Misi jadikan Melaka deposit tetap PN

Misi jadikan Melaka deposit tetap PN

DR. MOHD. YADZIL YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
KEMAMPUAN Perikatan Nasional (PN) di Melaka yang sebelum ini dipandang sebelah mata berikutan tewas di 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN), November 2021 tiba-tiba ‘mencanak’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Di bawah kepemimpinan Pengerusi PN negeri yang baharu, kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas berjaya menyumbang tiga kerusi Parlimen, iaitu Masjid Tanah, Jasin dan Tangga Batu. Sesuatu yang tidak pernah difikirkan pemerhati politik termasuk lawan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kepada wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP dan MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI. Pengerusi PN Melaka yang juga Ketua Pembangkang DUN, DR. MOHD. YADZIL YAAKUB berkongsi pandangannya tentang perkembangan terkini parti itu di Bumi Hang Tuah selepas mengambil alih tampuk kepemimpinan yang ditinggalkan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.

Ikuti wawancara yang turut dibantu jurugambar, SYAFEEQ AHMAD di kediaman Mohd. Yadzil di Jasin, Melaka, baru-baru ini.

 

UTUSAN: Pasti ada cabaran bergelar wakil rakyat pembangkang dengan kekuatan hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di DUN Melaka. Bagaimana YB (Yang Berhormat) menguruskan perkara ini sebagai Ketua Pembangkang?

MOHD. YADZIL: Sebenarnya bukan benda mudah, hanya ada dua ahli pembangkang tetapi itu pun sangat bermakna. Sebab banyak kita boleh angkat, dibawa suara rakyat itu sendiri dalam Dewan dengan pelbagai cara. Sebab kalau tidak, kita seolah-olah mengiyakan atau membenarkan segala kesalahan, ketirisan, perkara-perkara tidak sepatutnya dilakukan. Semak dan imbang, walaupun seorang.

Cuma agak sukar kita nak cari sumber-sumber maklumat, agak susah, jadi itu cabaranlah. Dulu (saya) sebagai doktor, sekarang sebagai wakil rakyat.

YB mengalami dua keadaan. Selepas PRN dahulu menjadi pembangkang di negeri tetapi PN masih sebahagian Kerajaan Persekutuan. Kini, PN pembangkang di kedua-dua peringkat selepas PRU15. Adakah keadaan ini semakin menyukarkan?
Waktu PRN Melaka yang lepas, kita ada kerajaan di atas (Pusat) walaupun kita pembangkang di sini dengan tiada peruntukan. Ada kekangan lain tapi pihak atas, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) sendiri pun banyak membantu. Beliau bantu dari sudut peruntukan, semua ada, memang ada. Selepas itu saluran-saluran, contohnya bantuan, kalau tak dapat melalui kerajaan negeri, kita boleh naik, bantuan yang di atas, itu pun sudah memudahkan.

Jadi, bila sudah jadi pembangkang keseluruhan, atas bawah tidak ada, ini memang agak susah sebab semuanya ada sekatan. Tambah lagi peruntukan langsung tidak ada, apa lagi akaun Bersatu sendiri dibekukan.

Cuma kalau kita cakap dari sudut kerja, kekangannya macam itu. Tapi kalau dari sudut parti sendiri, benda itu berbeza sebab sekarang rakyat lebih nampak siapa sebenarnya parti yang membela rakyat. Bukan masalahnya bukan kerajaan, tidak boleh bantu. Tapi mereka nampak track record PN sepanjang pegang kerajaan di mana-mana tempat. Mereka nampak sangat membantu berbanding kerajaan yang pernah wujud sebelum ini dan juga yang baharu wujud sekarang.

Perkembangan parti makin berkembang, makin banyak peminat, makin banyak orang kenal. Walaupun sebenarnya kita memang tidak heboh sangat macam kerajaan negeri, wajarlah sebab mereka sudah kerajaan, sepatutnya buat kerja. Nama PN di mana-mana, tetap di mulut rakyat. nampak sekarang perkembangannya orang lebih memilih PN berbanding dengan kerajaan sebelum dan kerajaan sekarang.

Harapan YB terhadap masa depan PN Melaka?
Pemimpin yang baik akan bentuk pemimpin baharu lebih ramai. Kalau kita rasa kita sahaja yang hebat, nak kekal di atas dengan tekan di bawah, ia tidak akan jadi lebih baik. Politik dalam Bersatu ini, budaya dalam UMNO sebenarnya masih terbawa-bawa dalam Bersatu. Contohnya, politik wang masih ada berlaku. Macam mana kita nak elakkan berlaku itu ambil masa dan satu usaha yang besar.

Macam Pas sendiri macam mana dia boleh hidup lagi? Duit tiada tapi boleh sama menyumbang bantu parti. Satu amalan yang mana Bersatu kena mula ikut supaya prinsip perjuangan itu sendiri, masuk parti ini bukan nak cari kemewahan tetapi macam mana nak pastikan kekal berkuasa untuk bawa agenda-agenda yang lebih baik, bukannya macam dulu. Kalau kita tak amalkan benda itu, ia sama seperti istilah ‘gula-gula’, bila kita jadi pembangkang kawan-kawan akan larilah. Waktu ada gula-gula dia datang, bila tiada gula-gula dia lari. Jadi, benda itu tidak akan kekal, nilai persahabatan sudah tiada.

Perkembangan Bersatu di Melaka selepas PRU15?
Ahli ramai, cawangan pun banyak, cuma orang-orang ini yang masuk dalam parti macam-macam kelompok. Ada masuk sekadar nak jadi ahli menyokong, ada masuk yang betul-betul nak membantu. Setiap kawasan itu berbeza-beza karakter, di bandar lain di kampung-kampung lain. Cuma kita kena tanamkanlah azam itu. Kadang-kadang nak bergerak itu terbantutlah juga bila tiada kemampuan. Kalau dalam diri kita tanam prinsip perjuangan, ikhlas itu ada sebenarnya boleh sahaja. Macam dulu saya sebagai doktor di klinik pun saya tidak pernah nak heboh, buat sahajalah. Sekadar yang ada buat sahaja, jadi orang kenal saya dari situ. Bila sudah masuk politik pula, kita kena tunjuk yang kita sudah buat kerja, tidak buat kerja lain cerita dia.

Bersatu di Melaka ini yang penting, pertama sekali saya jadi pemimpin negeri, saya nak satukan balik sebab sebelum ini macam berpecah. Bukanlah dia benci sesama sendiri tapi disebabkan pemimpin dulu tak mampu nak satukan.

Adakah Melaka bakal menjadi ‘deposit tetap’ buat PN terutama PRN dalam tempoh tiga tahun lagi?
Kita sekarang sedang cuba usahakan. Sebab sekarang kita fokus PRN enam negeri. Lepas puasa, raya (Hari Raya Aidilfitri) akan PRN dan memang sasaran kita nak pastikan rampas Melaka. Kita harap selepas PRN enam negeri, masa itu momentum besar akan dibawa ke selatan di Melaka dan Johor. Jadi, walaupun momentum itu mungkin baik, kita tetap beringat. Orang kata senang hati dan kita kena mula buat kerja. Kita kena cuba tonjolkan balik apa sebenarnya PN, lebih membantu rakyat, prihatin.

Sasaran kita memang sampai rampas negeri ini. Saya yakin boleh berlaku sebab saya tengok pergolakan dalam Melaka di pihak kerajaan pun banyak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×