Sepanyol benam Belgium 2-1, mara ke separuh akhir

Sepanyol benam Belgium 2-1, mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026

MIKEL Merino meledak gol kemenangan Sepanyol ketika menewaskan Belgium 2-1 di suku akhir Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pemain gantian, Mikel Merino muncul wira apabila meledak gol kemenangan untuk membantu Sepanyol menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026, sebentar tadi.

Kemenangan berkenaan sekali gus mengesahkan tempat skuad kendalian Luis de la Fuente ke peringkat separuh akhir buat kali pertama sejak bergelar juara dunia pada 2010.

Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan dengan saingan sengit sehingga penghujung permainan, Merino tampil tenang menyempurnakan peluang terhidang pada minit ke-88.

Terdahulu, Fabian Ruiz meletakkan Sepanyol dihadapan pada minit ke-30, namun Belgium bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi Charles De Ketelaere.

Sepanjang perlawanan, skuad kendalian De La Fuente lebih banyak menguasai permainan menerusi hantaran pendek yang menjadi identiti mereka, manakala Belgium mengancam menerusi serangan balas pantas yang diketuai Kevin De Bruyne.

Di sebalik jaringan kemenangan Merino, barisan pertahanan Sepanyol turut wajar diberikan pujian apabila berjaya mengekang kebangkitan Belgium pada minit-minit akhir walaupun diasak bertalu-talu.

Kemenangan itu meneruskan kempen cemerlang La Roja selepas sebelum ini menyingkirkan Portugal pada pusingan 16 terbaik, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara calon pilihan untuk menjulang trofi Piala Dunia 2026.

Lebih menarik, Sepanyol masih mengekalkan prestasi konsisten di pentas kalah mati dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman yang saling melengkapi dalam setiap posisi pada edisi kali ini.

Cabaran lebih getir menanti di separuh akhir apabila La Roja dijadual berdepan Perancis yang terlebih dahulu menewaskan Maghribi 2-0, sekali gus menghidangkan pertembungan dua gergasi Eropah yang dijangka menjadi ‘final’ lebih awal.

Jika berjaya melepasi halangan Perancis, Sepanyol bakal kembali ke pentas final buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun, sekali gus membuka peluang untuk mengulangi detik gemilang yang pernah mereka cipta di Afrika Selatan pada 2010.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN