Bersama mengangkat martabat pendidikan tinggi negara

Bersama mengangkat martabat pendidikan tinggi negara

ZAMBRY Abd. Kadir memberi jaminan perubahan teraju kementerian hanya menyaksikan perubahan ‘lenggok kepimpinan’ sahaja tetapi semangat kecemerlangan yang dirintis akan dilanjutkan kesinambungannya.-UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM, 12 Januari, genap sebulan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir diposisikan sebagai Menteri Pendidikan Tinggi. 

Semalam juga beliau memberikan ucapan penting sempena Landasan Tahun Baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024.

Beliau sedar akan kerisauan dalam kalangan komuniti pendidikan tinggi takut berlaku perubahan besar kepada dasar dan inisiatif yang telah direncana sebelum ini.

Begitupun, ucapan beliau semalam melegakan banyak pihak kerana jaminan bahawa perubahan teraju kementerian hanya menyaksikan perubahan ‘lenggok kepimpinan’ sahaja tetapi semangat kecemerlangan yang dirintis akan dilanjutkan kesinambungannya.

Pujian juga beliau berikan kepada  bekas Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kerana telah meletakkan kementerian di landasan yang tepat dengan pengenalan gagasan hala tuju yang mantap melalui perletakan batu aras (milestone) pertama KPT.

Sepertimana dinyatakan oleh Zambry, Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional atau National Review Committee (NRC) telah memperhalusi dasar semasa dan mengemukakan saranan penambahbaikan bagi tempoh jangka masa pendek dan sederhana.

Pada masa yang sama, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 akan tamat pada tahun hadapan menjadikan batu aras seterusnya KPT ialah untuk merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang baharu.

Kelebihan utama Zambry ialah beliau tangkas menangkap idealisme dan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Kerajaan Perpaduan, khususnya dalam konteks pendidikan tinggi seterusnya menterjemahkannya ke dalam bentuk program.

Baru seminggu lalu Anwar memperkatakan mengenai penubuhan Suruhanjaya Kebangsaan Mengenai Kecemerlangan dalam Pendidikan Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 1981 yang menghasilkan laporan A Nation at Risk: The Imperative for Educational Reform.

Suruhanjaya Kebangsaan yang dimandatkan oleh Presiden Ronald Reagan ini berperanan untuk menyemak kualiti pendidikan di AS serta membantu mengenal pasti, memahami dan memperbaiki masalah-masalah yang melanda pendidikan di negara tersebut.

Semalam, terus sahaja Zambry melontarkan pandangan bahawa kita juga perlu mengetahui tahap sebenar pencapaian pendidikan tinggi negara ini, secara jujur dan terbuka, seterusnya mahukan satu kumpulan pakar ditubuhkan untuk meneliti pencapaian pendidikan tinggi Malaysia.

Sejajar dengan kehendak Anwar yang mahukan pelaksanaan program dipercepatkan, jika Suruhanjaya Kebangsaan di AS memerlukan masa hampir dua tahun untuk menyiapkan kajiannya, Zambry pula mahukan kumpulan pakar ini menyiapkan tugasnya selama 12 bulan sahaja.

Arahan Zambry kepada KPT dan kumpulan pakar ini adalah jelas: “Kita perlu membedah siasat untuk mengenal pasti isu dan punca sebenar kepada permasalahan yang berlaku. We have to address the core and not the peripheral issues. We have to hit the nail on its head.”

Zambry juga memaklumkan beliau bersama-sama Timbalan Menteri dan pengurusan tertinggi KPT akan turun padang dalam Jelajah Kampus Madani untuk melihat situasi sebenar di peringkat institusi dan mendengar sendiri keluh kesah pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi.

Dalam ucapan beliau semalam juga, Zambry menggariskan visi-visi yang jelas mengenai KPT di bawah kepimpinan beliau.

Antaranya ialah keperluan kepada kewujudan ekosistem pendidikan tinggi yang segar dan kondusif serta kultivasi dan penerapan modal pendidikan tinggi (higher education capital) (HEDCAP) dalam menciptakan kualiti pelajar dan mahasiswa yang bitara.

Untuk itu, beliau menegaskan empat anjakan dalam membina kemenjadian tradisi keintelektualan di universiti, politeknik, dan kolej komuniti, iaitu:

Pertama: Penghasilan, penjilidan dan penerbitan korpus ilmu mengikut disiplin ilmu dan kebitaraan institusi.

Kedua: Program-program perkaderan kepemimpinan muda, Memupuk Pemimpin Muda (Nurturing Young Leaders).

Ketiga: Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) perlu ditingkatkan kualiti, dioptimakan kompetensi serta diluaskan fungsinya.

Keempat: Penganjuran secara rutin dan berkala program Festival of Ideas bagi mengumpulkan kesemua hasil penyelidikan dan maklumat kajian di institusi pendidikan tinggi masing-masing

Selanjutnya, berdasarkan kebimbangan beliau mengenai gejala ‘isomorphic mimicry’ melalui peniruan yang menjadikan kita kelihatan gah namun hakikat esensinya sifar, Zambry juga menggariskan lima fokus utama yang akan diberi penekanan oleh KPT selepas ini.

Lima fokus utama ini ialah:

  • Penyediaan bakat terbaik negara
  • Pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi
  • Pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu
  • Pengantarabangsaan pendidikan tinggi
  • Pemantapan ekosistem pemboleh daya

 

20 LANDASAN

Lebih jauh lagi ialah penyenaraian 20 landasan, hasil interaksi, perbincangan dan diskusi yang beliau lakukan dengan pelbagai pihak yang bertujuan untuk membawa kepada peningkatan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Antara 20 landasan ini ialah, pertama, esensi utama pendidikan adalah tentang pembentukan otak dan watak. Kedua, anjakan paradigma pendidikan seharusnya seimbang di antara paksi teknologi (technologycentric) dan paksi kemanusiaan (humanity-centric).

Termasuk di dalamnya ialah kepimpinan IPT perlu berani melakukan perubahan dalam menangani kerenah birokrasi dengan melakukan anjakan paradigma bagi mendepani dunia pascanormal. Justeru, seperti disarankan oleh Anwar, lebih kelonggaran akan diberikan kepada kepimpinan IPT.

Paling penting, pada hemat saya, ialah landasan asas yang beliau perkatakan yang bermula ‘dari dalam’ dengan setiap warga pendidikan tinggi bermuafakat dalam pembinaan suatu pasukan yang padu, mantap dan tangkas. Dan menganjak mentaliti I (saya) kepada We (kami).

Saya cukup bersetuju bahawa penyakit keangkuhan intelektual serta gerak kerja in silo untuk mengangkat mana-mana pemimpin, pentadbir atau institusi pendidikan tinggi perlu dinyah dan digantikan dengan prinsip kerjasama, penyelarasan dan kerjasama.

Landasan Tahun Baharu KPT 2024 telah digaris dan dihuraikan dengan jelas. Melaluinya marilah kita membina esprit de corps, menzahirkan kebersamaan dan kesatuan pemikiran, kesatuan hati dan kesatuan tindakan bagi mengangkat martabat pendidikan tinggi negara.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Foad Sakdan ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×