SESEKALI terlihat beberapa penonton menyeka air mata apabila mendengar penyanyi ini bercerita. Sesekali terdengar juga gelak tawa memenuhi ruang.
Begitulah dekatnya perjalanan hidup Bunga Citra Lestari dalam hati setiap penonton yang hadir di BCL Blossom Intimate Concert malam Jumaat lalu.
Setiap lagu dipersembahkan punya cerita sendiri. Ibarat membawa penonton melayari lautan hidupnya, Bunga juga menumpahkan pelbagai emosi. Suka, duka, tawa dan tangis dihimpun bersama.
Membuka tirai konsert menerusi lagu Sunny, Bunga cukup bijak menggunakan kreativiti dan visual yang cukup indah untuk menambahkan nilai seni dalam konsert yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Senang sekali pulang ke rumah kedua saya. Malaysia punya kenangan terindah buat saya. Saya dapat lihat banyak sekali wajah-wajah yang dekat di hati saya. Keluarga, sahabat dan peminat semua.
“Kembali ke sini adalah sesuatu yang tidak mudah. Tetapi amat saya rindukan,” katanya sebak.
Meneruskan segmen Awakening, Reborn dengan seleksi lagu Aku Tidak Sendiri, Saat Kau Pergi dan Kecewa, Bunga bercerita tentang kisah hidupnya sejak awal perkenalan dengan suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair.
“Malam ini saya akan bercerita tentang kisah seorang perempuan dengan mimpi-mimpinya. Pengalaman hidup yang penuh warna warni. Saya akan bercerita tentang saya, yang akan tertuang menerusi lagu-lagu.
“Kisah manisnya jatuh cinta. Tentang orang yang saya sayangi, cintai dan dukungi. Kisah bagaimana merasai sakit yang begitu dalam. Kisah bagaimana saya bangkit kembali dan merayakan hidup.
“Malam ini anda akan menjadi saksi, saya terus mekar. Mudah-mudahaan, semua yang hadir tidak kecewa. Harap persembahan dan konsert saya memberi memori indah untuk dibawa pulang,” ucapnya.
Membawa protegenya menerusi program realiti, X-Factor Indonesia, Danar di atas pentas menyanyi lagu Dulu dan Pernah Muda, Bunga kelihatan bersahaja tetapi tetap ada gementarnya.
Biarpun dia sudah mendunia, namun jelas terlihat jiwa hambanya. Dia santai mengemudi bahtera pelayaran, sehingga kita sendiri dapat merasai emosi yang diluahkan dalam setiap lagu-lagunya.
“Dua tiga tahun terakhir ini, adalah sebuah masa yang erat untuk kita semua dengan adanya pandemik. Kita dipaksa beradaptasi dengan apa yang terjadi di dunia.
“Buat saya secara peribadinya, sebelum pandemik saya kehilangan cinta hati. Itu adalah titik terendah dalam hidup saya.
“Bukan perkara yang mudah untuk berbicara, tetapi saya cuma mahu berbagi kenangan,” katanya yang menutup segmen pertama menerusi lagu Ingkar.
CENGKAMAN EMOSI
Memasuki segmen kedua, emosinya lebih mencengkam. Lagu-lagu yang dibawa Bunga ibarat bercerita bagaimana indahnya percintaan namun akhirnya dihempas badai sakitnya kehilangan.
Love Story, Tentang Kamu dan Wanita Terbahagia adalah bukti penyanyi kelahiran Indonesia ini merayakan warna kehidupannya dengan kebahagiaan. Dia mensyukuri pinjaman Tuhan walaupun sementara sahaja.
“Kami jatuh cinta. 2008, kami bernikah. Perkahwinan itu memberi ketenangan dalam hidup saya. Ashraf adalah sebab dan semangat untuk saya menjadi wanita lebih baik. Pada 2010, saya lahirkan Noah Sinclair.
“Ketika itu, saya merasakan hidup seperti sudah lengkap. Ada suami yang amat saya cintai dan kagumi. Ada anak yang sangat lucu. Saya rasa itu adalah momen hebat sehingga lahirnya lagu Wanita terbahagia,” ujarnya.
Kisah cinta yang membawa senyuman di wajah penonton kini bertukar sebak. Wajah Ashraf yang bermain di layar membuatkan detik masa seakan terhenti. Malah, Bunga juga tidak dapat menyembunyi kesedihan.
Saat dia menyanyikan lagu 12 Tahun Terindah, suaranya hilang. Dia menangis merindukan Ashraf. Rindu melihat wajah lelaki yang sentiasa duduk di kerusi hadapan memberi sokongan setiap kali konsertnya.
“Kebahagiaan itu tidak selamanya. Sehingga sekarang, beberapa momen ketika pemergian Ashraf sukar untuk saya ingat.
“Tetapi saya cuba mencari sesuatu di sebalik kehilangan. Saat paling menderita,” katanya yang menutup segmen kedua dengan Cinta Sejati.
BADAI TELAH BERLALU
Segmen ketiga dibuka dengan Jangan Gila dan Aku Wanita. Tampil anggun dengan busana bergemerlapan, Bunga juga membawa rakan duetnya Ariel Noah secara virtual menyanyi lagu Mencari Cinta dan Menghapus Jejakmu.
Riuh satu dewan apabila suara Ariel berkumandang. Biarpun hanya tampil secara maya, namun peminat tetap teruja dan tidak henti sorakan.
Menutup tirai konsert, Bunga menyanyikan lagu Dance Tonight dengan penampilan khas puteranya, Noah Sinclair.
Saat lambaian tangan terakhir, Bunga mengharapkan agar setiap yang hadir pulang dengan senyuman. Sebuah konsert yang cukup dekat di hati, syabas Bunga!
BCL Blossom Intimate Concert dibawakan Icon Entertainment di hadiri sekitar 2,800 penonton.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin Abdul Rahman, mencemar duli ke konsert berkenaan.
Penyanyi Anuar Zain, Mimi Lana, Syafiq Kyle dan Ella antara rakan artis yang hadir memberikan sokongan.











