Tanpa keahlian Statut Rom, kita tetap pastikan keadilan di Palestin

Tanpa keahlian Statut Rom, kita tetap pastikan keadilan di Palestin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar memberi ucapan bagi menyatakan sokongan terhadap Palestin pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 24 Oktober lalu. – UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DAN bahawa orang-orang yang beriman dan bertakwa bersatu menghadapi siapa sahaja yang berlaku curang atau aniaya kepada mereka, atau berbuat dosa, atau bermusuhan, atau merosak terhadap orang-orang beriman.” – Buya Hamka.

Sudah hampir sebulan konflik di antara negara haram, Israel dan kumpulan militer Hamas berterusan dengan jumlah kehilangan nyawa hampir mencecah 10,000 orang, menjadikan konflik terkini sebagai paling berdarah dalam ketegangan di antara tentera Israel dan rakyat Palestin.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 27 Oktober lalu menerima resolusi menyeru gencatan senjata di antara Israel dan Palestin dengan 120 undi menyokong, 14 menentang dan 45 tidak mengundi.
14 negara yang mengundi untuk menentang gencatan senjata merupakan Israel dan sekutu-sekutunya yakni Amerika Syarikat, Fiji, Marshall Islands, Micronesia, Guatemala, Nauru, Papua New Guinea, Paraguay dan Tonga. Selain seruan gencatan senjata, resolusi sama turut mendesak undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipatuhi oleh semua pihak yang sedang berbalah.

Sepanjang berlangsungnya perhimpunan tergempar itu, ramai pengulas di negara ini membangkitkan isu penolakan Malaysia terhadap ratifikasi Statut Rom. Polemik yang sebelum ini hangat diperkatakan sekitar 2019 kembali membara dalam kalangan ahli akademik, penganalisa politik antarabangsa dan tidak ketinggalan politikus yang menangguk dalam air keruh.

Amat dangkal untuk orang ramai kini menghujahkan kononnya Malaysia terlepas peluang untuk mengheret Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di atas sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa hanya kerana Malaysia tidak menandatangani Statut Rom.

Sedangkan perlu ditekankan, Palestin sendiri merupakan ahli kepada Statut Rom dan berkemampuan dengan sendiri untuk memulakan tindakan terus ke ICC bagi membicarakan sebarang tuduhan pelanggaran undang-undang kemanusian antarabangsa terhadap kesemua kekejaman pernah dilakukan oleh negara haram Israel.

Tambahan pula, daripada 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), 24 buah turut meratifikasi Statut Rom termasuk Jordan yang merupakan negara pengusul resolusi di UNGA pada 26 Oktober lalu. Maka amat cetek untuk mengatakan kononnya kekejaman Israel berterusan hingga ke hari ini hanya kerana Malaysia bukanlah negara ahli Statut Rom yang mampu untuk merujuk kes ke ICC.

BERLAKON
Yang paling menarik sekali, perlu ditekankan bahawa Amerika Syarikat (AS) yang terkenal sebagai sekutu terdekat Israel, juga bukan ahli Statut Rom. Malah dalam komunikasi bertarikh 6 Mei 2002, kerajaan AS ketika itu dengan tegas dan angkuh menolak keahlian dalam Statut Rom. Alasan penolakan kononnya Presiden pada ketika itu, George W. Bush merasakan keahlian dalam Statut Rom akan disalahgunakan negara-negara luar terhadap AS.

Maka tidak pelik apabila AS yang sering berlakon sebagai pengaman dunia tidak menentang bahkan mendiamkan tindakan terhadap serangan balas Israel yang melampaui had prinsip kekadaran di bawah Artikel 31 Statut Rom dan di bawah undang-undang antarabangsa.

Tambahan pula AS juga berpejam mata apabila Israel melakukan jenayah kemanusiaan seperti ditakrifkan di bawah Artikel 5 dan 7 Statut Rom, di samping melakukan penghapusan bangsa (genosid) secara sistematik terhadap rakyat Palestin yang merupakan pelanggaran prinsip di bawah Artikel 6.

Konflik berdarah yang terkini bukanlah kali pertama dan tanpa tindakan tegas masyarakat global, bukanlah kali terakhir Israel dengan biadap dan bongkak melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin. Saban tahun dunia menyaksikan pelbagai bentuk kekejaman yang dimulakan Israel.

Pada 2021, ketika rakyat Palestin sedang menghormati bulan Ramadan, dengan biadap tentera Israel menyerang kawasan Masjid al-Aqsa.

Kali ini, Israel tanpa rasa perikemanusiaan turut mengebom Gereja Ortodoks Yunani, Saint Porphyrius yang menjadi tempat perlindungan ratusan Muslim dan Kristian di bandar Gaza. 18 orang kehilangan nyawa dan struktur gereja yang sudah wujud sejak tahun 425 ranap.

AS yang sering menjulang diri sebagai pendukung demokrasi masih membela tindakan Israel. Walhal hormat kepada rumah ibadat merupakan prinsip paling asas dalam undang-undang antarabangsa yang telah diserap masuk ke dalam Artikel 8 Statut Rom berkenaan jenayah perang.

Kelantangan pentadbiran dan rakyat Malaysia menentang kezaliman yang dilakukan Israel bukanlah perkara baharu dan tidaklah harus diperkecilkan dengan membangkitkan polemik Statut Rom. Tanpa keahlian dalam Statut Rom, Malaysia masih mengabdikan setiap usaha memastikan keadilan sejagat diperoleh di bumi Palestin.

Sokongan Malaysia buat rayuan keamanan rakyat Palestin bukan hanya atas dasar kemanusiaan tetapi juga pegangan persaudaraan agama yang tinggi.

Membangkit isu ratifikasi Statut Rom ketika konflik kian berdarah di antara Israel-Palestin bukan sahaja merendahkan kemustahakan isu ini tetapi juga memperkotak-katikkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap Palestin selama ini.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN