Rumahtangga ibarat bahtera di tengah lautan. Ada masanya bergelora. Pelbagai dugaan dan ujian silih berganti.
Kadang-kala badai menerjah menguji kesabaran dan kematangan hidup insan.
Keadaan ini menagih kesabaran dan ketenangan dalam mengharunginya.
Penyelamat paling ampuh ialah ilmu dan keimanan yang menebal kepada Allah SWT.
Minggu ini saya kongsikan kisah Azimah, (bukan nama sebenar) lambang kekuatan wanita bergelar isteri.
Di saat suami susah dan senang, wanita ini tetap setia bersama.
Kisah Azimah diceritakan sendiri oleh suaminya, Mazlan, (bukan nama sebenar) melalui kiriman emel kepada saya.
Mazlan menulis, perkongsian itu tidak bermaksud mahu membangga diri, sebaliknya sebagai tanda menghargai pengorbanan isteri sepanjang hampir 10 tahun melayari bahtera bersamanya.
Mengimbas kenangan lalu, dihina, dicaci maki bahkan direndah-rendahkan ahli keluarga sendiri, tidak membuatkan Azimah marah atau malu.
Kesetiaan Azimah masih utuh walaupun suami sering disindir tidak mungkin mampu menyediakan kesenangan kepada isteri sendiri.
Memulakan cerita, Mazlan berkata, dia bukan menantu pilihan kerana berasal dari kampung pendalaman.
Pelbagai usaha dilakukan kedua ibu bapa Azimah untuk memisahkan mereka berdua.
Namun, siapa mereka untuk menidakkan jodoh.
Akhirnya, Mazlan dan Azimah diijab kabulkan dalam satu majlis sederhana yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.
Sepanjang tempoh melayari bahtera, terlalu banyak onak dan duri terpaksa ditempuhi.
Selain masih menjadi mangsa hinaan keluarga mentua, Mazlan turut diuji apabila diberhentikan kerja pada pertengahan tahun 2014 kerana kegawatan ekonomi.
Pasangan ini turut diuji dengan keadaan anak yang sakit.
Menurut Mazlan, mereka sekeluarga pernah dihalau dari rumah sewa kerana gagal membayar sewa bulanan.
Pun begitu dia tidak pernah putus harapan. Apa juga pekerjaan yang boleh mendatangkan hasil dilakukan termasuk bekerja di pasar pagi.
Pada masa sama, Azimah mencari ikhtiar lain dengan membuat kuih.
Mazlan mengakui mereka bangkit selepas kerap diperli atas kekurangan diri.
Sepanjang tempoh itu juga, bebeberapa kali ibu dan bapa mentua memujuk agar isteri meminta agar Mazlan melepaskannya.
Namun, Azimah tetap setia disampingnya.
Mengimbas perjalanan awal menceburi bidang keusahawanan, Mazlan berkata dia beralih untuk serius dalam bidang perniagaan makanan sejuk beku selepas diberhentikan kerja.
Dengan tidak mengenal erti penat lelah mengejar kejayaan, berkat usaha gigih selama hampir lapan tahun Mazlan bangga dapat membangunkan legasi Layar Resouces di samping isteri tercinta, Azimah.
Perniagaan diasaskan sejak 2015 itu, kian rancak merencana jualan.
Apatah lagi sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada pertengahn Mac 2020, Mazlan mengakui permintaan pelanggan terhadap produknya, berlipat ganda.
Bercerita tentang, perniagaan, Mazlan melahirkan rasa syukur kerana ia berjalan dengan baik.
Tempoh PKP tidak memberi kesan besar kepada perniagaannya, kerana sebelum ini dia memang fokus kepada platform digital.
Walaupun ada beberapa kesulitan terutama dari segi penghantaran, segalanya dapat diatasi.
Hari ini pengorbanannya terbalas selepas menjadi antara usahawan berjaya di negara ini.
Dalam emelnya lagi, Mazlan menambah dianugerahkan dengan pasangan yang sanggup hidup susah senang bersama adalah rezeki yang cukup tidak ternilai dan perlu disyukuri.
Kata Mazlan bukan senang mendapatkan isteri susah senang bersama-sama, isteri sentiasa ada untuk membantu, setia disaat susah senang.
Bagi Mazlan bukan mudah untuk berjumpa dengan wanita yang sanggup susah senang bersama.
Dan atas sebab itu juga Mazlan menyifatkan isteri sebagai bidadari syurga buat dirinya.
Tambah Mazlan, tidak semua isteri mampu terus berada di sisi suami ketika susah.
Dan tidak semua suami mampu untuk terus bersama isteri ketika senang.
Itu realiti kehidupan.
Bila susah, bila suami betul-betul tidak ada apa-apa dan bukan siapa-siapa tidak semua isteri mampu untuk terus berada di sisi untuk menempuhi kesukaran itu.
Hanya yang memiliki kesabaran tinggi, yang meletakkan harapan dan sanggup mengetepikan kesenangan dunia.
Mazlan sempat menitip pesan , jika pasangan kita hari ini berjaya melalui tempoh sukar itu bersama kita, fasa kesusahan sebelum kesenangan, jangan tinggalkan dia untuk yang lebih baik lagi.
Sambil mengakui, dia juga manusia biasa. Kadang tergoda dengan ujian. Pun begitu dia cepat-cepat sedar dan kembali ke alam nyata.
Bukan semua suami mampu untuk terus bersama isteri ketika dia sudah senang, ketika memiliki segalanya.
Ada segelintir suami mula melupakan siapa bersamanya dahulu.
Dia lupa siapa yang setiap hari mendoakannya ketika keluar dari rumah setiap pagi, lupa siapa yang menyediakan makan minumnya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (An-Nisaa’: 34).
Dalam ayat tersebut Allah SWT menghimpunkan beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya taat kepada Allah SWT dan kepada suaminya dalam perkara yang baik, lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.










