Celik digital senjata ampuh lawan jenayah siber

Celik digital senjata ampuh lawan jenayah siber

PROGRAM Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat yang dilancarkan pada 16 Januari lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor mampu merapatkan jurang literasi digital antara rakyat pelbagai latar belakang. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN telah melancarkan Program Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat yang merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap teknologi AI dan kesannya merentasi pelbagai bidang dalam kehidupan seharian.

Selain penekanan terhadap teknologi AI, program ini juga berhasrat untuk merapatkan jurang literasi digital antara rakyat pelbagai latar belakang.

Membincangkan kepentingan teknologi dari sudut manfaatnya kepada kehidupan seharian, perspektif lain yang perlu diketahui oleh masyarakat umum ialah cakna dan celik pengetahuan berkaitan teknologi digital dan AI secara tidak langsung mampu menjadi benteng menentang jenayah siber yang semakin berleluasa.

Jenayah siber ditakrifkan sebagai apa-apa bentuk perlakuan jenayah dilakukan dengan menggunakan peranti seperti komputer atau telefon pintar dengan sokongan rangkaian internet. Perlakuan jenayah tradisional seperti meragut, peras ugut dan pemalsuan dokumen yang biasanya melibatkan interaksi fizikal, kini hanya boleh dilaksanakan dengan semudah pengaturcaraan komputer dan perisian.

Lebih memburukkan keadaan, individu yang diserang tidak menyedari bahawa mereka sudah menjadi mangsa jenayah siber.

Berdasarkan laporan kajian buku Jenayah Siber di Malaysia yang diterbitkan oleh Institut Keselamatan Awam (IPSOM), hampir 70 peratus kes jenayah komersial kini dikategorikan sebagai kes jenayah siber. Lebih parah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman melaporkan peningkatan sebanyak 23 peratus kes jenayah dalam talian bagi tempoh Januari hingga September tahun 2023, dengan nilai kerugian mencecah RM687 juta.

Modus operandi jenayah siber mengambil peluang akan lemahnya literasi digital dalam kalangan masyarakat awam, terutamanya golongan warga emas yang kurang pendedahan akan keselamatan siber peranti mudah alih dan maklumat-maklumat peribadi yang disimpan mahupun dikongsi. Bayangkan sejumlah wang yang besar disimpan oleh golongan ini setelah penat lelah bekerja dan meniti persaraan, lesap dalam sekelip mata akibat tidak menyedari mereka memuat turun aplikasi dan fail atau melayari laman sesawang yang telah diolah dengan virus mahupun perisian hasad (malware).

Lebih memburukkan keadaan, maklumat peribadi yang telah diserang oleh fail dan perisian sebegini memungkinkan simpanan kewangan di mana-mana institusi kewangan yang lain juga berisiko lesap tanpa disedari oleh mangsa.

Dengan berkembang pesat teknologi AI, pelbagai kerja-kerja digital seperti penyediaan laporan, penjanaan imej, poster dan video menjadi lebih mudah, pantas dan hasil yang interaktif. Walau bagaimanapun, teknologi AI mampu menyumbang kepada jenayah siber yang lebih buruk daripada bermotifkan wang ringgit, jika disalahguna oleh tangan-tangan yang berkepentingan.

Dengan bantuan teknologi AI, sesuatu imej, suara dan rakaman palsu mampu dijana dengan hampir sempurna, membolehkan pemalsuan dokumen, penyebaran maklumat palsu dan fitnah terhadap peribadi dan organisasi menjadi lebih mudah.

Penyebaran maklumat palsu juga lebih mudah tersebar akibat sikap sesetengah masyarakat yang berkongsi bahan digital ini dengan sewenang-wenangnya tanpa semakan kesahihan terlebih dahulu. Situasi ini menggambarkan kesedaran digital, kematangan dan etika pengguna peranti mudah alih dan internet di negara kita berada pada tahap yang membimbangkan. Lebih parah, sikap sebegini berpotensi mencetuskan provokasi dan menggugat keharmonian masyarakat negara yang berbilang kaum, merentas pelbagai agama, adat dan kepercayaan.

BERSAHABAT DENGAN TEKNOLOGI
Tidak cukup dengan kebimbangan terhadap impak negatif teknologi AI, masyarakat juga dibayangi dengan paranoid teknologi bakal menggantikan sumber manusia, mengakibatkan kehilangan peluang pekerjaan, meruntuhkan ekosistem ekonomi tradisional dan melunturkan nilai-nilai estetika yang ada pada ketamadunan manusia. Sesungguhnya, sikap berperang dan bermusuh dengan arus teknologi yang berkembang pesat merupakan suatu langkah terkebelakang.

Hasrat yang di semat ke dalam Program AI Untuk Rakyat bukanlah suatu retorika yang hanya nampak indah pada laman sesawang serta ekosistem pembelajaran kendiri dalam talian yang telah dibangunkan.

Rakyat perlu melihat inisiatif kerajaan dengan kerjasama pemain industri ini merupakan suatu lagi langkah bagi menyediakan rakyat yang mampu beradaptasi dengan kepesatan teknologi, melindungi individu daripada impak negatif sekiranya ketinggalan serta membangunkan kefahaman dan kemahiran teknologi seiring dengan prinsip dan etika sebagai pengguna AI yang bertanggungjawab.

Ekosistem yang dibina ini diharapkan mampu disahut oleh seluruh rakyat, sesuai dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyasarkan sejuta rakyat Malaysia menggunakan program ini sehingga hujung 2024.

Dengan terbentuk masyarakat merentasi pelbagai latar belakang yang celik digital, disokong oleh kesiapsiagaan sistem keselamatan siber yang senantiasa dipertingkatkan, rangkaian jenayah siber mampu diruntuhkan agar bukan kita yang bakal menjadi mangsa seterusnya.-UTUSAN

DR. Abdul Nasir Abd. Ghafar ialah Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×