SELURUH warga universiti menyambut baik kesungguhan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasakan peranan wakaf di universiti.
Dalam perutusan tahun baharu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan keperluan bagi setiap universiti untuk meraih dana wakaf, endowment, infak dan apa jua sumbangan bagi memastikan universiti berfungsi sebaiknya.
Peranan wakaf dilihat amat signifikan dan mampu menjadi pemangkin kepada kemampanan kewangan di universiti.
Turut ditegaskan beliau ialah keperluan menjadikan universiti mandiri dari segi kewangan serta pembangunan prasarana.
Ini kerana kelangsungan institusi pendidikan tinggi tidak lagi boleh bergantung harap sepenuhnya kepada kemurahan hati atau kebakhilan kerajaan. Tanggungjawab membangunkan kemandirian kewangan merupakan antara tugas penting di universiti dan ia boleh direalisasikan menerusi pemerkasaan pendanaan wakaf di setiap universiti.
Menjadi kelaziman bagi pengkaji wakaf untuk membawakan contoh-contoh kejayaan wakaf dalam institusi pendidikan seperti Al-Azhar dan Al-Qawariyyin di Timur serta Oxford dan Cambridge di Barat.
Dalam konteks masa kini, penilaian pelaksanaan wakaf di universiti di Malaysia perlu dilakukan secara adil tanpa membanding bezakan institusi pendidikan luar negara. Dalam menjayakan hasrat murni ini, beberapa cabaran perlu didepani dan anjakan paradigma perlu diambil dalam merealisasikannya.
Kesungguhan di peringkat universiti tidak perlu diragui lagi dengan tertubuhnya unit atau bahagian wakaf di setiap universiti. Pelbagai projek dan program pembangunan wakaf juga telah dan akan dilaksanakan di setiap universiti bagi menyahut hasrat kerajaan ini. Prasarana digital dan kemudahan teknologi terkini semuanya telah tersedia untuk mendukung pemerkasaan wakaf.
Dua cabaran utama dalam melonjakkan pemerkasaan wakaf di universiti masa kini ialah kewajipan melaksanakannya menepati legitimasi semasa dan kedua, usaha dedikasi sinergi yang harmoni dengan para pemegang taruh terlibat.
Antara kekangan universiti ialah prosedur permohonan untuk kelulusan di bawah subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi wakaf.
Insentif pengecualian cukai bagi para penyumbang wakaf merupakan daya penarik utama kepada usaha pengumpulan dana wakaf di universiti. Namun, prosedur permohonan yang ketat menjadi sukar untuk diselarikan dengan undang-undang sedia ada.
Pemerkasaan wakaf di peringkat universiti perlu menepati legitimasi semasa akta percukaian, namun terhalang dengan prosedur yang terlalu ketat dan mengikat. Sebagaimana ruang yang luas diberikan kepada instrumen zakat dalam pengecualian cukai, instrumen wakaf juga layak dan harus menerima layanan sama kerana ia berpotensi besar untuk membantu universiti dan juga negara dalam kemampanan kewangan di masa hadapan.
Selain itu, pemerkasaan wakaf di universiti menuntut dedikasi sinergi yang utuh dengan pemegang taruh utama dalam pelaksanaannya.
Dalam situasi ini, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) merupakan pemegang taruh terbesar universiti dalam pelaksanaan wakaf.
Berbeza dengan realiti di luar negara di mana pelaksanaan wakaf dilaksanakan secara bebas dan tiada kawalan khusus, Malaysia sentiasa menjunjung perlembagaan dan undang-undang berkaitan pelaksanaan wakaf.
Pelaksanaan wakaf diperuntukan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan khusus berkaitan urusan keagamaan yang diletakkan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri. Melalui peruntukan bidang kuasa yang telah ditetapkan ini, badan perundangan negeri mempunyai bidang kuasa untuk membuat rang undang-undang tersendiri termasuk dalam perkara melibatkan hal ehwal orang Islam pada Bahagian VI Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri di bawah Perkara 73 hingga 76 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh kerana itu, MAIN adalah pemegang amanah tunggal melibatkan harta wakaf, nazar dan amanah di Malaysia. Ini juga seperti dinyatakan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) No. 1 Tahun 2003 (Seksyen 89-95) dan Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015 bagi Selangor.
Status MAIN sebagai pemegang amanah tunggal di negara ini menggambarkan keunikan tersendiri yang tiada di negara lain dan ia perlu dipertahankan sebaiknya.
Ia bertujuan memastikan urusan berkaitan hal ehwal Islam dipelihara sebaiknya tanpa boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak berkepentingan. Semua universiti memperakui peranan MAIN ini dan mendukung sebaiknya peranan ini dalam pelaksanaan wakaf.
Hubungan yang baik ini memerlukan sinergi yang khusus agar pemerkasaan wakaf di universiti dapat dilonjakkan. Situasi menang-menang mampu dihasilkan melalui sinergi yang mantap antara MAIN dan universiti.
Pihak universiti tidak sama sekali mengambil alih peranan MAIN dalam urusan wakaf tetapi menjadi pembantu dan penggerak setia kepada pembangunan wakaf negeri.
Menerusi pembangunan wakaf di universiti, kesan positif kepada pembangunan wakaf di sesebuah negeri akan turut dirasai. Penyelidikan dan konsultasi kepakaran daripada universiti juga mampu membantu MAIN dalam memastikan pembangunan wakaf dilaksanakan secara mampan, sistematik dan berimpak tinggi.
Usaha pembangunan wakaf di universiti merupakan peranan dan tanggungjawab bersama semua pihak. Segala strategi dan mekanisme perlu dirancang dan digembleng bersama bagi memastikan kelancaran dalam pelaksanaannya.
Kesungguhan dan hasrat murni KPT untuk memperkasakan peranan wakaf di universiti boleh dicapai sekiranya cabaran yang digariskan berjaya didepani dengan jayanya sekali gus melonjakkan wakaf sebagai pemangkin kemampanan kewangan negara selari dengan semangat Malaysia Madani.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB ialah Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah & Wakaf, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.










