Merakyatkan data perubahan iklim dunia - Utusan Malaysia

Merakyatkan data perubahan iklim dunia

Adanya maklumat menerusi MyIklim dapat mengelakkan berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat, apabila terjadinya bencana alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika ini bencana alam berlaku silih berganti bagaikan tiada kesudahan.Kejadian banjir dan tanah runtuh tidak henti-henti dilaporkan oleh pihak media yang bukan sahaja merosakkan harta benda, malah lebih menyedihkan banyak juga nyawa yang melayang.

Disebabkan itu, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia cakna mengenai perubahan iklim yang berlaku ketika ini supaya ilmu pengetahuan yang dimiliki mampu ‘menyembuhkan’ bumi sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta akibat bencana alam.

Seiring dengan kemajuan teknologi ketika ini, mencari pengetahuan mengenai perubahan iklim bukan lagi sesuatu yang mustahil.

Tambahan pula, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Kursi Kelestarian UKM-Yayasan Sime Darby (YSD) sudah pun membangunkan sistem pangkalan data MyIKLIM-One-Stop Data Curation Portal for Climate Change Research in Malaysia (MyIKLIM).

Pangkalan data yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik Bidang Tujahan Mitigasi Perubahan Iklim itu berfungsi dengan menghimpunkan segala penyelidikan mengenai perubahan iklim oleh penyelidik UKM sejak sekian lama.

MyIKLIM memberi kesedaran, pendidikan dan menyebarkan ilmu kepentingan perubahan iklim dan kelestarian sawit kepada industri dan masyarakat.

Pengurus Kursi Kelestarian UKM-YSD, Dr. Peer Mohamed berkata, melalui sistem pangkalan data itu, orang ramai boleh mendapatkan informasi mengenai perubahan iklim yang sedang berlaku ketika ini.

Sistem itu merupakan yang pertama di negara ini yang membolehkan orang ramai untuk memahami mengenai iklim dan persekitaran dengan lebih mudah.

“Memang sudah ada pangkalan data mengenai iklim di negara ini, tetapi boleh dikatakan ia agak teknikal dan hanya boleh difahami oleh pakar bidang sahaja.

“Jadi, apa yang kami lakukan sekarang adalah menghimpunkan semua penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik UKM dan letakkannya di dalam pangkalan data dalam bentuk yang lebih mudah untuk difahami.

“Bukan sahaja teknikal, kita turut menyelitkan unsur-unsur kesedaran. Oleh itu, pada masa yang sama turut mendidik masyarakat mengenai iklim dan persekitaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Projek berkenaan mendapat sokongan dana RM15 juta daripada Yayasan Sime Darby, dana ini digunakan untuk pelbagai penyelidikan dan untuk melatih pelajar menjalankan program kesedaran mengenai alam sekitar.

CELIK PERUBAHAN SEMASA
Kewujudan sistem pangkalan data sebegini membolehkan rakyat mendapat informasi yang betul mengenai kejadian-kejadian yang berlaku.

Kandungan di dalam sesawang yang boleh diakses secara terbuka oleh sesiapa sahaja itu membolehkan orang ramai mendapatkan informasi mengenai perkara yang ingin diketahui membabitkan perubahan iklim mahu pun bencana alam.

“Kalau berlaku bencana di Malaysia, rakyat boleh membaca di laman sesawang yang kami sediakan untuk tahu kenapa ia berlaku dan sebagainya.

“Malah, jika ada yang berminat atau ingin mengetahui lebih lanjut, laman web boleh menghubungkan terus dengan penyelidik-penyelidik berkaitan. Ia boleh menjadi laman sesawang yang menghubungkan dan berinformasi pada satu masa,” jelasnya lagi.

Tambah Peer, ketersediaan maklumat seperti itu juga dapat mengelakkan berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat, apabila terjadinya bencana alam.

Memandangkan ketika ini media sosial menjadi platform penyebaran maklumat secara meluas membuatkan setiap bencana alam yang terjadi mendapat perhatian ramai.

“Masalahnya tidak semua yang tersebar itu betul. Ada juga yang tidak betul menyebabkan ada yang tuduh agensi tertentu, sebagai bersalah. Jadi, sistem pangkalan data yang diwujudkan ini ingin mengelakkan salah faham sedemikian.

“Kami akan sediakan semua maklumat berkaitan yang disediakan pakar.Malah, kami juga bekerjasama dengan agensi luar untuk maklumat yang lebih sahih,” katanya.

Melalui sistem yang dibangunkan ini, diharap dapat membantu masyarakat untuk lebih peduli mengenai persekitaran dan turut mengambil berat mengenai agenda kelestarian.

KELESTARIAN INDUSTRI SAWIT
Selain perubahan iklim, kelestarian industri sawit yang merupakan antara industri terpenting di negara ini turut berada dalam agenda sama.

Kata Peer, fokus juga diberikan terhadap penyelesaian kitaran pintar bagi industri kelapa sawit.

“Penyelidik di Kursi membangunkan teknologi sisa sifar dengan bantuan kewangan dan teknikal daripada Sime Darby Plantation Research Sdn. Bhd.

“Teknologi ini membantu mengurangkan sisa dari kilang kelapa sawit dalam merawat pelepasan ke udara, tanah dan air,” katanya.

Melalui teknologi dibangunkan, bahan sisa buangan kilang ditukar kepada tenaga (gas hidrogen dan gas metana), biojisim alga dan juga kitar kembali air sisa ke kilang.

Selain itu biojisim kelapa sawit juga dirawat untuk menjadi gula ringkas sebelum di proses kepada produk lain seperti bioplastik yang digunakan dalam teknologi pencetakan tiga dimensi (3D).

Melalui projek tersebut, kumpulan penyelidik berjaya memenangi anugerah National Energy Awards 2020, dan Asean Energy Awards 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN