ALOR SETAR: Kedah mungkin kekal sebagai negeri pengeluar padi utama negara. Namun, kedudukan itu berdepan persoalan besar apabila perubahan iklim, tekanan bekalan air, tenaga kerja dan kos pengeluaran semakin mencabar kelangsungan industri padi di negeri ini.
Persoalan bukan lagi sekadar berapa tan padi mampu dituai pada satu-satu musim tetapi sama ada Kedah yang bergelar ‘Jelapang Padi’ mampu mengekalkan kapasiti pengeluaran itu dalam tempoh akan datang ketika semakin banyak faktor sukar dijangka.
Data Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan pengeluaran padi di Kedah menurun daripada 914,200 tan pada 2020 kepada 906,692 tan (2021), 834,901 tan (2022), 747,193 tan (2023) sebelum meningkat kepada 777,021 tan pada 2024.
Walaupun peningkatan dicatatkan pada 2024, angka itu masih rendah berbanding pengeluaran pada 2020 yang menunjukkan cabaran meningkatkan produktiviti tidak boleh dilihat hanya berdasarkan satu musim atau setahun.
Bagi petani, setiap tan yang hilang bukan sekadar angka mahupun statistik tetapi bermakna pendapatan mereka turut terjejas, selain terdapat kos perlu ditanggung dan bekalan makanan yang perlu diganti.
Lebih membimbangkan, cabaran yang dihadapi sektor berkenaan tidak berdiri secara berasingan termasuk di 100,000 hektar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Bekalan air yang tidak menentu boleh mengganggu jadual penanaman, cuaca panas dan kering menjejaskan pembentukan hasil manakala peningkatan kos mengecilkan margin pendapatan pesawah.
AIR JADI PENENTU

Perkara itu semakin jelas apabila pesawah di Kedah berdepan keadaan bekalan air tidak menentu sejak beberapa musim lalu, ditambah kedudukan takungan tiga empangan kini hanya 35.76 peratus, selain kebarangkalian El Nino meningkat menjelang hujung tahun ini.
Ekoran kedudukan takungan yang terhad, MADA memaklumkan status pengairan penanaman padi Musim 2/2026 yang bermula 23 September lalu bagi fasa pertama akan bergantung sepenuhnya kepada keberkesanan hujan.
“Keadaan itu dijangka menjadi lebih mencabar susulan unjuran menunjukkan kebarangkalian El Nino meningkat sehingga 96 peratus menjelang penghujung 2026 dan berpotensi berkembang ke tahap lebih kuat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Disebabkan faktor sama, petani di Kedah pada musim lalu terpaksa melewatkan tanaman sehinggakan hanya 10 peratus daripada 56,000 pesawah memulakan kerja-kerja dalam tempoh dicadangkan.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, sebahagian besar pesawah ketika itu memilih untuk menangguhkan penanaman kerana bimbang terhadap bekalan air, selain peningkatan harga diesel.
“Ia menggambarkan dilema yang semakin sukar dielak, pesawah perlu ikut jadual tanaman bagi mendapatkan hasil optimum tapi pada masa sama terpaksa ambil kira kemampuan sistem pengairan sehingga ke peringkat tanaman matang,” katanya.
PESAWAH BERDEPAN KOS
Sementara itu, peningkatan kos menjadi satu lagi tekanan kepada pesawah terutama bayaran perkhidmatan membajak dan menuai serta input pertanian seperti baja dan racun.
Menurut Abdul Rashid, kos perkhidmatan itu dilaporkan meningkat lebih 50 peratus musim lalu dan mencecah 65 peratus apabila digabungkan dengan peningkatan kos input pertanian.
Katanya, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada hasil jualan padi yang bakal diterima tidak lama lagi mampu bergerak seiring dengan peningkatan kos yang petani tanggung atau sebaliknya.
Baginya, isu berkenaan perlu dilihat daripada sudut kelangsungan industri dan bukan sekadar bantuan bermusim kepada pesawah.
“Keseluruhan ekosistem padi negara daripada benih sehingga beras perlu distruktur semula kerana pesawah menanggung risiko cuaca, banjir, kemarau, penyakit serta peningkatan kos input.
“Naratif bantuan kepada sektor padi juga perlu diperbetul supaya sokongan yang diberikan benar-benar sampai kepada pesawah dan membantu meningkatkan produktiviti,” katanya.
BAJA MENJADI ISU

Cabaran turut terserlah menerusi isu kelewatan Baja 3 atau baja sebatian tambahan yang berlaku di kawasan MADA baru-baru ini, sehinggakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak.
Hanya 120,000 daripada 600,000 kampit Baja 3 yang diperlukan di kawasan MADA diterima ketika tanaman memasuki peringkat kritikal Ogos lalu walaupun pesawah mula menanam sejak April.
Abdul Rashid berkata, baja tambahan perlu diberikan pada peringkat tertentu bagi membantu pembentukan tangkai serta pengisian bijirin dan jika melepasi tempoh, kesan akan dirasai pada hasil tuaian yang akhirnya mengecilkan pendapatan pesawah.
“Kelewatan baja tidak boleh dianggap isu kecil kerana input ini adalah asas yang menentukan produktiviti tanaman padi yang akhirnya memberi kesan kepada Kadar Sara Diri (SSR) beras negara.
“Jadi, kami sudah suarakan agar ia diteruskan melalui tindakan perundangan selepas pesawah rugi kira-kira RM2,800 sehektar hanya disebabkan baja lewat,” katanya.
ANCAMAN SEKURITI MAKANAN
Pengeluaran padi di Kedah bukan sekadar menentukan pendapatan puluhan ribu pesawah tetapi turut berkait dengan keupayaan negara memenuhi keperluan beras tempatan.
Sekiranya produktiviti merosot secara berterusan, jurang antara pengeluaran domestik dengan permintaan pengguna perlu ditampung melalui import.
Pengerusi Peladang Muda Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA, Aswadil Khairi Che Omar berkata, kegagalan meningkatkan pengeluaran padi tempatan akan menyebabkan negara terus berdepan keperluan mengimport beras.
“Dalam erti kata lain, setiap masalah yang berlaku di sawah boleh menjadi masalah kepada pengguna. Apabila air tidak cukup, tanaman terjejas. Kos meningkat, margin pesawah mengecil. Baja lewat, produktiviti terjejas.
“Jika hasil merosot, pengeluaran beras tempatan menerima kesan dan apabila tidak cukup, negara perlu mencari bekalan dari luar,” katanya.
PETANI MUDA MENJAUH

Keperluan tenaga kerja turut menjadi cabaran dalam memastikan Kedah bukan sahaja kekal sebagai pengeluar padi terbesar tetapi mampu mengekalkan status itu dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.
Aswadil Khairi berkata, ia tidak boleh hanya bergantung kepada pengurusan air yang lebih cekap, sistem pengairan yang mampu menghadapi perubahan iklim, penggunaan teknologi pertanian atau sistem pengagihan input yang lebih berkesan.
Namun, sebaliknya, pendapatan pesawah perlu diberi perhatian kerana kelangsungan jelapang padi bergantung kepada kemampuan generasi pesawah untuk terus mengusahakan sawah.
“Jika kerja ini semakin tidak berbaloi, sektor padi berdepan cabaran bukan sahaja faktor iklim tetapi juga kesinambungan tenaga kerja. Berdasarkan pemerhatian, kira-kira 30 peratus petani muda berundur sejak beberapa musim lalu kerana tidak mampu memperoleh keuntungan.
“Kos yang ditanggung sekarang bukan main-main, memang membebankan pesawah muda. Mereka dari usia 25 hingga 40 tahun tidak boleh jana pendapatan tetapi terpaksa tanggung hutang,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pesawah muda beranggapan adalah lebih baik mereka bekerja di sektor lain yang sudah menjanjikan bayaran bulanan berbanding menanggung hutang untuk menyara keluarga.
MASA DEPAN JELAPANG
Kedah mempunyai aset terbesar yang tidak boleh digantikan dengan mudah iaitu tanah sawah yang luas, sistem pengairan, pengalaman pesawah dan ekosistem industri yang terbina sejak puluhan tahun.
Aswadil Khairi berkata, aset itu sahaja tidak menjamin kedudukan sebagai pengeluar padi utama kekal selama-lamanya. – UTUSAN











