Institusi menara gading juga tidak terkecuali daripada warna-warni kisah, sama ada kisah-kisah indah tentang pelbagai kejayaan yang diraih ataupun polemik yang masih belum ada jalan tuntas penyelesaian.
Nukilan ini menyentuh sebahagian isu-isu yang berlegar di institut pengajian tinggi (IPT) dan menjadi buah mulut masyarakat dan juga tinta rasa daripada seorang tenaga pensyarah muda yang masih meniti jalan dan bakti di menara gading, namun punya harapan yang besar untuk menggalas dengan baik tanggungjawab sebagai pendidik anak bangsa.
Covid-19 sudah tidak boleh dijadikan alasan berterusan untuk warga akademik bersikap sambil lewa akan isu kemerosotan pelajar melanjutkan pengajian. Walau bagaimanapun, pandemik ini telah mengubah dimensi bagaimana bakal graduan, ibu bapa dan pemain industri melihat fungsi IPT dan sistem sokongan yang berkaitan. Bagi bakal graduan dan ibu bapa melihat adakah dengan melanjutkan pengajian, kerjayanya sudah terjamin dengan gaji yang menepati kehendak?
Fenomena ekonomi gig juga menjadikan isu kemasukan pelajar menjadi lebih rumit. Pasaran ekonomi gig yang terbuka luas, tanpa batas sijil dan transkrip bergraduat menjadi laluan kerjaya yang dilihat mampu menawarkan imbuhan yang lebih tinggi, lebih-lebih lagi dengan kebebasan masa dan tempat bekerja yang lebih anjal.
Nilai ‘kosmetik’ yang ada pada industri gig sememangnya menjadi kegemaran generasi baharu yang cenderung kepada kebebasan dan tidak terikat kepada majikan. Kerjaya baharu seperti pempengaruh media sosial yang disadur dengan elemen kemewahan dan populariti menjadikan graduan mula menilai, apakah berbaloi menghabiskan masa empat tahun mengejar segulung ijazah yang belum tentu menjanjikan kerjaya dan kehidupan yang indah?
Tidak cukup dengan isu itu, ramai yang meragui kualiti graduan yang dihasilkan terutamanya ketika era pandemik apabila pengajaran dan pembelajaran sebahagiannya berlangsung di rumah. Lebih merumitkan, jurang perbezaan generasi baharu yang kurang anjal dan sukar beradaptasi dengan cabaran khususnya di alam pengajian menjadikan keberhasilan graduan seringkali dipersoalkan. Atau persepsi ini cuma wujud akibat penilaian pramatang generasi lama yang menjustifikasi bahawa graduan mesti merasa keperitan dan kepayahan hidup seperti di zaman mereka, untuk berjaya.
Isu seperti bayaran elaun latihan industri kembali mencuit warga mahasiswa sekitar pertengahan 2023. Dilema antara kewajiban menjalankan latihan industri dan keperluan hakiki untuk menampung kos sara hidup semasa dalam latihan menyebabkan mahasiswa berdepan jalan buntu dengan pilihan yang sangat terhad.
Sesetengah pemain industri pula berpendapat, elaun latihan industri bukanlah wajib kerana mereka sudah menjalankan tanggungjawab sebagai penyedia prasarana latihan.
APA YANG DIKEJAR?
Isu ranking IPT barangkali tidak begitu dirasai oleh warga bukan akademik, namun tinggi rendah kedudukan sesebuah universiti itu menjadi perhatian bakal graduan, ibu bapa bahkan masyarakat umum. Saban tahun, negara diperlihatkan dengan pencapaian universiti-universiti tersohor tanah air semakin meniti ranking beberapa penarafan universiti seperti Times Higher Education (THE) dan QS World University Ranking (QS).
Ketika isu ini masih belum ada jalan penyelesaian, kedudukan ranking tetap menjadi nilai estetik yang gah dipamerkan di papan iklan dan media arus perdana, lalu kecemerlangan dari segi kedudukan ranking diterjemahkan secara bulat-bulat sebagai penanda aras sesebuah universiti sehingga menjerumus kepada kemerosotan kemasukan pelajar domestik dan antarabangsa.
Seorang pensyarah harus mampu melaksanakan komponen asas 7P iaitu pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan atau penerbitan, perundingan, perkhidmatan kepada masyarakat dan pengkomersilan. Ketika tugas-tugas hakiki ini sedaya upaya dilaksanakan, warga akademik sekali lagi dicuit dengan isu penerbitan dalam jurnal pemangsa (predatory journals).
Desakan untuk menghasilkan penerbitan ilmiah dalam jangka waktu yang singkat menjadi salah satu punca pensyarah menerbitkan artikel dalam jurnal pemangsa, sama ada secara sedar atau tidak. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil langkah drastik dengan mengenakan larangan terhadap seluruh universiti awam (UA) menggunakan peruntukan dana kerajaan untuk tujuan penerbitan oleh tiga penerbit antarabangsa yang terpalit dengan kontroversi jurnal pemangsa iaitu Hindawi, Frontier dan MDPI.
Langkah agresif ini dilihat sebagai cara untuk mengelakkan peruntukan dana dihabiskan kepada penerbit yang semakin mengabaikan aspek kualiti dan menjadikan penerbitan ilmiah sebagai lubuk perniagaan semata-mata.
Selain itu, para pensyarah juga berdepan cabaran untuk sentiasa setanding dengan pencapaian industri, melalui hasil-hasil penyelidikan, konsultansi dan pengkomersialan. Mengejar kualiti setaraf pemain industri, masyarakat juga menunggu akan impak seorang pensyarah dan universti dalam menyelesaikan permasalahan komuniti. Sesungguhnya, kesarjanaan dan kewibawaan warga akademik cukup mencabar sehingga melemahkan jati diri seorang pensyarah, namun inilah amanah yang perlu dipikul.
TUGAS BERSAMA
Justeru, merupakan tugas bersama untuk memartabatkan dan merakyatkan menara gading. Isu-isu yang telah dikemukakan, tidak harus menjadi perdebatan berlarutan tanpa solusi. Ada penyelesaian menang-menang, ada juga yang perlu didamaikan.
Bagi mengatasi masalah kemerosotan kemasukan pelajar, universiti mengorak langkah drastik dengan transformasi penawaran dan rombakan kursus-kursus yang seiring dengan kehendak industri, penawaran peluang pengajian secara mod separuh masa dan kelayakan mikro bagi menarik lebih ramai bakal mahasiswa lepasan sekolah menengah mahupun kepada golongan yang sudah bekerja.
Jurang perbezaan generasi juga cuba diatasi dengan lebih banyak aktiviti di luar bilik kuliah melibatkan mahasiswa bersama industri dan masyarakat. Program seperti University for Society (SULAM) merupakan salah satu contoh integrasi pembelajaran luar bilik kuliah yang mampu menghubungkan mahasiswa bersama komuniti dan mampu merapatkan jurang merentas perbezaan generasi.
Perlu juga ada satu langkah strategik bagaimana universiti secara amnya, tidak terjebak dengan perlumbaan rangking yang barangkali menuntut implikasi kewangan yang besar. Penarafan domestik seperti kerangka penilaian Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) dan Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) seharusnya dimartabatkan sepertimana disarankan Akademi Profesor Negara.
Menara gading bukan kilang menghasilkan robot, sebaliknya perlu kekal relevan melahirkan insan yang berilmu, bersahsiah tinggi serta menjadi pelapis buat negara.-UTUSAN
DR. Abdul Nasir Abd. Ghafar ialah Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP).










