Saya sebelum ini pernah menulis berkenaan kelebihan perkuburan al-Baqi’ yang berada di Madinah. Sehingga para ulama menyatakan apabila kita selesai memberi salam kepada Rasulullah SAW, kita disunatkan menziarahi perkuburan al-Baqi’ setiap hari terutama hari Jumaat.
Menurut para ulama; kita juga dituntut menziarahi makam Saidina Ibrahim putera Rasulullah SAW, Saidina Uthman bin Affan, Saidina al-Abbas, Saidina al-Hasan bin Ali bin Abu Talib, Saidina Ali bin al-Husayn bin Ali bin Abu Talib yang terkenal dengan panggilan Ali Zayn al-Abidin, Saidina Muhammad bin Ali al-Baqir, Saidina Ja’far bin Muhammad al-Sodiq dan makam-makam lain yang ada di al-Baqi’. Seterusnya kita sudahi dengan menziarahi makam Saidatina Sofiyyah binti Abd. al-Muttalib.
Makam-makam yang disebutkan di atas adalah antara makam yang dikenalpasti lokasinya di perkuburan al-Baqi’. Namun, ada lagi beberapa tokoh Islam khususnya para sahabat yang kubur mereka berada berhampiran dengan kubur-kubur utama di atas.
Makam Saidina ‘Aqil
Berikut adalah tokoh-tokoh yang dikebumikan di perkuburan Saidina Aqil mengikut urutan tarikh kewafatan:
Saidina Abu Sufyan bin al-Harith bin Abdul Muttalib (wafat pada tahun 15 Hijrah). Beliau adalah sepupu Rasulullah SAW dan saudara sepupu baginda kerana beliau juga menyusu dengan Saidatina Halimah al-Saa’diah.
Beliau memeluk agama Islam ketika Nabi SAW dalam perjalanan ke Mekah untuk membuka kota Mekah. Perlu diingatkan berlaku kesilapan pada sebahagian peta perkuburan al-Baqi’ yang tersebar yang menyatakan antara yang dikebumikan di kawasan makam Saidina ‘Aqil adalah Salman bin al-Harith sedangkan yang sebenarnya adalah Abu Sufyan bin al-Harith.
Saidina Aqil bin Abu Talib (wafat sebelum Zulhijjah tahun 63 Hijrah) adalah abang kandung Saidina Ali bin Abu Talib. Beliau 20 tahun lebih tua daripada Saidina Ali. Beliau memeluk Islam sebelum berlaku perjanjian al-Hudaibiah.
Menurut sebahagian pendapat, Saidina Aqil meninggal dunia pada awal pemerintahan Yazid bin Muawiyah sebelum terjadinya peristiwa al-Harrah yang berlaku pada bulan Zulhijjah tahun 63 Hijrah.
Saidina Abdullah bin Ja’far bin Abu Talib (wafat pada tahun 80 Hijrah) adalah anak saudara Saidina Aqil bin Abu Talib. Saidina Abdullah adalah sahabat Rasulullah SAW daripada kalangan kanak-kanak. Beliau lahir di al-Habsyah semasa ayah beliau iaitu Saidina Ja’far bin Abu Talib dan ibunya, Saidatina Asma binti Umays tinggal di sana.
Perkuburan Al-Imam Nafi’ dan Al-Imam Malik
Berikut pula adalah tokoh-tokoh yang dikebumikan di kawasan perkuburan ini mengikut urutan tarikh kewafatan:
Al-Imam Nafi’. Walau bagaimanapun tidak dapat dipastikan adakah al-Imam Nafi’ yang dikebumikan di sini adalah al-Imam Nafi’ bin Abd al-Rahman bin Abu Nu’aym (wafat pada tahun 169 Hijrah) iaitu tokoh terkemuka di dalam bidang pembacaan al-Quran atau tokoh yang dikebumikan di sini adalah al-Imam Nafi iaitu bekas hamba Saidina Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab yang meninggal dunia pada tahun 117 Hijrah.
Walaupun berlaku kesamaran dalam menentukan siapakah al-Imam Nafi’ yang dikebumikan di sini, kedua-dua mereka adalah guru kepada al-Imam Malik bin Anas kerana Imam Malik mempelajari al-Quran di bawah bimbingan al-Imam Nafi’ bin Abd. al-Rahman bin Abu Nu’aym. Al-Imam Malik juga mempelajari hadis dan ilmu fiqh daripada al-Imam Nafi’.
Al-Imam Malik bin Anas (wafat pada tahun 179 Hijrah). Beliau adalah pengasas mazhab Maliki dan guru kepada al-Imam al-Syafie.
Fadhilat al-Syeikh Muhammad al-Ghozali (wafat pada tahun 20 Syawal tahun 1416 Hijrah bersamaan 9 Mac 1996). Beliau adalah antara ulama terkemuka al-Azhar sering berdoa agar dikebumikan di Madinah sekalipun tinggal di Mesir.
Allah mentakdirkan beliau dijemput menyampaikan kuliah di satu muktamar di Riyadh pada tahun 1996. Semasa di muktamar tersebut, ucapan akhir beliau adalah: “Kita mahu untuk merialisasikan di bumi ini ucapan Lailahaillallah” lalu beliau rebah dan meninggal dunia.
Atas perintah Putera Mahkota Kerajaan Arab Saudi; Putera Abdullah, jenazah al-Syeikh Muhammad al-Ghozali dihantar ke Madinah dan dikebumikan di antara al-Imam Nafi’ dan al-Imam Malik.
Maqam Saidina Ibrahim
Berikut adalah tokoh-tokoh yang dikebumikan di perkuburan Saidina Ibrahim mengikut urutan tarikh kewafatan:
Saidina As’ad bin Zuroroh (wafat pada Syawal tahun 1 Hijrah). Beliau antara yang terlibat di dalam Perjanjian al-Aqabah kali yang pertama dan kali yang kedua. Beliau adalah penjaga kepada dua anak yatim iaitu Saidina Sahl bin ‘Amr al-Ansori dan Saidina Suhayl bin ‘Amr al-Ansori yang akhirnya Rasulullah SAW membeli tanah dua orang anak yatim tersebut dengan harga 10 dinar untuk di bina al-Masjid al-Nabawi di atas tanah tersebut.
Sayyidina As’ad bin Zuroroh meninggal dunia pada tahun pertama hijrah ketika al-Masjid al-Nabawi masih sedang dibina.
Saidina Uthman bin Maz’un (wafat pada tahun 2 Hijrah). Beliau adalah antara tentera peperangan Badr al-Kubra. Beliau adalah sahabat Nabi SAW daripada golongan al-Muhajirin yang mula-mula wafat di Madinah dan orang dari golongan al-Muhajirin yang terawal dikebumikan di perkuburan al-Baqi’.
Saidina Khunayz bin Khudzafah al-Sahmiyy (wafat pada tahun 2 Hijrah). Beliau adalah suami Saidatina Hafsah sebelum Saidatina Hafsah dikahwini oleh Nabi SAW. Beliau telah berhijrah ke al-Habsyah dan menyertai peperangan Badr. Beliau meninggal dunia selepas pulang dari medan Badr.
Ada pandangan lain menyatakan Saidina Khunayz turut menyertai peperangan Uhud lalu cedera semasa peperangan itu dan akhirnya beliau syahid akibat kecederaan tersebut.
Saidatina Fatimah binti Asad bin Hashim bin Abdu Manaf bin Qusoyy (wafat pada tahun 4 hijrah) iaitu ibu kepada Saidina Ali bin Abu Talib. Ada pandangan mengatakan beliau meninggal dunia di Mekah sebelum peristiwa hijrah. Namun pandangan yang kuat menyatakan beliau berhijrah ke Madinah dan meninggal dunia di sana.
Selain itu ada sumber yang menyatakan Saidatina Fatimah binti Asad sebenarnya dikebumikan di perkuburan Ahlul Bayt. Ada juga yang mengatakan beliau dikebumikan di kawasan permakaman Saidina Sa’d bin Muadz dan Saidina Abu Sa’id al-Khudriyy. Ada juga yang berpandangan Saidatina Fatimah binti Asad dikebumikan di kawasan permakaman Saidina Aqil bin Abu Talib.
Saidina Ibrahim bin Rasulullah (wafat pada tahun 10 Hijrah). Saidina Ibrahim adalah satu-satunya anak Rasulullah SAW yang bukan daripada zuriat Saidatina Khadijah binti Khuwailid kerana beliau adalah anak kepada hamba wanita Nabi SAW yang bernama Saidatina Mariah al-Qibtiyyah. Saidina Ibrahim meninggal dunia ketika berusia 16 bulan.
Saidina Abdullah bin Mas’ud (wafat pada 32 Hijrah).
Saidina Abd. al-Rahman bin ‘Auf (wafat pada 31 Hijrah).
Saidina Sa’d bin Abu Waqqas (wafat pada tahun 55 Hijrah). Beliau meninggal dunia di istananya di Wadi al-‘Aqiq lalu jenazah beliau diusung ke al-Baqi’ dan dikebumikan di situ.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.









