SEMALAM, kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-66. Ia berlangsung dalam suasana penuh meriah di Dataran Putrajaya untuk peringkat pusat. Sambutan serupa turut diadakan di negeri-negeri. Semuanya bertujuan menyatakan kesyukuran dan penghargaan atas bebasnya negara daripada penjajah.
Kemerdekaan adalah suatu yang amat berharga kepada kita. Kita maklum, kesukaran dan perjuangan dilalui pejuang kita yang terdahulu. Ramai terkorban demi meraih kemerdekaan ini. Tidak kurang tercedera dan sehingga kini kesan-kesan kecederaan itu masih kekal.
Bagi umat Islam, lebih-lebih lagi kita patut bersyukur. Dengan kemerdekaan, kita di Malaysia bebas melaksanakan pelbagai ibadat tanpa sebarang halangan. Sementelah perlembagaan negara meletakkan Islam sebagai agama bagi negara.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”
Perkara 11 mengenai Kebebasan Ugama pula menyatakan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.”
Ini bermakna walaupun Malaysia mengisytiharkan Islam sebagai agama negara, penduduknya yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Kebebasan ini membentuk perpaduan kukuh antara kaum dan ini telah dibuktikan dengan keamanan yang dikecapi oleh rakyat selama ini.
Di sebalik merayakan Hari Kemerdekaan, jangan kita lupa membuat bekal mencukupi agar mencapai kemerdekaan di akhirat. Inilah merdeka hakiki yang dihajati oleh semua orang mukmin.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Orang yang bijaksana itu adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal (bekerja) untuk bekalan selepas matinya. (Manakala) orang yang lemah itu adalah sesiapa yang mengikut hawa nafsunya dan kemudian mengharap (pertolongan) Allah.” (Riwayat At–Tirmdizi)
Orang yang beriman dan taat kepada Allah SWT juga akan sentiasa meningkatkan amal ibadahnya dan selalu membina hubungan dengan Allah SWT. Ia melalui ibadat solat, zikir, membaca al-Quran dan ibadah-ibadah lain sehingga mencapai ketakwaan di sisi Allah SWT.
Begitu juga manusia yang baik akan menjalankan peranannya sebagai khalifah dengan sentiasa memperbaiki diri untuk berbuat kebaikan kepada diri dan seluruh makhluk di alam ini.
Perkara terpenting untuk merdeka di akhirat adalah melengkapkan diri dengan ilmu. Setiap individu perlu melengkapkan diri dengan ilmu duniawi dan ukhrawi yang seimbang.
Islam tidak pernah melarang umatnya mencari kekayaan untuk kesenangan hidup di dunia tetapi bekalan untuk akhirat jangan dilupakan. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia…” (al-Qasas: 77)
KONTRAK SOSIAL
Ingatlah, bukan mudah Malaysia dengan rakyat berbilang kaum mengekalkan nikmat kemerdekaan hingga hari ini jika tiada asas perpaduan kukuh. Keharmonian berbilang kaum pernah diuji dalam insiden berdarah 13 Mei 1969.
Pembentukan Malaysia adalah melalui kontrak sosial iaitu persetujuan dicapai sebelum merdeka dalam kalangan pemimpin Melayu, Cina dan India, masing-masing menerusi parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC.
Pemuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana terbukti melalui kemenangan parti Perikatan pada pilihan raya umum pertama 1955. Hakikat inilah perlu dihadamkan oleh rakyat terutama golongan muda atau generasi Z yang lahir dalam 1995 hingga 2010.
Keharmonian dalam kepelbagaian yang dikecapi kini mesti dipertahankan. Ia mesti diwariskan kepada anak, cucu dan cicit kita. Jangan nikmat ini dirosakkan oleh segelintir orang yang pendek akalnya. Yang sentiasa mencari peluang menangguk di air keruh.
Seperkara lagi, jangan sewenang-wenangnya membuat hantaran-hantaran di media sosial yang dengan sengaja menimbulkan rasa curiga antara kaum. Lebih-lebih lagi isu berkaitan agama. Semua ini ibarat sengaja menjolok sarang tebuan.
Menyebarkan kebencian memang mudah lebih-lebih lagi dalam zaman dunia tanpa sempadan. Hanya dengan menekan satu butang, sekelip mata ia mencapai ratusan ribu pembaca, sekelip mata itu juga kerosakan berlaku (damage has been done).
Satu lagi pandangan menarik diutarakan oleh tokoh pemikir Islam kelahiran Constantine, Algeria iaitu Malik Bin Nab. Kata beliau, perjuangan membebaskan tanah air harus segera disusuli dengan perjuangan memerdekakan minda (istiqlal al-‘aql). Beliau menyedari apalah erti kemerdekaan bumi pertiwi, jika rakyat pribuminya masih tetap berminda anak jajahan. Membangkitkan jiwa merdeka adalah agenda terpenting yang tidak boleh dikompromi.
Untuk itu, setiap umat Islam mesti membebaskan minda daripada sebarang bentuk penjajahan. Penjajahan kita bukan lagi dalam bentuk ketumbukan bala tentera tetapi melalui dakyah dan provokasi yang disebar luar dengan pantas hasil kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Paling utama adalah membebaskan diri daripada mensyirikkan Allah. Syirik adalah dosa paling besar. Oleh itu, ia diletakkan sebagai dosa besar pertama daripada 76 dosa besar yang dihimpunkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya, al-Kaba’ir.
Asas mencapai kemerdekaan akhirat adalah ilmu yang memandu insan ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Seterusnya dijauhkan daripada azab api neraka. Iniilah kemerdekaan abadi sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (ali-Imran: 185)
Seorang Muslim yang merdeka adalah bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah SWT. Ingatlah sabda Rasulullah SAW ketika Haji Wada’ bermaksud: “Mahukah kalian aku khabarkan tentang orang mukmin, iaitu orang yang (membuat) orang lain berasa aman atas harta dan diri mereka, orang muslim adalah orang yang (membuat) orang lain sejahtera daripada (bahaya) lidah dan tangannya, mujahid adalah orang yang memerangi nafsu dirinya dalam mentaati Allah, dan muhajir adalah orang yang meninggalkan kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban).-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.











