jalan kepada INTAN untuk menjadi titik fokus dalam perkongsian, pengumpulan dan penyusunan data serta menerbitkan hasil penyelidikan daripada pelbagai disiplin, dengan cadangan dan penyelesaian kepada masalah atau isu boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam. Di samping itu, hasil kajian dan penemuan baharu melalui penyelidikan juga dapat memantapkan lagi organisasi.

Organisasi yang hebat ialah organisasi yang mencabar status quo dan menafikan kaedah konvensional melalui penyelidikan di mana hasilnya boleh dikongsi dan digunakan merentas sektor dan industri.-UTUSAN

PENULIS ialah Perunding Latihan Institut Latihan Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×