SESUNGGUHNYA, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melakarkan kejayaan yang sangat menyerlah. Namun, gagasan pemerintah itu tidak memperlihatkan kegagalan yang perlu dipertikaikan dalam tempoh 100 hari pemerintahan pertama.
Barangkali orang ramai suka membuat perbandingan antara kerajaan pimpinan Anwar sekarang dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya memerintah buat kali pertamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Akan tetapi, kita perlu ingat kali ini PH tidak memerintah secara solo, malah gagasan itu berganding bahu dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan.
Keempat-empat gagasan politik itu sebenarnya bersaing antara satu sama lain secara bermati-matian dalam PRU15. Keputusan PRU15 jelas menunjukkan masing-masing parti tersebut memperoleh sokongan tersendiri, akan tetapi jumlah kerusi dimenangi setiap gagasan itu tidak cukup untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh, maka mereka akhirnya bermuafakat untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.
Meskipun pemerintahan baharu tidak menampakkan sinaran yang merangsang dalam tempoh 100 hari pemerintahan pertama, namun berbanding kerajaan PH di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, pimpinan Anwar memperlihatkan persefahaman yang lebih padu. Komponen parti tidak lagi berselisih faham, kritik-mengkritik dan saling menuduh. Kepemimpinan Perdana Menteri baharu nampaknya lebih stabil dan cemerlang.
Perdana Menteri sekarang sememangnya mengerti dan memahami bahawa cabaran kerajaan perpaduan jauh lebih besar dan sukar jika dibandingkan dengan mana-mana kerajaan lepas. Apa-apa dasar dan rancangan yang hendak diketengahkan memerlukan komunikasi dan integrasi menyeluruh. Begitu juga pembangunan wilayah dan segmen masyarakat perlu dipertimbangkan secara teliti dan rapi. Apatah lagi kerajaan perpaduan sedang berhadapan persaingan politik yang sengit daripada Perikatan Nasional (PN) gemblengan tenaga oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Sekiranya kita meninjau kembali manifesto yang disediakan oleh komponen politik kerajaan perpaduan, sudah tentu kita mendapati sebahagiannya terdapat kontradiksi antara satu sama lain ataupun tiada kesepakatan langsung. Anwar sebagai ketua dalam kerajaan perlu menangani terlebih dahulu isu terdapat konsesus yang lebih menyeluruh. Bagi mana-mana isu yang tidak terlaksana atau memerlukan persefahaman dan kajian lebih mendalam, maka eloklah ia diketepikan buat seketika. Mencari titik persamaan dalam perbezaan merupakan cabaran terbesar kerajaan perpaduan.
Semenjak keruntuhan kerajaan PH pada 2020 dan pemerintahan dipegang secara bergiliran oleh tiga Perdana Menteri berlainan, ditambah dengan berlakunya pandemik Covid-19, kestabilan politik dalam negara terjerumus ke kancah lubuk sebelum PRU15. Persaingan dan pergolakan politik itu disifatkan sebagai yang paling kemuncak sepanjang sejarah politik Malaysia.
Selepas kemenangan dalam PRU15, kerajaan pimpinan Anwar terpaksa memikul beban berat senggulung batu untuk mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan negara baik dari aspek ekonomi mahupun pentadbiran. Solusi untuk mengurangkan tanggungan hutang negara, meringankan beban hidup rakyat dan memulihkan keyakinan pelabur asing terhadap negara kita menjadi perkara yang diutamakan oleh kerajaan pada peringkat ini. Mudah-mudahan kehidupan rakyat akan kembali kepada landasan sediakala dan negara terus melangkah maju.
PILIHAN RAYA NEGERI (PRN)
Tiga bulan lagi, empat negeri di Semenanjung akan menjalani pilihan raya negeri (PRN). Anwar perlu mengekalkan kemenangan kerajaan perpaduan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang memang kini berada dalam tangan PH.
Dalam pada itu, PH sebenarnya sangat berhajat untuk menembusi benteng pemerintahan kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang kini dalam cengkaman parti pembangkang. Akan tetapi, memandangkan PN mempunyai sokongan kuat sehingga ke akar umbi daripada masyarakat Melayu di luar bandar, maka PRN merupakan satu peperangan yang tidak mudah bagi kerajaan perpaduan. Anwar dan pasukan pemerintahannya perlu membuktikan kepada khalayak pengundi luar bandar bahawa mereka lebih bijak dan berdaya mentadbirkan negara daripada parti lawan untuk memperjuangkan kepentingan penduduk luar bandar.
CABARAN
100 hari pertama pemerintahan kerajaan perpaduan boleh disifatkan sebagai tempoh penerokaan dan apa-apa pencapaiannya boleh dinilai sebagai penandaarasan, baik oleh rakyat jelata mahupun kerajaan sendiri untuk mengumpulkan kejayaan dan sokongan lebih besar pada masa depan.
Bagi kerajaan perpaduan, 100 hari kedua merupakan ujian peringkat kedua, dan mereka memasuki tempoh pembuktian. Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar memerlukan banyak tindakan proaktif dan kebijaksanaan politik untuk merealisasikan dan menunaikan segala janji kepada rakyat dan negara. Cabaran serta-merta di hadapan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah menang dengan cemerlang dalam PRN di keenam-enam negeri tersebut.
Pada hakikatnya, sebahagian besar rakyat faham benar situasi yang dihadapi kerajaan sekarang. Mereka tahu segala perubahan memerlukan masa untuk dilaksanakan satu per satu. Rakyat kelihatan sabar dan sudi untuk memberikan kerjasama. Apa yang perlu dilakukan oleh Anwar ialah mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalam kerajaan yang akan membawa kepada keruntuhan negara.
Akhir sekali, rakyat harus patuh kepada sistem demokrasi. Kita perlu sedar bahawa kerajaan dipilih oleh rakyat sendiri secara adil dan saksama melalui pilihan raya. Perkara yang penting sekarang ialah memberhentikan kemelut politik, membentukkan semula negara dan mengembangkan ekonomi negara.-UTUSAN
Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










