Bancian kesihatan 2019, mendedahkan wanita mempunyai masalah kolesterol lebih tinggi berbanding lelaki. Malah setiap empat dari 10 individu di Malaysia mempunyai masalah kolesterol tinggi dan secara keseluruhan, lapan juta rakyat Malaysia mempunyai masalah kolesterol tinggi.
Ramai keliru bagaimana kolesterol boleh tinggi sangat sedangkan masing-masing mendakwa aktif bersukan dan bersenam malah selang tiga hari ke gimnasium. Hujung minggu pula berbasikal dengan kawan-kawan atau jogging di sekitar taman tasik berhampiran. Makan pun dah kurang yang berminyak dan berlemak.
Namun, kadar kolesterol tinggi dalam kalangan mereka yang aktif bukan mustahil. Walaupun aktiviti seperti senaman aerobik boleh meningkatkan kolesterol baik iaitu HDL dan mengurangkan kolesterol jahat iaitu LDL tetapi ini bergantung kepada kesihatan, pemakanan dan jenis aktiviti dijalankan.
Doktor Kesihatan Pekerjaan, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Nurul ‘Afiah Mohd. Isa, berkata individu aktif bersukan masih berisiko mengalami kolesterol tinggi sekiranya gaya pemakanan mereka tinggi lemak seperti mengamalkan diet ketogenik iaitu pola makan rendah karbohidrat namun tinggi lemak.
“Kolesterol datang dari dua sumber iaitu pemakanan dan dihasilkan secara semula jadi dari badan kita. Kolesterol jahat iaitu LDL, boleh terhasil daripada tubuh kita sendiri dan sumber makanan berlemak yang kita makan. Manakala kolesterol baik atau HDL pula datang dari satu sumber sahaja iaitu dihasilkan oleh tubuh dan bukan dari pemakanan atau makanan tambahan.
“Individu yang mempunyai masalah kolesterol tinggi akibat genetik sukar mengawal kolesterol dengan bersenam atau diet. Ini disebabkan tubuhnya menghasilkan jumlah kolesterol baik dan jahat yang tinggi. Jadi, walaupun mengamalkan diet seimbang, kebanyakan individu ini masih mengalami sedikit peningkatan jumlah had kolesterol jahat dan had kolesterol baik dengan konsisten,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kolesterol adalah sejenis bahan lemak yang diperlukan pada kadar tertentu untuk membantu tubuh menghasilkan hormon seperti hormon seks, menghasilkan vitamin D, membina sel untuk tisu dalam badan dan mengeluarkan cecair dalam hempedu untuk proses pencernaan.
Gejala kolesterol tinggi
Dr. Nurul ‘Afiah berkata, umumnya kolesterol tinggi tidak mempunyai gejala, melainkan berlaku komplikasi seperti serangan jantung, angin ahmar dan sebagainya.
Kadar kolesterol yang tidak normal meningkatkan risiko serangan jantung dan strok kerana pemendapan lemak yang tebal di dinding salur darah.
“Bagaimanapun, individu yang mempunyai had kolesterol tinggi yang kronik, berkemungkinan mengalami tanda-tanda fizikal yang seperti penempelan lemak pada keliling anak mata hitam, kelopak mata dan juga di bahagian sendi seperti Achilles tendon.
“Oleh kerana kolesterol tidak mempunyai gejala, cara terbaik mengesan kolesterol adalah dengan jalani ujian darah sekali setahun. Mereka yang berisiko tinggi seperti mempunyai sejarah keluarga mengalami kolesterol tinggi, obes atau berat badan berlebihan dan merokok perlu menjalani ujian darah,” katanya.
Atasi kolesterol tinggi
Ada beberapa golongan yang perlu mengambil ubat bagi mengawal kolesterol. Tempoh mengambil ubat, bergantung kepada jumlah kolesterol jahat dalam badan dan faktor risiko lain yang boleh menyebabkan individu terbabit mendapat serangan jantung dan strok.
“Penghidap penyakit darah tinggi atau kencing manis atau kedua-duanya sekali, akan diberi ubat kolesterol untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.
Ubat diperlukan terutama jika darah tinggi dan kadar gula mereka tidak terkawal dengan baik. Ubat ini perlu diambil berterusan. Dos ubat akan diberi pada kadar minimum sekiranya pesakit berjaya menurunkan kadar kolesterol pada had normal selepas menukar gaya hidup.
“Individu yang mempunyai kolesterol jahat dengan kadar tinggi walaupun sudah berusaha untuk menjaga pemakanan dan melakukan latihan senaman kardio secara konsisten juga perlukan bantuan ubat. Mereka yang gagal mengubah gaya hidup lebih sihat juga perlu makan ubat untuk mengawal kolesterol,” katanya.
Tempoh makan ubat bergantung pada kadar kolesterol dan ia akan diperiksa secara berkala, empat hingga enam bulan sekali.
“Dos akan diubah bergantung kepada paras kolesterol jahat. Jika individu terbabit berjaya menurunkan paras kolesterol dengan kekal, ubat boleh diberhentikan.
“Individu yang mempunyai masalah genetik kolesterol tinggi dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, dos minimum diberikan untuk mengekalkan had kolesterol jahat pada paras normal,” katanya.










