MENURUT Laporan Prospektus Populasi Penduduk yang diterbitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kadar pertumbuhan populasi negara pada November tahun ini, berada pada kadar 1.15 peratus. Kadar ini menurun secara mendadak dari purata 3 peratus dari 1955 hingga 2005 ke 1 peratus dari 2010 hingga November tahun ini.
Data terkini menunjukkan populasi penduduk negara berada di sekitar 34.3 juta. Walaupun kadar pertumbuhan populasi negara berada sekitar 1 peratus sejak 13 tahun lalu, namun kini mengalami isu kerterjaminan makanan. Sempatkah kita menyelamatkan masyarakat madani dari mengalami kebuluran atau akan menuding jari tanpa haluan?
Sejarah Tanah Melayu jelas dan nyata menceritakan yang Suvarnabhumi (bumi emas) merupakan gedung pertanian termasyhur. Rakyat pada zaman yang penuh dengan segala kekurangan memiliki kemahiran pertanian yang dikagumi masyarakat dunia terutamanya China, India dan Eropah. Ramai pedagang singgah di Tanah Melayu untuk dapatkan hasil pertanian dan menjadikan Tanah Melayu sebagai hub perdagangan terkemuka di Asia.
Gambir dan lada hitam tumbuh bagai mutiara bertaburan di Laut China Selatan, Sarawak dan Johor. Sistem Kangcu digunakan dengan berbekalkan modal dari orang Cina di Temasik dengan kecekapan pentadbiran pembesar dan raja-raja Melayu. Serian dan Maradong di Sarawak pula terkenal dengan nama Lembah Lada Hitam. Ini menjadikan Sarawak sebagai pusat dan pengeksport utama serta terbesar di dunia.
Province Wellesley (sekarang Seberang Perai), Pulau Pinang dan Melaka pula menjadi hub penting bagi penanaman tebu. Mulai 1870-an tanaman tebu diusahakan secara besaran di daerah Kerian, Perak. Kilang pemprosesan tebu dibina pada masa itu oleh oleh orang-orang Eropah. Selepas 1874, penanaman tebu secara besar-besaran diusahakan di Kuala Kurau, Kerian, Perak. Pada masa inilah Perak menjadi pusat pengeksportan gula terbesar di dunia sehingga awal abad ke-20.
Anda pasti akan terkilan, tentang sejarah penanaman ubi kayu di negara kita. Ubi kayu diusahakan secara komersial dalam skala besar dan dieksport ke Britain menjadi bahan utama dalam pemprosesan monosodium glutamate (MSG) dan penghasilan kanji dan etanol (industri pembuatan plastik). Negeri Sembilan dan Melaka merupakan tapak utama penanaman ubi kayu. Kualiti dan kuantiti penghasilan ubi kayu yang tinggi menyebabkan ia mempunyai permintaan tinggi di pasaran dunia.
Satu lagi hasil komoditi yang mempopularkan Malaysia ialah koko. Penanaman koko dimulakan oleh orang Sepanyol. Sabah merupakan antara pelopor utama di negara kita sebelum ia menjadi tanaman komersial di Terengganu dan Sarawak. Di Sabah Borneo Abaca Limited (BAL) menjadi syarikat utama yang mengusahakan koko secara besar-besaran. Sejak 1960, Bukit Quoin, Sabah menjadi tapak penanaman secara besar-besaran.
Jelas sejarah dan rekod pertanian negara kita amatlah tersusun dan membanggakan. Namun, apakah yang telah terjadi pada detik ini? Adakah kita lupa akan sejarah atau apakah kita lupa akan segala usaha yang dilakukan pelbagai badan dan orang perseorangan yang bersangkut paut dengan bidang pertanian dalam menggembleng tenaga dan idea demi peningkatan ekonomi dan taraf hidup rakyat serta keterjaminan makanan?
Dasar Pertanian Negara (DPN) diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Musa Hitam pada 12 Januari 1984 merupakan satu langkah bijak dalam memperkukuhkan industri pertanian dari segi memaksimumkan pendapatan negara dan pekebun kecil, meningkatkan pengeluaran pertanian, memgembangkan aktiviti pemprosesan berkonsepkan pertanian dengan penyertaan sektor swasta.
Kini DPN 3 membuka tirai dengan tumpuan diberikan kepada meningkatkan sekuriti makanan. Dasar ini juga disokong dengan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara yang turut digubal dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan. Terkini dasar itu juga menjurus kepada keterjaminan makanan.
Sejak 2022, kita telah digempar-gempurkan dengan pelbagai masalah kekurangan bekalan makanan. Bermula dengan isu bekalan telur ayam dan ayam. Situasi ini bertambah kronik dengan masalah kekurangan bekalan gula dan minyak masak. Banyak lagi produk makanan ‘dihanyutkan’ ombak kekurangan bekalan.
BUTANG KECEMASAN
Pandemik yang menyayat hati seluruh bangsa Malaysia ialah beras putih. Beras merupakan makanan ruji rakyat, namun kini, kita terpaksa mengemis dan bergantung kepada bekalan beras putih kepada India, Vietnam, Pakistan, Myanmar, Thailand dan Kemboja.
Apakah akan terjadi jika negara-negara ini mengurangkan atau melarang eksport beras putih ke negara kita? Adakah pada masa itu baru kita hendak menekan butang kecemasan? Apakah kita hanya pandai merancang pelbagai dasar dan strategi sahaja di atas sekeping kertas?
Kita perlu menggembleng semula kesemua agensi pertanian. Kita mempunyai hampir sembilan agensi utama yang bertanggungjawab dalam memastikan sektor pertanian negara mengorak langkah kanan setanding dengan negara-negara maju.
Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan Malaysia, Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (Mardi), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Perseketuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemumbu (KADA), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) dan akhir sekali Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd. berfungsi sebagai jantung sektor pertanian negara. Adakah fungsi kesemua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan keterjaminan Makanan ini dimaksimumkan?
LANGKAH KANAN
Pertanian hidroponik dan penanaman dalam bangunan harus difikirkan dan diusahakan secara besar-besaran. Pertanian hidroponik mampu mengatasi pelbagai masalah dalam sektor pertanian seperti kekurangan tanah subur, pengairan, penggunaan racun perosak, banjir dan pelbagai lagi.
Kerajaan harus menyediakan modal melalui Agrobank untuk rakyat mengusahakan pertanian hidroponik. Kelas penanaman hidroponik boleh dianjurkan oleh Mardi. Masjid, surau, tokong, kuil dan tempat beribadah yang lain boleh dijadikan sebagai tempat masyarakat mendapatkan ilmu dan tunjuk ajar.
Peranan ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pemimpin tempatan harus dipertingkatkan dan diperhebatkan. Promosi dan galakkan secara berterusan menjadi titik penentu kejayaan isu keterjaminan makanan.
Bahkan, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) boleh melaksanakan projek pertanian berskala kecil selain mewujudkan Kelab Pertanian bagi memastikan pelajar mendapat ilmu asas pertanian.
Kedaulatan negara boleh tergugat jika kita pandang enteng akan isu keterjaminan makanan. Keterjaminan makanan merupakan agenda nasional. Kita perlu bersolidarati dalam agenda negara ini.-UTUSAN
PENULIS ialah guru akdamik di Sekolah Kebangsaaan Batu 3, Kluang, Johor.










