MUKADIMAH
PILIHAN raya negeri (PRN) menjadi titik penting dalam sejarah kerjasama seteru politik terutama antara UMNO dan PKR atau Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Ternyata kedua-dua parti ini mempunyai pendekatan, pendirian dan stail politik yang amat berlainan, namun perbezaan itu dijadikan titik persamaan untuk memperkasakan kerajaan perpaduan dan Malaysia Madani.
Bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan jurufoto, SADDAM YUSOFF kedua-dua pemimpin muda politik, iaitu Ketua Pemuda BN Selangor, DATUK MOHD. IMRAN TAMRIN dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, MUHAMMAD IZUAN AHMAD KASIM menterjemah kekuatan dan tawaran masing-masing kepada pengundi muda.
MOHD. IMRAN
UTUSAN: Bagaimana kekuatan jentera BN di Selangor dinilai untuk berkempen menghadapi PRN Selangor 12 Ogos ini?
MOHD. IMRAN: Di peringkat jentera BN, kita ada 22 bahagian dengan purata keahlian atau jentera yang bersedia untuk digerakkan dalam setiap bahagian ini antara 8,000 hingga 12,000. Jadi, ini jentera secara kasar.
Kita ada kekuatan jentera yang ramailah kalau kita baca dalam konteks Selangor dan di peringkat Pemuda pun, kita ada kira-kira 2,000 di setiap bahagian. Jadi, itulah kekuatan jentera kalau kita hendak kira dari segi angka.
Jadi, macam mana gerak kerjanya?
Kali ini, kita akan bekerja secara lebih strategik, bersasar dan berfokus bagi memastikan kita dapat memaksimumkan dan gunakan sepenuhnya dana yang ada dan juga memaksimumkan impak daripada sumber yang ada.
Adakah tumpuannya kepada BN sahaja atau kedua-duanya?
Keseluruhan jentera kita baik di peringkat Pemuda mahupun induk, kita tumpukan ke keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memastikan kemenangan calon-calon daripada kerajaan perpaduan sama ada daripada BN ataupun PH.
Apakah fokus kawasannya?
Kawasan-kawasan yang sedia ada menang pada PRU14. Sebagai contoh, di DUN Sungai Panjang. Itu sebab kita di situ memang memperbanyakkan program dan juga aktiviti khususnya untuk menarik dan juga memberikan kefahaman kepada pengundi tentang pentingnya memastikan kemenangan kerajaan perpaduan.
Bagaimana cabaran yang dihadapi sekarang? Adakah pengundi muda antara yang diberikan tumpuan?
Golongan muda, kita ada dua cabaran. Pertama adalah mereka yang berumur antara 35 hinggalah 40 atau 30 hingga 40 tahun. Mereka ni adalah penyokong tegar UMNO-BN.
Saya tak boleh nafikan mereka terkesan dengan persepsi dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) kononnya UMNO-BN sudah terpesong. Namun, kita kena memberikan kefahaman yang jelas dan mereka bersedia menerima pendirian kita. Akhirnya, mereka boleh rasional dan membuat keputusan lebih bijaksana.
Bagaimana pengundi berusia 18 tahun atau pengundi baharu?
Berbanding dengan demografi di antara 18 hingga 30 tahun, saya lihat mereka tidak mempunyai pemikiran yang ekstrem, sebaliknya lebih versatil. Maksudnya, mereka kata kerajaan perpaduan bagus tetapi dalam masa sama, mereka juga melihat dasar PN juga positif.
Jadi, mereka adalah kumpulan anak-anak muda yang lebih perlu kita dekati untuk memberikan kefahaman yang jelas supaya mereka boleh menimbang yang mana lebih baik.
Melihat landskap politik semasa, bagaimana dengan pengundi putih UMNO?
Saya lebih khuatir pengundi yang berumur atas 40, 45 tahun dan ke atas. Yang mana pendirian ataupun cara mereka dibesarkan dan juga diterapkan pengisian ekstrem terhadap DAP dan sebagainya adalah lebih kuat. Jadi, saya lebih khuatir kumpulan itu.
Apa pemahaman mereka sebenarnya terhadap DAP?
Mereka yang lebih berumur kerana yalah, kita pun tahu apabila sudah diterapkan sejak dulu lagi, DAP sebagai komunis, cauvinis sampai satu tahap wujud bangsa baharu. Bukannya Melayu, Cina, India tetapi bangsa DAP. Jadi, ini yang lebih menyukarkan.
Jadi, apa bezanya dengan pengundi muda?
Saya lihat anak-anak muda sekarang, apabila kita berjumpa, mereka ingin melihat politik yang lebih progresif, yang lebih moderat ataupun lebih sentris yang tidak terlalu ekstrem ke kiri ataupun ke kanan.
Apakah hasrat hendak dibawa kepada pengundi di Sungai Panjang dan Selangor?
Kita perlu perkasakan dan reform daripada peluang pekerjaan bermula dengan pendidikan. Dulu kita menumpukan kepada pendidikan yang formal, kita sampaikan kepada anak-anak kampung, belajar rajin-rajin, habis sekolah, masuk universiti, jadi doktor, jurutera, peguam, sehingga berlaku lambakan dalam industri.
Jadi, kita hari ini perlu lihat secara lebih praktikal. Kita mesti kena ada perancangan teratur, sementara industri dan tenaga kerja mesti ada komunikasi. Ini juga kita perlu perkasakan dari segi dasar. Apa lagi yang anak muda perlukan?
Selain pekerjaan, adakah golongan muda mampu beli rumah sekarang?
Perumahan pun mesti ada dasar sekatan. Sebab hartanah ini tiada sekatan. Orang kaya bertambah kaya dengan memiliki jumlah pegangan hartanah yang banyak.
Dari segi kewangan, kita tengok orang muda lebih mudah dapat pinjaman peribadi, kad kredit, tetapi pinjaman perumahan cukup susah sedangkan ia lebih selamat. Syarat hendak buat pinjaman pun susah. Ini juga perlu dipermudahkan.
MUHAMMAD IZUAN AHMAD KASIM
UTUSAN: Bagaimana kekuatan jentera PKR di Selangor dinilai untuk berkempen menghadapi PRN Selangor, Sabtu ini?
MUHAMMAD IZUAN: Selangor mempunyai anggota paling ramai khususnya untuk Pemuda di seluruh negara, masih nombor satu. Seingat saya, AMK sahaja ada dalam anggaran 60,000 hingga 70,000 orang.
PKR berdepan dengan pemilihan pada tahun lalu, bagaimana kekuatannya sekarang?
Lepas habis pemilihan lepas, yang diberikan tumpuan ialah persediaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) waktu itu, mungkinlah saya sendiri ambil masa satu ke dua bulan untuk membuat penyusunan di peringkat AMK Selangor sebab saya boleh cakap 70 peratus ketua AMK di peringkat cabang di Selangor adalah muka baharu. Jadi, kita susun organisasi dulu.
Bagaimana AMK dengan kepimpinan muka baharu bergerak dalam jentera?
Kita pastikan di peringkat cabang berjalan dengan baik, bermasyarakat dengan baik. Kita tak boleh beranggapan semua yang jadi ketua sudah tahu semua benda.
Sebab kalau ikutkan yang ketua AMK yang bukan muka baharu saya dan Chua Wei Kiat (Rawang), lepas tu dalam enam ke tujuh orang yang pernah berada dalam kepimpinan sebelum ini, yang lain semua betul-betul fresh.
Apakah strategi dan gerak kerja kempen dalam PRN Selangor?
Habis PRU15, kita rest sebulan, Januari kita fokus terus sampai sekarang. Pengundi muda memang antara fokus kita, malah kalau tengok laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini, kumpulan itu menghukum PH selepas mereka dimainkan dengan pelbagai sentimen oleh PN.
Selain itu, antara kesilapan kita pada PRU15 apabila terlambat mengatur gerak dalam media sosial terutama TikTok apabila ramai anak muda tertumpu di situ. Tetapi kini kita tidak terlalu mengikut rentak sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil inisiatif mendekati pengundi muda seperti mahasiswa di universiti dan sebagainya.
Pengundi begitu penting bagi kesemua parti, apa yang dibimbangi sebenarnya?
Mereka boleh swing anytime, tukar kerja pun anytime bila rasa benda tu tak sesuai dengan diri mereka. Sebab kena faham anak muda seolah-olah berada pada zaman try and error, zaman dia nak berubah boleh berubah anytime.
Jadi, Anwar kemudian Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) banyak terlibat dengan program-program muda dan mereka sendiri turun, tak serah dia bulat-bulat pada AMK tetapi mereka terlibat sekali.
Apa kesan yang boleh dilihat selepas pemimpin tertinggi sendiri turun padang?
Ada peralihan sebenarnya, mula dikesan sejak Mac lalu, kemuncaknya kita nampak numbers are growing, anak muda mula beralih kepada kita.
Tetapi, mereka (PN) pun tahu, saya percaya dalam tinjauan mereka pun dah nampak sebenarnya muda-muda dah mula berubah. Jadi, dia tak mula main sentimen anak muda sebaliknya mula main sentimen bangsa, agama dan institusi diraja (3R) pula.
Jadi, di situ jadi titik tolak permulaan isu 3R oleh PN, bagaimana dengan sasaran PN yang mahu mempengaruhi pengundi di luar bandar?
Pemuda dekat kampung dengan bandar berbeza. Sebenarnya hendak kumpulkan pemuda bandar lebih susah.
Kemudian mentaliti pun berbeza, saya boleh cakap contoh di Shah Alam, kalau ada 10 rumah yang ada anak-anak sekolah lepas tingkatan 5, kita boleh cakap 9 mesti masuk universiti tak kiralah awam atau swasta.
Sebab itu pemimpin mendekati mahasiswa di universiti?
Kita dapat pun anak muda dari universiti sekeliling berbanding dengan anak muda kampung, mereka memang lokal tinggal dekat kampung kerja di sana. Jadi, program yang hendak dibuat kepada anak muda di bandar dengan kampung lain.
Sebab itu ada pertemuan dengan Majlis Perwakilan Pelajar dari Universiti Selangor (Unisel) dan sebagainya sebab kita latih mereka terlibat pelbagai program. Jadi, bila balik ke kampung masing-masing, mereka ada yang sebahagian besarnya masuk parti jadi pemimpin di situ.
Bagaimana dengan gerak kerja dalam gabungan PH-BN?
Di peringkat Selangor, kita sudah buat perjumpaan. Kita kongsi data-data PRU lepas untuk kenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing untuk kita complimenting each other.
Bagaimana dengan tawaran dan manifesto untuk pengundi muda?
Kita hendak tackle anak muda kalau dia rasa pemimpin politik itu kerap berjumpa, ada engagement dengan mereka, selalu tegur, dengar masalah, once rasa selesa dia akan percaya dan akan terjemahkan waktu mengundi.
Manifesto pun kadang-kadang kalau kita buat panjang-panjang, anak muda ada satu dua sahaja yang dia ambil, selebihnya dilihat perwatakan pada pemimpin tempatan, pada pandangan sayalah.-UTUSAN









