IDEA berkenaan dengan hak asasi manusia ini diwujudkan selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Perang Dunia Kedua. Deklarasi ini telah diterima semasa mesyuarat plenari ke-183 Persidangan Agung PBB di Perancis pada 10 Disember 1948.
Selain daripada UDHR, rujukan mengenai hak asasi juga boleh dilihat melalui Deklarasi Kaherah pada 5 Ogos 1990 yang diguna pakai untuk melihat, secara khusus, hak asasi dalam Islam.
Tidak cukup dengan dua dokumen tersebut wujud juga Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN tahun 2012 yang diwujudkan bagi memperkasakan situasi hak asasi manusia di negara anggota ASEAN.
Mungkin timbul persoalan manakah satu deklarasi yang ideal dan mengikat Malaysia dalam hal hak asasi manusia? Jawapan kepada persoalan ini adalah tiada mana-mana deklarasi yang menjadi mutlak terpakai dan mengikat sebarang negara berdaulat. Dokumen- dokumen ini menjadi komitmen kesemua negara anggota untuk memelihara dan menjamin hak asasi manusia.
Bagi memantau negara-negara anggota supaya memelihara hak asasi manusia, pada Mac 2006 melalui resolusi 60/251, PBB telah mewujudkan satu mekanisme bagi mengukur hak asasi manusia yang dikenali sebagai Semakan Berkala Sejagat (UPR).
Bagi proses ini setiap negara, termasuklah Malaysia, akan menjalani semakan selama setiap lima tahun. Kini proses UPR memasuki pusingan keempat pada November 2022.
Bagi sesi UPR ini, giliran Malaysia untuk disemak akan berlangsung di Geneva pada 25 Januari ini (semalam). Proses UPR ini adalah platform bagi negara-negara anggota memaklumkan tindakan yang telah diambil untuk memelihara hak asasi manusia di negara masing-masing dan penambahbaikan yang dilakukan oleh negara anggota.
Pada masa yang sama, UPR ini juga boleh menjadi satu platform untuk menggesa mana-mana kerajaan untuk menerima konvensyen antarabangsa sebagai satu komitmen kerajaan bagi memelihara hak asasi manusia. Melalui proses inilah sesetengah pertubuhan masyarakat sivil (CSO) melobi agar Malaysia meratifikasi konvensyen antarabangsa atau menerima apa-apa cadangan untuk dilaksanakan di Malaysia.
Ini kerana dalam proses UPR, CSO boleh memainkan peranan yang aktif dan signifikan bila mana pihak CSO boleh menghantar laporan yang dikenali sebagai laporan pihak berkepentingan kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi PBB (OHCHR) bagi melaporkan pelanggaran hak asasi yang dikatakan telah berlaku di negara yang sedang disemak.
Laporan CSO merupakan satu daripada tiga laporan yang dihantar untuk proses UPR bagi sesebuah negara selain daripada laporan kerajaan bagi negara yang sedang dalam semakan dan kompilasi laporan institusi hak asasi manusia nasional dari negara terbabit. Contohnya dari Malaysia, institusi ini dikenali sebagai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Mana-mana CSO boleh terlibat dalam menghantar laporan pihak berkepentingan berdasarkan format yang ditetapkan. Secara ringkasnya, keutamaan dan kredibiliti diberikan kepada laporan CSO yang melaporkan situasi hak asasi manusia di lapangan.
Memandangkan terdapat ribuan CSO yang boleh dan layak memasukkan laporan pihak berkepentingan ke OHCHR, maka kesemua laporan yang disampaikan akan disemak dan isu-isu berbangkit akan dirumuskan oleh OHCHR dalam dokumen yang dinamakan Ringkasan Maklumat Pihak Berkepentingan.
7 TEMA
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) bagi Proses Semakan Berkala Sejagat telah terlibat secara terus dalam proses UPR ini khususnya melalui penyerahan laporan pihak berkepentingan ke OHCHR. Selain itu, MACSA turut menghantar delegasi ke Geneva.
Pada mulanya, dalam proses UPR pusingan ketiga yang berlangsung pada 2018, hanya terdapat 47 buah CSO yang menganggotai MACSA.
Kini MACSA dianggotai oleh 66 buah CSO yang mewakili pelbagai latar belakang dan memfokuskan tema hak asasi manusia tertentu berdasarkan kepakaran ahli CSO.
Dalam laporan MACSA kali ini, sebanyak tujuh tema yang diangkat iaitu marginalisasi komuniti dalam pembangunan ekonomi, sosial dan budaya; diskriminasi kepercayaan agama; wanita, kanak-kanak dan keluarga; hak banduan; hak pekerja; hak kebudayaan dan perpaduan nasional serta kebebasan bersuara dan berekspresi.
Isu- isu yang dibawa oleh MACSA bukanlah suatu isu baharu tetapi isu yang sering terlepas pandang oleh aktivis ‘hak asasi’.
Sebagai contoh, di bawah tema diskriminasi terhadap kepercayaan agama, MACSA membawa isu Islamofobia yang berlaku terhadap Muslim di Malaysia. Walaupun ada pihak yang berpandangan sinis terhadap isu Islamofobia di negara majoriti Muslim seperti di Malaysia tetapi hakikatnya prejudis sebegini masih berlaku. Begitu juga dengan isu pemakaian hijab bagi pekerja Muslim dalam sektor swasta yang masih lagi berlaku walaupun telah berulang kali diadukan.
Pendirian MACSA dalam isu hak asasi manusia adalah mudah iaitu apa-apa integrasi prinsip hak asasi manusia ke dalam dasar dan perundangan negara tidak boleh bercanggah dengan kepentingan negara. Hak asasi manusia tidak boleh lari daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan adat yang menjadi asas kepada masyarakat negara ini.
Apa-apa sahaja instrumen atau triti yang bercanggah dengan kepentingan nasional tidak wajar dipertimbangkan langsung oleh Malaysia. Dalam hal ini, kepentingan negara dan masyarakat melebihi daripada kefahaman hak asasi sesetengah pihak.
Tuntasnya, UPR boleh menjadi senjata untuk mengukuhkan pembinaan negara bangsa berdasarkan pengiktirafan hak asasi manusia yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana Islam merupakan terasnya.
Pada masa yang sama ia boleh menjadi pedang makan tuannya sekiranya UPR disalah guna oleh sesebuah pihak untuk meruntuhkan nilai yang selama ini menjadi pasak kepada pembentukan negara bangsa.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










