PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Tang Cheng Hoe berkata, kehadiran Alvin Fortes akan menambah sengat mereka di bahagian sayap sekali gus menguatkan serangan yang akan di terajui penyerang Chile, Ronnie Hernandez.
Biarpun Gergasi Merah mempunyai Faisal Halim di bahagian sayap, tetapi Selangor dilihat tidak begitu mengancam di posisi berkenaan pada musim lalu kerana kekurangan pemain yang mempunyai kualiti seperti pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
Selain itu, Cheng Hoe turut berharap Fortes dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama Selangor FC dan pengalamannya beraksi di Thailand bersama-sama Ratchaburi FC dijangka dapat membantu pemain berumur 29 tahun itu.
“Pada musim lalu, pasukan kami kekurangan pemain sayap semula jadi yang boleh menyumbang kepada kekuatan di bahagian serangan.
“Dengan mempunyai pengalaman beraksi di Liga Thailand, saya berharap Fortes tak akan ambil masa lama untuk sesuaikan diri bermain di sini,” ujar Cheng Hoe.
Dalam masa yang sama, bekas pengendali skuad kebangsaan itu berharap kehadiran Fortes dapat membantu Selangor memberikan cabaran sengit di kejohanan Asia kelak.
Mewakili Malaysia di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), sudah pasti Cheng Hoe mahukan Selangor menyengat dan kerana itu Fortes direkrut bagi menguatkan Gergasi Merah.
“Mempunyai Fortes akan membolehkan kami untuk mengatasi kesukaran dia kedua-dua belah sayap, terutamanya apabila beraksi di kejohanan Asia kelak,” kata Cheng Hoe.
Bersama Ratchaburi, Fortes menjaringkan tujuh gol serta dua bantuan jaringan dalam 22 penampilannya untuk kelab tersebut.
Selain itu, Fortes juga pernah beraksi di Liga Georgia bersama FC Dila Gori dan mencetak 16 gol serta mencatat 11 bantuan gol dalam 51 penampilan.
Fortes terus juga pernah beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama kelab Uzbekistan, FC AGMK selain memiliki pengalaman di Liga Thailand bersama Nongbua FC dan Ratchaburi.
Untuk rekod, Fortes merupakan pemain import ketiga buat ‘The Red Giants’ selepas Umarbek Eshmurodov dan juga Fernandez. – UTUSAN










