SAO PAULO: Penyerang Brazil, Vinicius Junior memohon maaf kepada penyokong negaranya susulan penyingkiran Selecao pada Piala Dunia 2026, sambil berjanji akan terus berjuang untuk mengembalikan kegemilangan juara dunia lima kali itu.
Brazil tersingkir seawal pusingan 16 terbaik selepas tewas 1-2 kepada Norway dalam keputusan yang mengejutkan ramai pemerhati bola sepak dunia.
Menerusi hantaran di Instagram, bintang Real Madrid berusia 25 tahun itu mengakui kegagalan tersebut amat mengecewakan selepas segala persiapan dilakukan demi menghadiahkan kejayaan kepada penyokong dan keluarganya.
“Saya tahu betapa bersungguh-sungguhnya saya membuat persiapan, memberikan sepenuh fokus dan mengimpikan Piala Dunia ini untuk anda semua serta keluarga saya.
“Perasaan kecewa ini amat besar. Kami memiliki skuad yang cukup kuat untuk melangkah lebih jauh, namun kami gagal melakukannya. Saya memohon maaf dan akan terus berjuang demi merealisasikan impian mengembalikan Brazil ke puncak bola sepak dunia,” katanya.
Vinicius menamatkan kempen Piala Dunia 2026 dengan empat gol serta satu bantuan jaringan.
Hantaran itu turut disertakan sekeping gambar hitam putih yang memaparkan dirinya terbaring di atas padang sejurus tamat perlawanan menentang Norway sebagai simbol kekecewaan yang dirasainya.
Brazil kali terakhir menjulang trofi Piala Dunia pada edisi 2002 dan masih belum berjaya menambah koleksi kejuaraan sejak itu.
Dalam perkembangan sama, penyelaras pasukan kebangsaan Brazil, Rodrigo Caetano menegaskan pihaknya terus memberikan kepercayaan kepada pengendali dari Itali, Carlo Ancelotti, walaupun gagal membawa Selecao melangkah lebih jauh pada kejohanan kali ini.-AGENSI










