ISLAM juga adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Sebab itu, Islam tidak melarang umatnya bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Puasa itu adalah hari kalian berpuasa dan Aidilfitri adalah hari kalian berbuka… (Riwayat at-Tirmidzi)
Sebab itulah Islam mengharamkan umatnya berpuasa pada 1 Syawal kerana ia adalah masa untuk menunjukkan Ramadan sudah berlalu dan tuntutan Ramadan sudah berakhir.
Rasulullah SAW turut membenarkan penduduk Madinah bergembira dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu.
Lalu baginda berkata: “Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat al-Nasai).
Pun begitu, dalam keseronokan berhari raya, bertemu ibu bapa dan sanak-saudara yang tercinta, janganlah kita leka dengan ‘jerat’ syaitan.
Jangan abai solat fardu
Amat malang jika sambutan hari raya menyebabkan kita terbabas menunaikan solat fardu. Walhal sepanjang Ramadan, kita sentiasa mendirikannya pada awal waktu.
Janganlah kerana alasan sibuk ziarah menziarahi menyebabkan kita lupa tugas utama kita di atas muka bumi iaitu menyembah Allah SWT melalui ibadat solat.
Jaga batas aurat
Kadangkala keseronokan berjumpa sanak-saudara dan ipar-duai menjadikan kita lupa batas-batas aurat sesama bukan mahram. Yang paling biasa dibuat adalah bersalam termasuk dengan bukan mahram.
Ini antara yang perlu diberi perhatian. Perayaan tidak menghalalkan kita menyentuh orang yang bukan mahram.
Kalau nak minta maaf, cukup dengan mengucapkan permohonan maaf tanpa perlu menghulur tangan terutama bagi lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Elak membazir
Bagi sesetengah orang, bukan raya jika juadah tidak melimpah ruah atas meja makan. Pandangan begini juga perlu diperbetulkan.
Memang kita disuruh meraikan tetamu tetapi berpada-padalah. Jangan sampai ia jadi beban kerana menyediakan terlalu banyak juadah.
Lagipun, kita baru selesai puasa sebulan. Perut kita pun masih dalam peringkat penyesuaian daripada tidak makan waktu siang kepada normal makan pagi dan tengah hari.
Ingatlah amaran Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya. (al-Israk: 27).
Berlebihan berhias diri
Berhias diri secara berlebihan bagi wanita yang mana dapat menarik perhatian para lelaki bukan mahram. Kaum wanita memang tidak lari daripada fitrahnya yang sukakan kecantikan. Oleh itu, segelintir daripada mereka gemar berhias diri dengan memakai wangi-wangian dan bersolek.
Ia dibenarkan jika dilakukan secara bersederhana, namun apabila dilakukan secara berlebihan, ia ditegah dalam Islam.
Dalam pada itu, mari kita amalkan sunnah-sunnah menyambut Aidilfitri sebagaimana dianjurkan oleh Nabi SAW.
1) Mandi sunat sebelum tunai solat hari raya
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ali bin Abi Thalib pernah ditanya mengenai mandi. “Adakah diharuskan mandi setiap hari?” Baginda menjawab: “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat al-Baihaqi).
2) Makan sedikit sebelum solat hari raya
Berbeza dengan Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan menjamah makanan sebelum menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri. Ia berdasarkan hadis dari Anas bin Malik yang bermaksud: Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya Aidilfitri sehinggalah baginda menjamah beberapa biji kurma. (Riwayat Bukhari)
3) Membanyakkan takbir
Hari raya biasanya disambut dengan gema takbir sebagai cara untuk mengagungkan Allah dan menggambarkan syiar Islam.
Takbir raya Aidilfitri bermula selepas terbenamnya matahari (maghrib) pada malam Hari Raya Aidilfiri sehingga takbiratul ihram solat hari raya.
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir atas petunjuk yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185)
Jangan sia-siakan malam hari raya dengan bersembang semata-mata. Sebaliknya ajaklah ahli keluarga bertakbir menghiasi dan memenuhkan waktu yang ada sehingga kita abaikan sunnah bertakbir ini.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan satu sama lain
Ucapan yang menjadi amalan Rasulullah SAW dan para solihin yang sangat digalakkan untuk mengamalkannya ialah Taqabbalallahu minna wa minkum yang bermaksud: “Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan mu”.
Oleh itu, selain mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin hendaklah kita mengamalkan ucapan di atas.
Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah pada hari raya dan aku katakan kepada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab: “Ya, taqabbalallahu minna wa minka”. (Riwayat al-Baihaqi).
5) Pakai pakaian terbaik
Kita disunatkan memakai pakaian yang cantik dan indah semasa menyambut Aidilfitri. Akan tetapi, wanita hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang mencolok mata dan tidak berlebih-lebihan ketika berhias diri.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Rasulullah SAW menyuruh (hukum sunat) kami pada kedua Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) untuk memakai pakaian yang terlebih baik apa yang kami ada dan berwangi-wangian dengan sebaik-baik wangian apa yang kami ada. (Riwayat al-Hakim)
6) Berjalan kaki ke masjid
Berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri adalah lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Walaupun begitu, perbuatan menaiki kenderaan untuk pergi ke masjid bukanlah satu larangan.
Hadis daripada Ali bin Abi Talib berkata: Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum pergi. (Riwayat Tirmidzi)
7) Guna laluan berbeza semasa balik dari solat
Disunatkan untuk menggunakan jalan yang berbeza ketika pergi dan balik dari tempat solat. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Nabi biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya. (Riwayat Bukhari)
8) Ziarah menziarahi
Amalan ini sangat digalakkan agar dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama muslim tidak kira tua atau muda.
Nabi pernah bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjangkan) umurnya, maka hendaklah dia menyambung hubungan persaudaraannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)-UTUSAN
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.











