Masjid terbesar, moden di Shenzhen - Utusan Malaysia

Masjid terbesar, moden di Shenzhen

Masjid seluas 3,000 meter persegi ini dilengkapi ruang parkir bawah tanah, taman serta kubu pertahanan yang digunakan sewaktu bencana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada awalnya, sangka saya, bangunan besar terpacak di hadapan saya itu adalah sebuah muzium atau hotel tetapi sebenarnya binaan itu merupakan sebuah masjid. Saya dimaklumkan ia merupakan masjid terbesar di bandar Shenzhen, Wilayah Guangdong, China.

Masjid seluas 3,000 meter persegi ini dilengkapi ruang parkir bawah tanah, taman dan kubu pertahanan (bunker) yang digunakan sewaktu bencana.

Tahap keselamatan di masjid ini agak tinggi, selain mempunyai pengawal keselamatan bagi mengawal keluar-masuk kereta, masjid ini turut terdapat seorang lagi pengawal keselamatan yang menjaga ruang dalaman masjid siap dengan mesin pengimbas beg, sekali tengok dah macam di lapangan terbang.

Bandar-bandar besar China, melakukan urusan kewangan secara atas talian, maka jika ingin membuat sumbangan di masjid ini ia boleh dilakukan dengan mengimbas kod di aplikasi WeChat.

Namun dalam mengekalkan tradisi umat Islam sejak zaman berzaman, kotak sumbangan turut disertakan kepada mereka yang ingin menyumbang dalam bentuk wang tunai terutamanya kepada umat Islam dari negara asing.

Di negara kita juga penggunaan QR Code di masjid dan surau sudah mula menjadi trend.

NAMA PENYUMBANG

Berdekatan dengan kotak sumbangan, ada beberapa papan kenyataan melampirkan nama-nama penyumbang berserta jumlah dan jenis sumbangan mereka.

Kelihatan aneh tetapi inilah cara mereka untuk mengajak lebih ramai umat Islam menyumbang.

Masjid ini terdapat lima tingkat semuanya tidak termasuk parkir bawah tanah.

Di aras masuk terdapat sebuah ruang makan khas bagi program-program tertentu dan pada setiap Jumaat, makanan percuma akan disediakan bagi para jamaah masjid.

Di tingkat dua pula dikhususkan kepada pejabat seperti pejabat tok imam dan bilik latihan. Di tingkat ini juga terdapat sebuah perpustakaan besar dan selesa, serta dipenuhi dengan pelbagai buku ilmiah termasuklah akhbar terbitan masjid Shenzhen sendiri.

Ruang solat untuk kaum lelaki terletak di tingkat tiga, memang cukup luas siap dengan karpet dan penghawa dingin.

LIMA TINGKAT ADA LIF

Walaubagaimanapun, kaum wanita perlu menunaikan solat di tingkat lima tapi jangan risau, masjid ini mempunyai dua buah lif.

Naik-turun setiap tingkat boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Tingkat 4 juga merupakan ruangan solat sekiranya tingkat 3 sudah dipenuhi jamaah terutamanya pada hari Jumaat.

Masjid Shenzhen merupakan pusat utama untuk umat Islam di Shenzhen menjalankan kegiatan agama Islam.

Pada 1998, masjid ini bersaiz kecil dan berdiri di atas sebuah hotel namun disebabkan umat Islam di kota Shenzhen meningkat, kerajaan China mengambil inisiatif untuk membesarkan masjid ini.

Dikatakan sehingga kini ada lebih 120,000 umat Islam di Shenzhen.

Kebanyakan umat Islam di Shezhen bukanlah terdiri dalam kalangan warga Shenzhen sahaja, tetapi imigran dari luar kota Shenzhen seperti mereka yang datang dari Xinjiang dan dari negara-negara asing.

Masjid gah ini dilengkapi teknologi moden seperti penggunaan sistem solar yang dipasang di bahagian atap masjid yang digunakan untuk menghangatkan air.

Masjid ini boleh memuatkan sehingga 10,000 jemaah dan pada hari Jumaat, jemaah masjid boleh melimpah keluar sehingga ke perkarangan tempat letak kereta.

Pada hemat saya, perkara ini adalah sesuatu yang biasa kerana ianya juga berlaku di Malaysia.

Mungkin pada masa hadapan, komuniti Islam Shenzhen dan kerajaan China boleh kembali duduk dan berbincang untuk menambah baik masjid bagi keselesaan orang ramai.

Sebelum saya berkunjung ke China, saya ada terbaca beberapa artikel mengatakan kononnya umat Islam di China tidak boleh menyimpan janggut tetapi apa yang saya perhatikan cukup berbeza, lelaki Islam bukan sahaja berjambang bahkan berkopiah dan bebas berjalan di mana-mana sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN