BARU-BARU ini kita sekali lagi dikejutkan dengan penularan sepinggan ayam goreng kunyit berharga RM20 di sebuah kedai makan di Pantai Chenang, Langkawi.
Sebelum itu turut tular tentang air kosong RM5 juga di pantai yang sama namun ditepis oleh pemiliknya dengan dakwaan juruwang restoran berkenaan tersalah masuk kod minuman itu.
Mengimbas insiden pada 2021, tragedi siakap tiga rasa yang berharga lebih RM1,000, ‘meletup’ di pulau peranginan negara itu.
Banyak yang menganggap berita berkenaan cuma kes terpinggir kerana sejajar masa berlalu semua akan melupakannya. Begitu juga, industri pelancongan Langkawi melibatkan puluhan ribu penggiat lain termasuk pengusaha restoran bukan si pemilik kedai makan itu sahaja.
Namun jangan lupa, insiden seperti itu sebenarnya ibarat ‘luka’ yang akan meninggalkan ‘parut’ kerana ia secara tidak langsung turut memberi persepsi dan reputasi buruk tentang Langkawi.
Dalam nada lebih keras, merosakkan imej pelancongan Langkawi. Sesuatu yang pasti insiden ayam goreng kunyit RM20 ini hanya menambah episod ‘luka’ Langkawi sahaja, yang sering digelar sebagai ‘pulau cekik darah’ apabila tiba bab makanan dan minuman.
Banyak yang tidak mengakui bahawa industri pelancongan Langkawi semakin muram dan tidak seperti sebelum kehadiran pandemik Covid-19 pada 2019.
Walaupun cara mengukur kemeriahan pelancong domestik ini dari mata kasar adalah dengan melihat sebanyak mana pelancong menggunakan perkhidmatan feri tetapi perkhidmatan itu telah berkurang daripada 10 perjalanan kepada lima perjalanan ketika ini. Namun itu pun tidak penuh kecuali musim perayaan.
Sedangkan suatu ketika dahulu Langkawi terkenal sebagai lokasi untuk bercuti di hujung minggu namun sesuatu yang pasti semua itu kini sudah berakhir terutama apabila lebih ramai rakyat Malaysia memilih untuk ke Thailand seperti Hatyai.
Tidak dapat dinafikan industri pelancongan Thailand pulih dengan pantas daripada kesuramannya akibat Covid-19. Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) mengeluarkan kenyataan baru-baru ini dengan sebanyak 4.6 juta pelancong mereka adalah rakyat Malaysia daripada keseluruhan 28 juta kedatangan pelancong pada 2023.
Apa yang menjadikan Hatyai dan Danok popular? Tentu sahaja faktor makanan dan hotelnya yang murah di samping hospitaliti orang-orang di sana yang terlatih untuk melayan pelanggan mereka dengan baik.
BIMBANG
Fenomena Hatyai ini tentunya mengundang keresahan bukan sahaja dalam kalangan penggiat pelancong Langkawi malah pelbagai pihak lain seperti Persatuan Pengguna Kedah (Cake).
Cake turut melahirkan rasa kebimbangan dengan trend rakyat Malaysia yang ghairah melancong ke negara jiran itu yang disifatkan jika tidak dibendung boleh menggugat ekonomi negara terutama dalam sektor pelancongan.
“Ada banyak faktor kalau ikut statistik dunia, paling ramai melawat Thailand adalah Malaysia iaitu 3.8 juta setahun berbanding dari negara lain. Tetapi ini akan merosakkan industri pelancongan kita.
“Jadi kita harap supaya Kementerian Pelancongan meneliti balik akses pelancongan dan memperindahkan semula tempat pelancongan dalam negara dan orang Malaysia (perlu) banyak melancong dalam negara supaya wang kita tidak mengalir keluar dan menyebabkan duit kita akan merosot dan ekonomi kita tak bagus,” kata Pengerusi Cake, Mohd. Yusrizal Yusoff.
Kembali kepada insiden ayam goreng kunyit RM20 ini, biar apa pun alasan yang diberikan oleh pemilik kedai makan kepada agensi terlibat, namun perkara ini memerlukan perhatian yang mendalam daripada semua pihak termasuk penggiat pelancongan Langkawi.
Sampai bila kita mahu pelancong domestik yang menjadi penyumbang tertinggi kedatangan ke Langkawi ketika ini memboikot pulau yang cantik ini semata-mata kerana insiden seperti itu?
Barangkali juga sudah tiba masanya semua pihak terlibat terutama peniaga mahupun rakyat negara ini menerapkan nilai-nilai mesra pelancong walaupun melibatkan pelancong domestik.
Begitu juga apabila tiba bab harga ini seharusnya berpada-pada dan jangan sekali mengambil kesempatan menaikkan harga dengan sesuka hati sehingga membebankan pelancong tempatan.
Lebih buruk apabila insiden itu tular dan menjadi polemik sehingga memburukkan reputasi tempat berkenaan.
Langkawi suram! Langkawi muram! Tolong jangan nafikan perkara itu. Pembangunan semula pulau tersebut perlu diberi perhatian oleh semua pihak melepasi sempadan politik atau apa jua situasi terkini yang berlaku.
Lebih 90 peratus pendapatan penduduk Langkawi adalah daripada sektor pelancongan yang secara tidak langsung turut menyumbang kepada ekonomi negara dalam segmen tersebut.
Jadi, andai kata Langkawi ini masih ‘penting’, maka usaha itu perlu dilakukan segera tanpa direncatkan oleh perkembangan politik semasa kerana baik Kerajaan Persekutuan mahu kerajaan negeri, kedua-duanya perlu bergandingan.
Mungkin sudah tiba masanya perlu diwujudkan badan khusus bagi memantau perkembangan sektor pelancongan Langkawi sebagai pulau permata negara. Ia adalah satu badan berkecuali yang akan melakukan ‘audit’ tentang semua segmen pelancongan Langkawi.
Begitu juga atas nama patriotik dan rasa sayang kepada negara, rakyat atau marhaen Malaysia ini harus turut memainkan peranan menularkan tempat-tempat menarik dalam negara ini, termasuk Langkawi.
Sesungguhnya, apa keperluan untuk anda menularkan tempat menarik di luar negara semata-mata kerana tanda suka di media sosial? Tindakan anda itu secara tidak langsung sudah memberi promosi kepada negara luar.
Di mana semangat, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung masing-masing?-UTUSAN










