SAYA tertarik dengan kenyataan Pejuang Kemerdekaan Sarawak merangkap Ketua Kumpulan Rukun 13, Awang Rambli yang dipetik dari buku Rosli Dhoby dan Rukun 13 karangan Nordi Achie yang menegaskan bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan bukanlah dengan jalan berunding sahaja. Sekurang-kurangnya, ada juga orang Melayu yang berjiwa pahlawan dan berpijak atas realiti.
Acap kali bangsa kita dikatakan cukup kuat berdiplomasi dan bertolak ansur. Namun, kadangkala sikap gemar berunding dan bertolak ansur ini dilihat merugikan negara dalam pelbagai aspek.
Ada ketika itu kita kena garang, tegas dan teguh berprinsip demi tanah air sendiri. Sikap ‘terlalu baik’ inilah yang menyebabkan orang Melayu terjatuh ke lembah bangsa apologetik, berjiwa hamba, terlalu merendah diri dan mengagungkan bangsa lain.
Rosli Dhoby yang baru sahaja berusia 16 tahun sanggup menggadaikan usia muda dan kehidupannya demi membebaskan tanah air daripada dinodai oleh penjajah Inggeris berdekad lamanya. Tikaman pisau beracun Rosli Dhoby terhadap Gabenor British, Sir Duncan Stewart pada 3 Disember 1949 membuktikan betapa orang-orang Sarawak sudah letih dengan sikap tolak ansur dan berdiplomasi yang terus-menerus merugikan negara.
Para pejuang Sarawak sedar bahawa meskipun orang-orang Sarawak merasakan berdiplomasi dan bertolak-ansur itu sebagai lambang budi pekerti, berjiwa murni dan penuh ketenangan sebenarnya difahami penjajah sebagai lemah dan takut sekali gus mengeksploitasi demi kepentingan mereka. Sehingga kini, bukan mudah untuk melihat mana-mana pemimpin tertinggi negara kita dengan berani dan lantangnya mengecam mana-mana negara asing yang gemar bertindak kurang enak terhadap sempadan negara.
Mereka terlalu bersikap apologetik sehingga menangani setiap isu dan peristiwa itu dengan kaedah yang sama. Ada beberapa perkara kita perlu bertolak ansur dan boleh terus berunding dan ada perkara lain yang kita harus bertegas tanpa menerima apa-apa bentuk rundingan. Semuanya terletak pada situasi yang tepat.


ROSLI DHOBY
SINGA LAPAR
Awang Ramli, Rosli Dhoby, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong yang telah dijatuhkan hukuman mati hanya kerana ingin membebaskan bumi mereka harus diangkat sebagai antara pejuang utama kemerdekaan negara. Kisah-kisah mereka harus dicatat dan diperkatakan semula supaya generasi akan datang terus mengambil iktibar di atas perjuangan berani mati mereka yang ingin mengangkat kembali martabat negara dan bangsa.
Tarikh terbunuhnya Duncan Steward harus dijadikan sebagai hari peringatan khusus di peringkat nasional. Pada tarikh itu, stesen televisyen, media dan agensi-agensi kerajaan harus kembali memutarkan semula kisah suka-duka sekumpulan pejuang yang berakhir dengan kematian mulia.
Turkiye merupakan antara negara yang saya fikir perlu dijadikan model utama dalam berdiplomasi. Seperti umum ketahui, mereka sangat menyantuni tetamu, namun apabila berbicara tentang geopolitik, sempadan dan kepentingan negara, sikap santun bertukar 180 darjah menjadi seperti singa lapar.
Sikap ramah mereka berubah menjadi sejuk dan para pemimpin mereka dengan lantangnya akan bersuara demi kebaikan negara sendiri. Sebab itulah negara persis Turkiye perlu mempunyai seorang pemimpin yang tegas dan garang terhadap dunia luar.
Kalau diperhatikan juga, cara dan sikap kita pun sangat berpihak pada mereka. Sepanjang masa kita sahajalah yang menulis cerita-cerita baik tentang Turkiye, rakyat dan pemimpin mereka. Tapi cukup susah nak baca penulisan dan kenyataan pujian para pemimpin mereka terhadap kita.
Kadang-kadang kita tidak perasan, orang luar bukannya hormat sangat pun dengan kita. Mereka hanya ambil peluang dan kesempatan ke atas kebaikan dan sikap kita yang sukar mengguris hati dan perasaan orang lain.
Dalam berdiplomasi, tolak ansur dan ketegasan harus seiring, bukan hanya bertolak ansur sepanjang masa. Nanti bila keadaan sudah nampak semakin teruk, waktu itu nak bertegas pun sudah tidak berguna.
Orang Melayu khususnya kena ubah sikit terutamanya para pemimpin. Nak jadi pemimpin bukan perkara mudah. Setiap perkataan dan tindak-tanduk kita bakal menentukan hala tuju negara. Baik seiring dengan berprinsip akan menyebabkan negara-negara luar menghormati kita.-UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu-isu tempatan & antarabangsa.











