Bukan semua orang Melayu rasuah

Bukan semua orang Melayu rasuah

ORANG Melayu sering dijadikan umpan untuk mengaburi mata pihak berkuasa terhadap jerung sebenar dalam salah laku rasuah di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini terbaca satu pendapat ruangan serius berbahasa Inggeris tentang kedudukan orang Melayu amnya di Malaysia. Penulisan itu berkisar perihal rasuah dan perbuatan tidak beretika yang meruntuhkan maruah kaum tersebut, khasnya kebelakangan ini.

Kes rasuah semakin berleluasa melibatkan orang ternama dan memberi kesan terburuk kepada semua lapisan termasuk yang tidak berdosa. Langkah untuk menebus semula kedudukan mereka di mata dunia gagal memberi nafas baharu. Dasar yang digubal, walaupun berniat baik, disalahgunakan oleh pelbagai pihak yang dilaporkan mengaut untung untuk diri sendiri atau kelompoknya.

Khususnya apabila memegang tampuk kuasa berasaskan politik wang. Amalan ini walaupun merugikan banyak pihak serta negara umumnya, ia tidak berjaya dibasmikan. Malah terbit cogan wang itu raja, yang bermaksud kecenderungan kepada salahlaku melalui wang sebagai pelincir.

Manusia Melayu yang terkenal dengan sifat kesederhanaannya serta beradab dan tangkas menjaga maruah tiba-tiba dikatakan menjadi gelojoh, kurang adab dan tidak tahu malu. Mereka berlumba-lumba berebut kekayaan kebendaan mengorbankan silaturahim sesama mereka dan kekeluargaan melainkan yang sebulu dan mengampu satu sama lain.

Asalkan sama-sama rakus dan tamak, mereka dalam satu pasukan sepakat menentukan apa sahaja yang boleh dilakukan dengan cara menghalalkan matlamat. Membujur lalu, melintang patah. Talam dua muka, lidah bercabang dan berdusta terang-terangan tanpa rasa bersalah. Sempat tersenyum dalam cubaan menegakkan benang basah.

Dalam bab ini, ramai yang tersilap jangka, sengaja atau tidak, lantas cepat menuduh seluruh rumpun Melayu terlibat dan dihukum itu dan ini. Sudah jatuh ditimpa tangga, seolah satu kenyataan yang diuar-uarkan sebagai fakta. Orang Melayu didakwa merasuah sebagai satu amalan budaya yang sudah sebati serta melanggar amalan kesederhanaan dan sikap merendah diri. Sebaliknya, mereka membongkakkan ego dan berdengki-dengkian untuk mendahului sesama mereka. Bagaikan amalan kiasu kaum lain.

Hakikatnya, tohmahan buruk tidak mencakupi semua. Hanya tertera kepada kumpulan terpencil serta suku sakat tertentu sahaja. Tidak merata seperti yang diheboh-hebohkan, walaupun sudah agak melarat kerana beberapa faktor dan amalan terlazim begitu lama. Komplot Ali Baba salah satu darinya, sekali gus membuktikan bahawa rasuah dan perbuatan tidak beretika bukan milik mana-mana satu rumpun, tetapi empunya ramai merentas kaum dan budaya.

Sebuah negara jiran tetangga mengenal serta mengakui hakikat ini, lantas memberi upahan dan saraan yang antara terlumayan di dunia. Semata-mata untuk mengelakkan amalan rasuah bertunas serta salah kuasa berputik dalam kalangan peniaga, penjawat awam dan politikus.

Mereka sedar bahawa kelemahan rakyat terbesar adalah berjudi dan bertaruh nasib dalam banyak hal serta peringkat. Maka awal-awal menutup jalan kemudaratan, sungguhpun masih berlaku dalam kalangan para pengamal politiknya. Namun apabila terkesan, tindakan segera dan keras diambil sebagai pengajaran supaya tidak langsung bertapak sama sekali. Maka imej teramat bersih dikekalkan malah diangkat sebagai iltizam yang tidak dikompromi – cakap serupa bikin.

Tiada ruang untuk imej bossku yang direka-reka bagi mewajarkan segala bentuk rasuah serta selewengan. Hatta, bukannya satu kebetulan yang peranan sebagai dalang juga melibatkan kaum-kaum lain. Ini jelas digambarkan dalam sebuah filem terkini berasas dokumentasi berjudul Man on the move yang menampilkan watak-watak terkenal antarabangsa, termasuk pelakon Hollywood serta mereka yang berpengaruh dan berkepakaran tinggi. Orang Melayu, melainkan seorang dua, tidak ketara dalam filem tersebut!

Inilah yang perlu difahami dan diuar-uarkan segara kerana dakyah dan fitnah terhadap orang Melayu telah berlarutan tanpa teguran yang tegas. Malah ada antara para pemimpin Melayu turut menyebarluaskan karut yang sama atas bermacam alasan. Ada juga yang menjadi tunggangan pihak lain. Yakni, gila kuasa dan memfitnah sebagai satu usaha berbilang kaum sejak dahulu lagi. Ambil sahaja peristiwa penyalahgunaan dadah sejak 50 tahun, atau yang terkini skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih hangat diperkatakan.

LAPISAN
Sememangnya melalui saluran media rasmi melibatkan agensi-agensi kerajaan kelihatan ramai orang Melayu terpalit. Mungkin! Tetapi berita tersebut umumnya melibatkan kumpulan terkebawah sekali.

Lapisan 1.0, lebih kepada orang suruhan dan pembantu atau pegawai khas kepada orang berpengaruh. Lapisan yang lebih tinggi kuasa dan kepentingannya berselindung dari pengetahuan umum atau lincah berdolak-dalik supaya melepaskan diri dari tersepit.

Inilah lapisan 2.0. Ada lagi yang lebih tinggi makamnya dan hampir tidak kelihatan atau kalis itu dan ini. Mereka antara yang sering terlibat dalam merancang selok-belok projek rasuah berkenaan.

Akalnya panjang kerana berkesudahan terselamat dari balasan duniawi. Lapisan ini dikatakan acap bersekongkol dengan kaum-kaum lain yang lebih terdedah dan mahir pula memutar belitkan hal berkenaan.

Lapisan 5.0, cukup licin dan cekap mengelakan diri muka pengadilan. Seorang bergelar Jho Low tidak syak lagi satu antara yang dikagumi sehingga sampai kini kelibatnya tidak langsung kelihatan. Terdengar pelbagai berita tentang keberadaannya. Namun penangkapnya hambar dan tidak menghairankan kerana ia mendapat ‘suaka’ dari pihak yang sebulu seantero melibatkan lapisan gergasi yang tidak boleh sentuh.

Apapun semua ini sudah cukup menunjukkan betapa bagi soal rasuah bertaraf gergasi orang Melayu sekadar hamba sahaya sahaja tidak kira apa kedudukan rasmi serta pangkat dalam negara. Hanya perlu mengikut aturan serta telunjuk lapisan lebih atas belaka. Tiada pilihan kerana ketamakan menjerat diri.

Pun begitu mereka ini jugalah nanti dituduh menconteng arang kepada maruah bangsanya, sedang yang lain tertawa berdekah-dekah mengitung wang dalam bank hasil semangat berpasukan pelbagai bangsa. Bersaudara intim selagi rasuah mengeratkan pertalian bagi semua pihak tidak kira siapa, rupa dan bangsa. Seorang mengaru belakang yang satu lagi. Ada yang menang besar, ada yang sia-sia sahaja. Pun jadilah.

Pendek kata, orang Melayu tidak pandai menipu kerana ini bukan budaya jati hidupnya. Orang Melayu baru mahu belajar, mudah terperangkap, tidak berpengalaman dan dijadikan umpan. Apalagi tatkala mereka sudah pupus nilai budaya murni.

Diperhambakan serba-serbi dalam kegilaan dunia, kuasa dan harta. Tidak kisah bukan sahaja memalukan diri sendiri tetapi seluruh bangsa diseret merata dunia. Bak kata perpatah, kerana nila titik, rosak susu belanga.

Orang Melayu terus menanggung malu yang amat sangat. Sudah sampai masanya orang Melayu bertindak supaya tidak lagi disederetkan dengan yang jalang durjana untuk selama-lamanya!-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN