Israk Mikraj bagi hiburkan nabi SAW

Israk Mikraj bagi hiburkan nabi SAW

SATU kewajipan buat umat Islam untuk mengasihi dan mencintai Baitulmaqdis kerana kota suci ini disebut di dalam al-Quran sebagai sebuah kota yang diberkati oleh Allah SWT dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISRAK dan Mikraj adalah kurniaan Allah dalam bentuk tasliyah (hiburan) kepada Nabi Muhammad SAW. Ini berikutan baginda dilanda perasaan dukacita kerana dua insan disayangi meninggal dunia. Mereka ialah isteri baginda iaitu Khadijah dan juga bapa saudaranya, Abu Talib.

Kedua-dua insan ini bukan sahaja amat banyak membantu tugas dakwah baginda, malah mereka juga boleh dianggap tunggak kepada meluasnya penyebaran Islam di Mekah walaupun Abu Talib meninggal sebelum memeluk Islam.
Perjalanan baginda SAW dalam Israk dan Mikraj adalah bagi mendidik ummah bahawa ada masa dan ketikanya kita perlu berehat, bermusafir atau makan angin untuk memberi motivasi kepada diri.

Tambahan pula, semasa dalam pemusafiran banyak perkara boleh kita pelajari hasil pemerhatian terhadap peninggalan sejarah dan juga persekitaran. Selain itu, semasa bermusafir juga, doa menjadi mustajab.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya: doa orang yang dizalimi, doa orang sedang musafir dan doa orang tua untuk anaknya. (Riwayat Tirmidzi)
Alhamdulillah, kita kini berada dalam bulan Rejab. Bulan yang menandakan kita semakin menghampiri Ramadan. Sebab itu kita digalakkan berdoa antaranya yang bermaksud: Ya Allah berkatilah aku dalam bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan aku ke bulan Ramadan.

Sebagai persiapan menghadapi Ramadan, elok juga membiasakan diri berpuasa sunat. Ada peluang untuk kita melakukannya bermula semalam iaitu ayyamul bidh (puasa hari putih) pada 13, 14 dan 15 Rejab. Bagi yang terlepas, boleh berpuasa sunat Isnin dan Khamis.

Mengenai Israk dan Mikraj, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjdilharam (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al-Israk: 1).

Di negara kita, menjadi kelaziman untuk umat Islam memperingati malam tersebut dengan pelbagai majlis ilmu antaranya ceramah dan forum. Semuanya bagi menguatkan lagi pemahaman dan memberi motivasi ke arah istiqamah beribadat terutama menunaikan solat fardu.

Israk bermaksud perjalanan di malam hari iaitu perjalanan Nabi SAW pada suatu malam dari Masjidil al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Adapun perkataan Mikraj menurut bahasa bermaksud naik. Secara istilah membawa makna Nabi SAW naik ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa Mikraj juga dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (Iaitu) di Sidratul Muntaha. Dekatnya ada syurga tempat tinggal. (Nabi Muhammad melihat Jibril) ketika di Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Nabi Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar. (al-Najm: 13-18)

Antara perkara utama dalam Israk dan Mikraj adalah baginda SAW menerima perintah solat fardu secara langsung daripada Allah. Ini dilakukan tanpa perantaraan malaikat Jibril. Bermula daripada 50 waktu dan akhirnya lima waktu.

Sebab itu juga solat berada pada kedudukan kedua dalam rukun Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah. Hal ini juga menunjukkan keistimewaan dan kelebihan ibadat solat berbanding ibadat lain.

Walaupun solat fardu hanya tinggal lima waktu, masih ramai umat Islam yang gagal menunaikannya akibat diperdaya oleh syaitan. Ia dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45)

Solat adalah paling penting dalam kategori ibadat dan menjadi pertanyaan utama di hadapan Allah semasa dibicarakan di padang mahsyar kelak. Tanpa solat, segala amal ibadat lain akan sia-sia. Sebab itu juga solat disebut sebagai tiang agama. Tanpa tiang, rumah tidak mampu berdiri teguh dan pasti akan roboh.

PALESTIN
Bulan Rejab juga terus mengingatkan kita tentang saudara seagama kita di Palestin. Lebih-lebih lagi mereka kini sedang diserang oleh tentera Israel sejak 7 Oktober 2023. Bukan itu sahaja, ia juga mengingatkan kita tentang kedudukan Masjid Aqsa yang masih dikuasai oleh rejim zionis.

Palestin adalah salah satu tanah suci buat umat Islam seluruh dunia. Di sana juga diutus ramai para anbiya’ (nabi) dan rasul. Di samping itu juga, telah menjadi satu kewajipan buat umat Islam untuk mengasihi dan mencintai Baitulmaqdis kerana kota suci ini disebut di dalam al-Quran sebagai sebuah kota yang diberkati oleh Allah SWT sekelilingnya kerana tempat tersebut telah menjadi tempat perjalanan Nabi SAW pada peristiwa Israk dan Mikraj.

Untuk itu, teruskan berdoa untuk umat Islam di Palestin terutama di Gaza. Teruskan juga tindakan memboikot produk-produk keluaran Israel dan sekutu-sekutunya mengikut kemampuan kita. Sekurang-kurangnya, tindakan ini walaupun kecil akan menjadi hujah kita apabila disoal di hadapan Allah kelak tentang apa yang dilakukan untuk membantu Palestin.

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam Tafsir al-Munir, Masjid al-Aqsa di dalam surah al-Israk ini adalah Baitulmaqdis. Dinamakan Masjid al-Aqsa adalah kerana jaraknya yang jauh daripada Masjidilharam. Ia juga merupakan masjid yang paling jauh daripada ahli Mekah di atas muka bumi ini yang dituntut atau disyariatkan bagi kita untuk menziarahinya.

Kita juga hendaklah sentiasa menjauhi perkara mungkar yang dilarang. Semasa Israk dan Mikraj, Nabi SAW dibawa melihat suasana di neraka dengan pelbagai bentuk penyiksaan terhadap orang yang mengingkari perintah Allah. Semua ini sebagai iktibar kepada kita agar sentiasa berusaha melakukan kebaikan dan menjauhi perkara maksiat.

Kisah Nabi SAW berulang-alik bertemu Allah untuk meminta keringanan daripada 50 waktu solat fardu sehingga hanya lima waktu juga memberi gambaran untuk kita sentiasa memohon kepada Allah SWT. Paling penting jangan sekutukan Allah dengan apa juga benda lain.

Inilah antara kehebatan Allah yang suka akan hamba-hamba-Nya yang meminta kepadanya. Luasnya rahmat dan kekayaan Allah itu tidak terkira sehinggakan tiada batasan untuk Allah kurniakan dan kabulkan segala permintaan kita sebagai hamba-Nya. Jangan pula kita menjadi manusia yang sombong sehingga enggan memohon kepada Allah.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (al-Ghafir: 60)-UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×