CUTI umum sempena sambutan Deepavali di negara ini diperkenalkan di bawah pentadbiran British pada 1920-an. Persekutuan Liga Dravidian yang memperjuangkan bahasa dan budaya Tamil pula pada 1947 mendesak kerajaan membatalkan cuti umum itu kerana kononnya menghina orang Dravidian.
Pelbagai rencana berkaitan perayaan orang Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali dan minoriti kaum India di Malaysia boleh dibaca dalam buku Malaiur Manikam (2015), Mandala Bicara (2016) dan Suvarna Bhumi (2022). Kesemuanya ditulis menggunakan bahasa yang mudah supaya membantu pemahaman pembaca pelbagai kaum dan latar belakang.
Menjelang sambutan Deepavali esok, beberapa rakan mengemukakan pertanyaan berkaitan pesta cahaya. Soalan mereka amat wajar dan menunjukkan sikap positif Bangsa Malaysia yang mahu mengambil tahu dan saling mengenali budaya kaum lain.
Rushida Abdul Wahid dari Klang, Selangor bertanya tentang sejarah dan asal-usul sambutan Deepavali. Ini suatu soalan yang kedengaran mudah tetapi sebenarnya sukar dijawab. Sekiranya ditanya, rakan-rakan beragama Hindu akan berkongsi dua atau tiga mitos dan purana tentang sambutan Deepavali tetapi ia bukanlah sejarah berdasarkan fakta kukuh.
Pertanyaan ini berkaitan juga dengan soalan Rizol Md. Ariff dari Balik Pulau, Pulau Pinang yang ingin tahu sama ada perayaan Deepavali dinyatakan dalam kitab agama Hindu, iaitu veda. Sebenarnya, ajaran Hindusime itu sendiri berusia lebih 5,000 tahun dan banyak catatan asal yang sudah tiada.
Kisah perayaan menyerupai Deepavali ada digambarkan dalam karya purana Sanskrit seperti Skanda Purana dan Padma Purana. Kita perlu faham, purana adalah kisah-kisah yang direka untuk menyampaikan ajaran Hindu dalam bentuk cerita. Dalam Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda tidak disebut tentang perayaan Deepavali.
Terdapat beberapa mitos dikaitkan dengan asal-usul sambutan Deepavali walaupun ia bukanlah fakta yang dapat dibuktikan dari sudut sejarah. Misalnya, kisah yang amat popular di bahagian utara India ialah pembunuhan Ravana oleh Rama dalam epik Ramayana.
Sambutan Dussehra merupakan lakonan semula babak Rama membunuh Ravana. Dalam mitos itu, apabila Rama dan Sita pulang ke Ayodhya, penduduk memasang barisan lampu (deepa avali) untuk menyambut pasangan itu.
Di bahagian selatan India pula, kisah lebih terkenal ialah insiden Krishna berjaya membunuh Narakasura yang menculik 16,000 puteri. Kisah ini ada dalam Bhagavata Purana, Kalika Purana, Mahabharata dan sebagainya. Golongan asura sentiasa diberi gambaran negatif dalam kisah-kisah purana yang mengangkat golongan sura (dewa) sebagai wira.
AYURVEDA
Cara sambutan Deepavali juga berubah mengikut zaman dan tempat. Irene Tan Ai Ling dari Kota Bharu, Kelantan bertanya sama ada mandi minyak masih diamalkan pada pagi sambutan Deepavali. Memang babak datuk, nenek, bapa atau ibu menyapu minyak pada tubuh dan kepala anak kecil sering dipaparkan dalam iklan.
Namun begitu, budaya berkenaan sudah semakin hilang dan kurang diamalkan. Secara saintifik, amalan ayurveda itu memang ada manfaat bagi kesihatan. Misalnya, minyak bijan membantu membuang kotoran pada kulit badan selain menjadikan tubuh lebih sihat. Serbuk shikakai pula menghapuskan kelemumur serta menjadikan akar rambut lebih sihat dan kuat.
Noraini Abd Rahman dari Alor Setar, Kedah pula tertarik dengan lukisan kolem semasa sambutan Deepavali, lalu ingin tahu makna simbolik di sebalik lukisan penuh warna itu. Dia sering melihat corak burung merak. Memang merak menjadi pilihan pelukis kolem kerana penuh warna dan cantik dipandang.
Kolem yang asli berwarna putih kerana dilukis menggunakan tepung beras.
Kemudian, warna ditambah pada tepung atau butiran beras serta hampas kelapa untuk menjadikan lukisan kolem lebih cantik dipandang. Malah, perkataan kolem bermakna cantik dalam bahasa Tamil. Kolem dilukis pada semua upacara berunsur agama dan budaya kaum India.
Turut mengemukakan pertanyaan atas dasar ingin tahu ialah Ramsiyah Amir dari Selayang, Selangor. Dia ingin tahu makanan tradisi utama sempena Deepavali. Lazimnya, makanan nabati iaitu sayur-sayuran menjadi pilihan. Antara makanan tradisional yang biasa dihidangkan kepada tetamu ialah tose, idli, idiappam, dan nasi beriani. Tidak lupa juga kuih tradisional seperti muruku, laddu dan pelbagai manisan.
Namun begitu, sempena meraikan tetamu pelbagai kaum dan agama, sudah menjadi kebiasaan tuan rumah menyediakan kari ayam dan kambing untuk dimakan bersama hidangan tadi. Sebagai masyarakat yang prihatin dan menghormati tetamu, orang Hindu memastikan ayam dan kambing halal dimakan tetamu beragama Islam.
Adakah sambutan Deepavali di Malaysia sama dengan di India dan negara-negara lain? Demikian pertanyaan Azzam Syafiq Samsuddin dari Taman Melawati, Kuala Lumpur. Cara sambutan Deepavali di India sendiri berbeza mengikut negeri dan latar budaya.
Misalnya, cara sambutan di Tamil Nadu berbeza dengan di Bengal, Odisha, Assam dan negeri-negeri lain. Corak dan sambutan di Nepal, Sri Lanka, Indonesia, United Kingdom, Afrika Selatan, Surinam dan Kanada juga berbeza mengikut situasi setempat. Malaysia dan Singapura juga tidak terkecuali.
Simbol paling asas Deepavali ialah kebaikan mengatasi kejahatan, cahaya menerangi kegelapan, serta dharma (keadilan) mengalahkan adharma (ketidakadilan). Maka, walaupun cara dan gaya sambutan berubah mengikut zaman dan situasi setempat, semangat asal tetap diteruskan dengan penuh kesedaran.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










