STRUKTUR politik bersifat tripolar adalah sesuatu yang agak istimewa dan jarang berlaku dalam perjalanan dan percaturan politik dunia dan serantau. Ia terbentuk di rantau Asia Pasifik dalam 1971 hingga 1991. Dalam tempoh masa ini, struktur kuasa yang terbentuk didominasi dan dicatur berasas tiga kuasa utama iaitu Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Soviet dan China komunis. Ia agak unik dan tidak berlaku di rantau lain.
Apa-apa yang berlaku terutama dari aspek ekonomi dan politik serantau mempunyai hubungan rapat dengan struktur tripolar. Ia bukan sahaja penting untuk difahami oleh penganalisis politik dunia dalam tempoh masa itu (1971-1991), tetapi juga selepasnya dan sehingga kini. Misalnya, kenapa rantau Asia Pasifik berbeza dengan Eropah selepas Perang Dingin tamat (1991) juga perlu dikaitkan dengan struktur tripolar yang terbentuk. Begitu juga dengan kebangkitan China dalam 1980-an, 1990-an hingga kini tidak dapat dipisahkan daripada struktur tripolar yang terbentuk. China komunis mungkin tidak akan mencapai China yang ada pada hari ini, andainya struktur tripolar tidak terbentuk.
Struktur tripolar terbentuk bermula dengan lawatan Henry Kissinger ke China pada Julai 1971, diikuti Presiden Richard Nixon, Februari 1972. Apa yang berlaku pada 1972 ini memberi makna besar kepada China bilamana ia diiktiraf kuasa besar dan mengambil semula tempatnya sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1972. Dengan pengiktirafan China ini, wujud tiga kuasa besar di rantau Asia Pasifik. Walaupun kedudukan China di peringkat global tidak setaraf AS dan Kesatuan Soviet, tetapi dalam peringkat politik wilayah ia mempunyai peranan dan perubahan besar. Dalam fasa pertama struktur tripolar (1971-1979), AS menjadi kuasa paksi di mana mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua kuasa.
Bagi menghadapi musuh politik serantau AS, iaitu Kesatuan Soviet, China mendapat bantuan besar daripada AS dalam aspek ekonomi dan teknologi. Secara tidak langsung memberi sumbangan positif kepada kedudukan ketenteraan China. Kedudukan China mesti diperkukuhkan bagi mengekang kekuasaan kuasa Kesatuan Soviet di rantau Asia Pasifik. AS membantu China dalam memajukan teknologi. Misalnya, bantuan meningkatkan kemajuan teknologi komputer yang pada tahun-tahun awal 1970 an, China berada agak terkebelakanag berbanding negara-negara Barat.
Kesan besar kepada kebangkitan China dapat dilihat dalam fasa kedua tripolar, iaitu 1980 hingga 1991. Dalam tempoh masa ini, China menjadi kuasa paksi dalam hubungan bersifat tiga kuasa. Hubungan buruk antara AS dan Kesatuan Soviet berlaku dalam tempoh ini.
Serangan dan pendudukan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan pada Disember 1979 memberi kesan besar kepada hubungan AS-Kesatuan Soviet. Hubungan AS-China bertambah baik. Deng Xiao Peng memeterai hubungan diplomatik dengan AS pada 1979. Hubungan China dengan negara-negara Barat lain terbuka mulai awal 1980-an khususnya dalam bidang ekonomi, pelaburan dan perdagangan. China di bawah pimpinan Deng Xiao Peng melakukan reformasi ekonomi secara besar-besaran.
Dengan perubahan dasar ekonomi dan perdagangan Xiao Peng, ekonomi China melonjak pesat dalam 1980-an dan 1990-an. Dasar ekonomi ini diteruskan oleh Jiang Ximin, Hu Jintao dan pimpinan selepasnya.
REFORMASI
Tanpa struktur politik wilayah yang sesuai, iaitu tripolar, sukar bagi China untuk bangkit dalam masa begitu singkat. Peranan AS dan dasar ekonomi dan pelaburan terbuka China menjadi faktor penting. Mungkinkah Xiao Peng akan berjaya dalam reformasi ekonominya tanpa kestabilan politik serantau? Adakah mungkin AS akan membantu China andainya struktur politik bersifat bipolar (iaitu AS-Kesatuan Soviet+China)? Adakah mungkin berlaku pelaburan luar dari Barat dalam tahun-tahun selepas 1980-an tanpa sokongan sokongan kuasa hegemoni AS? Jawapan mudah, tidak mungkin. Ketidakstabilan terus berlaku dan perjalanan ekonomi serta pelaburan yang pesat tidak mungkin berlaku sebagaimana 1980-an hingga 1990-an.
Percaturan kuasa selepas berakhir era tripolar pada 1991, iaitu selepas runtuhnya secara rasmi Kesatuan Soviet mempunyai hubungan rapat dengan apa yang berlaku dalam era tripolar. Berakhirnya Perang Dingin di rantau lain tidak mengubah Asia Pasifik secara langsung sebagaimana berlaku di Eropah. China tetap berdiri sebagai sebuah kuasa komunis yang kuat. Ia tidak mengalami keruntuhan sebagaimana Kesatuan Soviet dan negara-negara komunis Eropah Timur.
Di sini jelas bahawa kedudukan ekonomi menentukan survival politik. China tetap kukuh kerana kekuatan ekonominya, iaitu ekonomi kedua terbesar dunia mulai akhir 2010. China komunis mesti menilai semula bagaimana ia boleh bangkit dengan cepat dan kuat. Adakah kerana faktor dalaman China semata-mata? Atau kerana hubungan dengan kuasa Barat, AS dan struktur kuasa yang terbentuk? Bagaimana China akan terus dapat mengekalkan kedudukannya? Mampukah China terus kekal dengan struktur baharu?
Adakah struktur tripolor akan terbentuk semula? Adakah akan muncul satu kuasa baru di rantau Asia Pasifik? Apa pun kuasa dan percaturan baharu yang mungkin terbentuk pada masa hadapan, asas utama adalah jaminan kestabilan politik serantau. Ekonomi tidak akan berkembang maju tanpa sebuah keadaan politik yang stabil.
Adakah China perlu berkonflik dengan kuasa besar AS dan menjadi kuasa besar tunggal di rantau Asia Pasifik? Adakah China mampu? Adakah AS akan membiarkan rantau Asia Pasifik dikuasai sepenuhnya oleh kuasa baharu lain yang telah dikawalnya sejak berakhir Perang Dunia Kedua? Tidak mudah bagi AS untuk keluar dari rantau Asia Pasifik demi kestabilan dan kepentingan ekonomi dan politik negara-negara sekutunya.
China belum cukup kuat sepenuhnya untuk menjadi kuasa besar tunggal menguasai rantau Asia Pasifik.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah.











