SEJAK kebelakangan ini, ramai saudara-mara dan rakan sekolah serta universiti yang berusia lingkungan antara 30 dan 40 tahun sudah meninggal dunia kerana menghidap penyakit tiga serangkai atau penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kolesterol, darah tinggi dan diabetes. Tidak kurangnya ada juga dimasukkan ke hospital secara mengejut setelah pengsan di tempat kerja dan kemudian disahkan menghidap strok.
Lebih menyedihkan ada dalam kalangan mereka terpaksa berhenti kerja walaupun sudah berpangkat tinggi, kerana terlantar di atas katil sekali gus menyebabkan keluarga hilang bergantung manakala isteri dan anak-anak pula terpaksa memerlukan bantuan baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan kehidupan.
Malah penulis pada minggu lalu pergi ke salah sebuah klinik kesihatan kerajaan di Lembah Klang kerana demam, alangkah terkejut melihat ruang menunggu dipenuhi pesakit berusia lingkungan 30-40 tahun yang sudah bertongkat dan berkerusi roda berbanding satu ketika dahulu hanya warga emas.
Demikian situasi semasa berlaku dalam kalangan rakyat akibat padah penyakit tiga serangkai yang berpunca daripada masalah obesiti kerana berat badan berlebihan, kegagalan mengawal pemakanan dan tidak bersenam serta cara hidup yang tidak sihat seperti pengambilan alkohol dan menghisap rokok.
Secara umumnya masalah obesiti di Malaysia amat membimbangkan apabila kira-kira 50.1 peratus dalam kalangan rakyat negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan sekali gus kekal sebagai isu utama kesihatan awam.
Malah, menerusi data dikeluarkan Kementerian Kesihatan, kadar obesiti negara ini adalah tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus yang mengatasi Brunei yang mencatatkan 14.1 peratus dan diikuti Thailand 10 peratus dan Indonesia pula sebanyak 6.9 peratus.
Melihat data-data tersebut, semua masyarakat justeru itu perlu melihat obesiti sebagai masalah serius kerana ia mengundang pelbagai penyakit termasuk tiga serangkai seperti kolesterol, darah tinggi dan diabetes, apatah lagi kanser.
Jika sudah terkena NCD misalnya serangan jantung, kencing manis dan strok bermula hari pertama, pada saat itu tiada gunanya menyesal kerana masing-masing perlu menjalani rawatan sepanjang hayat termasuk terpaksa berkerusi roda dan dipapah ke tandas akibat masalah pergerakan badan tanpa mengira seseorang itu pernah bergelar ketua pegawai eksekutif, profesor, peguam mahupun seorang jutawan.
Namun, sejauh mana usaha untuk melawan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia sedangkan tabiat pemakanan tidak sihat sejak usia muda sukar dibendung dan terbawa-bawa sepanjang hayat, misalnya pengambilan gula berlebihan dan tidak melakukan aktiviti fizikal hingga berat badan berlebihan di mana seseorang itu mempunyai peratus lemak melebihi paras normal iaitu lebih daripada 25 peratus bagi lelaki dan 35 peratus bagi perempuan.
Tidak dinafikan Malaysia merupakan syurga makanan dan sebut sahaja hidangan lazat, anda mahu makanan Korea, Jepun, Arab, Barat dan sebagainya, semuanya muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan kerana di mana sahaja berada dan mudah sahaja restoran menjual juadah tersebut.
Selain itu, majlis perkahwinan dan pelbagai musim perayaan yang menyajikan kenduri dan rumah terbuka sekali gus memberi ruang kepada rakyat tanpa mengira bangsa untuk bersama-sama menjamu hidangan tanpa had dan ia bermula Januari sehingga Disember.
NAFSU
Namun, restoran dan peniaga makanan tidak harus dipersalahkan kerana sudah menjadi lumrah mereka untuk mewujudkan penawaran dan permintaan, namun harus dituding jari adalah nafsu manusia itu sendiri bagaimana untuk mengawal tabiat pemakanan dan disusuli dengan gaya hidup yang sihat.
Tambahan pula tabiat buruk pemakanan ini bermula sejak usia kecil lagi setelah Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia (NHMS) 2022 mendapati 6.0 peratus kanak-kanak mengalami masalah berat badan berlebihan manakala terdapat peningkatan prevalen (tersebar luas) berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun iaitu daripada 26.9 peratus pada 2012 kepada 30.4 peratus pada 2017.
Data ini menunjukkan bahawa satu daripada tiga orang murid sekolah mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Sampai bila Malaysia mahu menjadi ‘jaguh’ obesiti hingga kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM9.65 bilion merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan di Malaysia bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit akibat gaya hidup tidak sihat.
Justeru, semua rakyat tanpa mengira usia muda atau tua perlu menjadikan 2024 sebagai tahun melawan obesiti seperti mana kita berperang virus Covid-19 selama tiga tahun, maka situasi sama perlu dilakukan untuk menukar status sebagai negara paling tinggi obesiti kepada negara paling sihat.
Bermula 1 Januari 2024, jadikan azam tahun baharu untuk mengubah pengambilan dan penyediaan makanan anda seperti mengurangkan makanan yang tinggi kandungan gula seperti kuih-muih yang manis dan aiskrim dengan menggantikan minuman manis dengan air kosong serta melebihkan pengambilan sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan.
Selain itu, melakukan senaman sederhana aktif seperti berjalan cepat atau berbasikal mengikut kemampuan anda. Dalam masa sama, melakukan aktiviti-aktiviti seperti menggunakan tangga di tempat kerja, melakukan sendiri aktiviti harian di rumah seperti menyapu sampah, mengemop lantai, mencuci pinggan mangkuk, mencuci kereta dan berkebun bunga.
Semua aktiviti ini adalah percuma tanpa melanggan gimnasium atau membayar yuran acara larian, asalkan mempunyai kehendak dan kemahuan untuk melakukan gaya hidup yang sihat.
Tanpa memberikan 1,001 alasan, semua rakyat Malaysia patut bermula dari sekarang untuk mengelakkan terus menjadi mangsa obesiti yang akhirnya membawa padah kerana individu yang berlebihan berat badan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, sakit sendi dan penyakit jantung.
Obesiti juga meningkatkan risiko bagi sesetengah jenis kanser seperti kanser kolon, rektum dan payudara serta turut memberi kesan kepada pergerakan dan ketahanan fizikal tubuh. Mereka yang obes juga mungkin mempunyai kurang yakin terhadap penampilan diri sendiri. Jadi kena bermula pada hari ini, rakyat kena melawan obesiti.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










