SAYA tertarik untuk menulis dan mengupas mengenai program Hari Penghargaan Atlet Azerbaijan yang berlangsung pada 9 Januari lalu supaya menjadi contoh teladan kepada kita untuk terus menghargai sumbangan dan jasa para ahli sukan di negara ini. Dalam sambutan tersebut, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev menyatakan bahawa sukan merupakan antara sebahagian daripada kehidupan rakyat Azerbaijan dan ia dibuktikan dengan kemenangan demi kemenangan atlet-atlet Azerbaijan.
“Pada masa sama, pelbagai pertandingan antarabangsa yang diadakan di negara kita mengesahkan lagi bahawa Azerbaijan adalah sebuah negara sukan. Secara keseluruhannya, dasar yang dijalankan sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuahkan hasil yang baik pada hari ini,” katanya.
Perhatian yang diberikan kepada sukan dan pendidikan jasmani oleh negara itu dan secara peribadi oleh Ilham Aliyev dan pembangunan infrastruktur sukan membolehkan atlet mereka beraksi dengan jayanya dalam pertandingan antarabangsa.
Sejak 1991, apabila mencapai kemerdekaan, Azerbaijan memenangi lebih 800 pingat dalam pelbagai pertandingan antarabangsa. Kira-kira 300 daripadanya adalah pingat emas. Ia sememangnya satu pencapaian yang membanggakan.
Persaingan di peringkat dunia semakin meningkat dan sukan-sukan tempatan Azerbaijan terus diberi perhatian. Oleh itu, bukanlah suatu kerja yang mudah untuk Azerbaijan menghasilkan keputusan yang baik dalam sukan yang disertainya pada setiap tahun.
Lima tahun lalu, Azerbaijan menduduki tempat pertama dalam pertandingan berpasukan di Sukan Solidariti Islam yang diadakan di Baku, Azerbaijan. Kejayaan ini dilihat sebagai kemenangan bersejarah bagi seluruh warga Azerbaijan.
Baru-baru ini pula di Konya, Turkiye, atlet Azerbaijan berjaya meraih tempat keempat dalam kalangan 56 negara yang bertanding serta berjaya memenangi 99 pingat. Ini sekali lagi mengesahkan kejayaan yang dicapai Azerbaijan dalam bidang sukan kerana saingan dalam Sukan Solidariti Islam adalah sangat sengit. Hampir semua pasukan menurunkan atlet terbaik mereka. Memenangi tempat keempat dalam pertandingan sukan ini sudah tentu merupakan satu kemenangan besar dan antara pencapaian terhebat Azerbaijan.
Dalam acara sambutan yang penuh bermakna itu, kesemua atlet dan perancang kemenangan sukan Azerbaijan sepanjang tahun lalu telah dihadiahkan sebuah unit pangsapuri! Ternyata hadiah ini merupakan satu pengiktirafan yang cukup baik dalam memastikan semangat para atlet sukan Azerbaijan untuk terus berjuang demi tanah air mereka sekali gus menguntungkan negara.
Sukan dan rakyat Azerbaijan sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing. Jika kita melihat kepada sejarah kuno mereka, bidang pendidikan jasmani dan sukan juga telah bermula sejak ribuan tahun lalu.
ANAK PANAH
Terdapat beberapa ciptaan yang mempengaruhi perkembangan masyarakat pada zaman batu seperti penemuan busur dan anak panah.
Kita juga boleh menjumpai catatan-catatan dan tarian-tarian yang mencerminkan pelbagai pergerakan fizikal manusia semenjak 2,000 tahun Sebelum Masihi di samping penggunaan alat-alat gangsa di Azerbaijan (zaman gangsa).
Petroglif (lukisan atau turisan atau ukiran pada dinding batu atau gua pada zaman prasejarah) purba Gobustan adalah contoh yang jelas tentang fakta ini. Banyak imej dan lukisan di atas batu menggambarkan adegan memburu, figura haiwan, tarian dan pergerakan fizikal manusia lainnya.
Penyair agung Azerbaijan, Nizami yang hidup pada abad ke-12 telah menggambarkan keberanian wiraan (heroic) rakyat Azerbaijan khususnya penguasaan ahli gusti mereka dalam puisi terkenal. Kajian juga menemukan banyak maklumat tentang pergerakan fizikal dalam monumen budaya yang berkaitan dengan kreativiti rakyat secara bertulis pada zaman timur purba.
Sudah tentu, pendidikan sukan telah memainkan peranan penting dalam pencapaian jangka panjang Azerbaijan. Dan kerajaan terus mengukuhkan dasar pendidikan dalam hal ini. Akademi Pendidikan Jasmani dan Sukan Azerbaijan beroperasi sebagai institusi pendidikan utama bidang ini.
Akademi ini yang diasaskan pada 8 November 1930 dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Pada mulanya ia dinamakan Institut Pendidikan Jasmani Transcaucasian. Objektif utama institut tersebut adalah melatih guru pendidikan jasmani, jurulatih, metodologi perubatan bagi menyokong pendidikan jasmani dan sukan.
Akademi ini telah melahirkan ramai pakar sukan di Azerbaijan. Kumpulan pertama pakar berkelayakan tinggi terdiri daripada 39 pelajar (6 perempuan, 33 lelaki) lulus dari institut itu pada 1933.
Pada 1999, institut ini dinamakan Akademi Pendidikan Jasmani dan Sukan Azerbaijan. Sehingga 2015, lebih 30,000 pakar dilahirkan dari akademi ini.
Hari ini, Akademi Pendidikan Jasmani dan Sukan Azerbaijan merupakan sebuah sekolah pendidikan tinggi yang menyediakan semua kemungkinan dalam menyediakan pakar-pakar sukan berkelayakan tinggi
Akademi ini menetapkan matlamat untuk membawa pendidikan sukan ke tahap dunia, meningkatkan kualiti pendidikan dan menyediakan tenaga sukan profesional yang berdaya saing ke pasaran antarabangsa.
Sebagai sebuah negara merdeka Azerbaijan menyertai Pergerakan Olimpik Antarabangsa (IOM) pada 1992, sejurus selepas kejatuhan Kesatuan Soviet. Jika kita melihat Sukan Olimpik, kita akan melihat bahawa Azerbaijan telah mencapai kejayaan besar dalam pertandingan ini.
Pada 1996, pasukan Azerbaijan, yang diwakili 23 atlet menduduki tempat ke-61 dalam kalangan 197 negara di Sukan Olimpik Atlanta. Pada Sukan Olimpik Musim Panas XXVII di Sydney, Azerbaijan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik buat kali kedua sebagai negara merdeka dan memenangi tempat ke-34 dalam kalangan negara yang mengambil bahagian dan tempat ke-23 dalam kalangan negara Eropah dengan dua pingat emas dan satu gangsa.
Pada Sukan Olimpik Musim Panas XXVIII di Athens, pasukan kebangsaan Azerbaijan pulang dengan satu pingat emas dan empat gangsa.
Dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, Azerbaijan menamatkan persembahannya dengan memenangi sejumlah tujuh pingat termasuk tiga perak dan empat gangsa.-UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu-isu semasa.










