MUKADIMAH
DATUK JOHAN ABD. AZIZ merupakan figura yang tidak asing dalam arena politik termasuk di kawasan yang bakal ditandinginya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu sentiasa positif walaupun kerusi ditandinginya agak panas seketika akibat ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin DAP.
Ketika temu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dibantu jurufoto, FARIZWAN HASBULLAH di Ibu Pejabat UMNO, baru-baru ini, Johan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Langat berkata, beliau enggan menoleh ke belakang.
Sebaliknya beliau mahu terus memandang ke depan demi menggenggam kemenangan sekali gus dapat menjalankan amanah dengan meningkatkan kualiti hidup 74,000 penduduk di Dusun Tua, Hulu Langat.
UTUSAN: Bagaimana persiapan Datuk dan jentera menjelang PRN?
JOHAN: Alhamdulillah, kita sudah bertemu semua jentera termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) dan jawatankuasanya pun sudah bersetuju, ranking jawatan sudah dipersetujui. Dari segi jentera, persiapannya boleh dikatakan 90 peratus siap, cuma nak laksanakan dan touch up sedikit.
Apa masalah sering berlaku di Dusun Tua?
Saya memang sudah bergelumang dengan masalah yang ada, maksudnya saya mengetahui isu yang menghantui rakyat seperti banjir. Saya pernah bertindak (membantu mangsa banjir) masa zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Ketika itu saya bawa jurutera dari JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan sebenarnya sudah masuk dalam perancangan pelan naik taraf Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion tapi sekarang tergantung di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) atas sebab isu-isu tertentu termasuk kes mahkamah dan sebagainya.
Jadi, ini perjuangan yang akan saya langsungkan. Kalau tidak mula, selagi itu akan menghantui rakyat. Kalau biarkan lama, penduduk akan risau dan runsing kerana tidak ada lagi solusi bagi menyelesaikan masalah ini tetapi proposal semua sudah ada, sudah masuk dalam rancangan projek kumpulan Jana Wibawa.
Kedua, kesesakan lalu lintas. Saya akan memohon untuk mengkaji laluan alternatif melalui Bukit Ampang terus ke Mimaland di Gombak dari Sungai Long tapi jalan ini perlu melalui flyover di Dusun Tua. Saya nak tengok kalau ada akses keluar-masuk di persimpangan sebelum Batu 14. Jadi, orang ramai boleh terus ke lebuh raya tanpa melalui Jalan Cheras. Orang Batu 9 boleh mengambil simpang keluar ke Kuala Lumpur. Ini saya cuba bagi perhatian sewajarnya untuk mengurai kesesakan lalu lintas yang amat teruk pada waktu puncak dan cuti umum.
Ketiga, tempat pembuangan sampah di kawasan kampung. Kalau di bandar kita ada PBT (pihak berkuasa tempatan) uruskan, di kampung tidak ada. Katanya sekarang ini (pembersihan) hanya CSR (program tanggungjawab sosial korporat) oleh PBT. Jadi, sampai bila CSR ni? Nak tak nak, kalau tidak bayar kontraktor memang sampah tidak berangkat, bertaburan. Kita akan cuba bendung kerana di Dusun Tua ini majoriti adalah pelancong tempatan. Jika terus begini, bagaimana kita nak jemput pelancong luar?
Tentang pembangunan pula tidak boleh berlebih sangat kerana ini kawasan tadahan air.

Ada rancangan untuk meningkatkan sektor pelancongan?
Yang perlu wajib saya ketengahkan adalah hab pelancongan kerana ada banyak air terjun seperti Sungai Congkak, Sungai Tekala, Sungai Gabai, Sungai Manggis dan Gunung Nuang. Ini juga saya akan beri perhatian.
Sebelum ini ada program Kampungku. Bila air terjun Sungai Congkak terkenal, hari Sabtu, Ahad memang ramai orang datang sehingga parkir penuh melimpah sampai jalan utama. Ini boleh dijadikan hab pelancongan.
Bahkan kini banyak vila tempat percutian, dewan acara berdekatan sungai. Ini akan dikaji bagaimana nak tambah baik supaya lebih menarik perhatian.
Komen Datuk mengenai gelombang hijau atau Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan mungkin sekali lagi melanda seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?
PRU bertanding tiga penjuru dalam kalangan parti besar, sekarang BN dan PH dianggap parti besar dengan keahlian yang ramai sudah bersama. Jadi, bagi saya strategi masing-masinglah, gelombang hijau dan sebagainya. Kita ada strategi kita. Kita ada merah kuning, kemajuan dan pembangunan pesat dan kita menyumbang KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Itu strategi kita tetapi dalam pertandingan kena baca strategi orang. Saya yakin dan percaya rakyat dapat menilai mana lebih menguntungkan mereka, bukannya nak menggadaikan nasib kita.
Macam saya selalu cakap dengan jentera di Pusat, BN dan PH sudah bercantum. Negeri ini kalau bubar pun, Kerajaan Persekutuan tidak akan tergugat dengan angka yang ada termasuk Sarawak dan Sabah. Rakyat harus bijaksana. Kalau sekarang di bawah PH dan hari ini bila bergabung dengan BN yang lebih banyak jasa (tadbir Persekutuan), ditambah pengalaman yang ada, ini sebenarnya kekuatan yang ada. Rakyat jangan ditipu lagilah, saya pun kasihan rakyat ditipu, esok entah apa-apa lagi janji.
Pengalaman BN dan PH penting dalam pembangunan, nak pastikan pendidikan, kesihatan banyak perkara yang kita nak teruskan selepas menang.
Ini (pembangkang) baharu nak cadang, betul ke tidak, jadi ke tidak jadi? Cadangan itu pula tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan. Ini yang saya nak tekankan pengundi, jangan terkeliru hal ini.
Anak muda khususnya, jangan aniaya mak ayah di kampung. Oh, sokong PN, sokong PN. Sudah jelas kalau negeri tidak bersama Kerajaan Persekutuan, akan bermasalahlah. Buat apa nak menyusahkan? Jadi, mana yang belajar di luar negeri, fikir sejenak mak bapa duduk di kampung. Bagi menang selari dengan kerajaan BN/PH yang sedang memerintah dan terbukti maju.
Janganlah kena tipu. Saya cukup kasihan khususnya pengundi di Dusun Tua atau di mana-mana sahaja. Jangan kena patuk ular di lubang yang sama sampai dua kali.
Apa mereka nak janji, gelombang apa pun, bijaksanalah pasal kalau kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan selari, bukankah mudah? Tidak ada apa pun nak dikejar. Kita bila menang, merancang terus apa (untuk) tambah baik.
Akan ada kesan daripada penyokong DAP?
Saya sudah berjumpa jentera DAP. Mereka bertekad tidak akan beri undi kepada PN. Insya-Allah, itu janji mereka dan kita tengok terjemahannya pada 12 Ogos nanti.
Harapan untuk pengundi di Dusun Tua?
Saya merayu kepada semua di Dusun Tua, ini adalah satu peluang keemasan. Mari bersama selari dengan kerajaan perpaduan, kerajaan madani yang mana kita wajib beri peluang. Cukuplah 22 bulan lepas, sekarang ini sudah tubuh kerajaan. Kita tak nak menggadaikan masa depan rakyat. Maksud saya, kalau BN/PH menang, kita tinggal nak move on untuk laksanakan apa yang nak ditambah baik.
Beri saya peluang dan rekod penilaian saya boleh disemak. Ramai kenal saya, saya ada 60 cawangan di Dusun Tua. Saya bukan orang asing yang datang ke sini. Sebelum jadi ADUN pun, masa banjir, kita UMNO bertungkus lumus sebulan setengah balik pukul 1, 2 pagi bantu kepayahan rakyat dengan hampir 7,000 rumah terjejas. Bukan saya nak ungkit, cuma saya suka bekerja untuk bantu rakyat.-UTUSAN










