Harum Malam, impian terlaksana Remy Ishak - Utusan Malaysia

Harum Malam, impian terlaksana Remy Ishak

REMY bergandingan dengan Bront Palarae (kiri) di bawah arahan Dain Said untuk filem terbaru, Harum Malam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH lama berehat, pelakon berpengalaman, Remy Ishak bakal membuat kemunculan sulung di layar perak menerusi sebuah filem seram berjudul Harum Malam tidak lama lagi.

Remy bergandingan dengan nama-nama besar, antaranya Bront Palarae, Nadiya Nissa, Nabila Huda dan Faizal Hussein.

Dalam satu sesi fotografi yang diadakan di Utusan Malaysia baru-baru ini, Remy berkongsi keterujaannya bekerja dibawah pengarahan sutradara tersohor, Dain Said.

Peluang bekerjasama dengan Dain diibaratkan mimpi menjadi kenyataan.

“Selepas lebih 15 tahun bergelar pelakon, impian saya untuk bekerja dengan Dain akhirnya menjadi kenyataan.

“Siapa yang dapat bekerja dengan beliau memang beruntung kerana dia seorang pengarah yang istimewa. Saya pula memang lama menyimpan hasrat untuk berlakon di bawah arahannya.

“Dain pengarah yang jarang berkarya. Apabila dia muncul dengan naskhah baharu, pasti filem atau drama itu menjadi masterpiece. Alhamdulillah, saya bertuah kerana kali ini dapat bekerja dengan beliau,” kata Remy.

Dain seorang yang cukup teliti dalam menjalankan tugas pengarahannya. Perkara itu diakui Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimie Ishak yang kali pertama bekerja dibawah arahan figura tersebut.

“Dain seorang yang sangat terkenal dan dihormati oleh ramai penggiat filem dan drama termasuk saya. Namanya terlalu gah dan hasil kerjanya ditonton sehingga ke luar negara.

“Bekerja dibawah arahan pengarah hebat seperti beliau menghadirkan cabaran tersendiri. Beliau juga sangat teliti, lebih-lebih lagi berkenaan emosi dalam lakonan dan dia menuntut persembahan yang lebih semula jadi dan jujur daripada pelakon yang bekerja bawah arahannya.

“Walaupun berpengalaman dalam lakonan, saya tetap berdepan kesukaran untuk memenuhi tuntutan Dain. Saya seronok bekerja dengan pengarah seperti ini, yang cukup teliti terhadap hasil kerja pelakon,” ceritanya.
Berkongsi tentang watak yang dilakonkan, Remy memaklumkan watak tersebut memerlukan penghayatan dan pemahaman yang tinggi untuk memastikan ia dapat dihidupkan sebaik yang mungkin.

“Karakter ini mempunyai pemahaman dan minat yang mendalam terhadap tumbuh-tumbuhan. Sebab itu saya kena kaji watak ini sedalam-dalamnya.

“Ia menuntut saya menjadi pencinta flora dan fauna,” kongsinya.

Rujuk Al-Quran, hadith
Selepas berkahwin Ogos tahun lalu, tanggungjawab Remy kini lebih menjurus kepada pengurusan rumah tangga bersama isteri, Roszaliza Yusof, 38.

Kata pelakon yang diberi julukan hero malaya ini, tanggungjawab tersebut digalas berlandaskan hukum agama untuk mendirikan perkahwinan harmoni dan bahagia.

“Hal begini berkait rapat dengan ilmu agama. Al-Quran dan hadis menerangkan lebih mendalam tentang bagaimana cara seorang suami mendidik isteri supaya pasangan tersebut tidak melakukan perkara-perkara yang di luar batasan.

“Apa-apa pun, saya akan berbalik kepada al-Quran dan hadith berkaitan cara mendidik isteri dan menjaga rumah tangga kerana tugas tersebut bukan mudah apatah lagi berkait rapat dengan perasaan seorang perempuan,” katanya.

Kata Remy lagi, antara perkara yang dipelajari selepas bergelar suami adalah aspek membuat keputusan dan komunikasi antara pasangan. Katanya, perkara tersebut penting dan menjadi peranan yang perlu digalas kedua-dua pihak.

“Bila berumah tangga, komunikasi suami isteri adalah perkara yang sangat penting lebih-lebih dalam dalam membuat keputusan terhadap satu-satu perkara. Berbeza ketika hidup sebelum berkahwin di mana semua keputusan dibuat sendiri.

“Isteri saya faham kerja saya sebagai pelakon dan kerana itu, dia tidak pernah meletakkan apa-apa syarat atau menghalang saya berlakon disamping pelakon wanita.

“Dia menghormati ruang kerja saya. Dia tahu saya profesional dalam kerja saya begitu juga sebaliknya. Kami tidak pernah campur tangan dalam pekerjaan masing-masing,” jelasnya.

Populariti merudum perkara biasa

Normal bagi seorang selebriti berdepan fasa kejatuhan atau semakin kurang popular lebih-lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga atau meningkat usia.

Bagi Remy, perkara tersebut tidak memberi kesan malah dianggap perkara biasa.

“Kritikan dan pandangan, sama ada yang bersifat negatif atau positif adalah lumrah dalam kehidupan seorang artis. Secara peribadi, saya masih seperti dahulu.

“Saya tidak menolak hakikat bahawa perubahan sokongan berkurangan atau pandangan masyarakat terhadap seseorang artis itu selepas mendirikan rumah tangga, berubah.

“Perkara itu normal dan pada saya ia bukanlah satu isu yang besar. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi terhadap perubahan seperti ini,” katanya.

Pada Remy, selebriti tak mampu lari daripada menjadi tumpuan masyarakat.

Justeru, terpulang kepada individu sama ada mahu berkongsi hal peribadi atau tidak. Baginya, itu pilihan masing-masing.

“Kalau mereka pilih untuk merahsiakan maka cerita dalam kain mereka tidak akan menjadi perkongsian umum, jauh sekali diperkatakan masyarakat.

“Saya meletakkan dinding pemisah antara cerita peribadi dengan kerjaya lakonan. Saya hadir dalam industri seni sebagai pelakon, oleh itu lebih wajar saya hidangkan sahaja kerja lakonan saya berbanding hal peribadi.

“Tetapi, sebagai public figure, orang tetap akan korek cerita peribadi. Kalau sudah terdedah, terima sahaja. Itu harga yang perlu dibayar seorang yang terkenal di mata umum,” jelasnya.

Hindari publisiti murahan

Remy memaklumkan bahawa dia secara tegas menolak sebarang fahaman yang membenarkan cerita panas dan sensasi dijadikan sebagai alat untuk melariskan filem dan drama.

Baginya, kaedah itu tidak sihat dan seharusnya tidak dibudayakan dalam kalangan penggiat seni tanah air.

“Zaman sudah berubah, semakin ramai yang dahagakan perhatian lebih-lebih lagi apabila teknologi media sosial maju dan ke depan. Ramai yang mahu menjadi popular.

“Saya tidak menolak kemungkinan ada pihak yang menggunakan cerita-cerita sensasi untuk menarik perhatian. Itu hak individu.

“Tetapi, saya menolak sekeras-kerasnya sekiranya di minta untuk mencipta kontroversi bagi melariskan drama atau filem yang saya lakonkan. Ini adalah pendirian yang saya pegang sejak dahulu. Pada saya, produk berkualiti tidak perlu kaedah pemasaran murahan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN