FOTOGRAFI makro atau macro photography bermaksud mengambil gambar objek berukuran kecil dengan jarak yang sangat dekat, terperinci dan tajam tanpa menggunakan bantuan alat seperti mikroskopik.
Objek kecil seperti binatang diambil untuk mengeksplorasi pelbagai perincian, butiran dan tekstur yang tidak dapat dilihat secara jelas dengan mata kasar.
Ramai peminat fotografi ingin mengetahui cara serta teknik mengambil gambar makro selepas melihat banyak imej cantik seperti tumbuhan, haiwan dan serangga dalam majalah atau jurnal.

Bagaimanapun, fotografi makro tidaklah selalunya mudah terutamanya untuk peringkat permulaan, tetapi ia adalah salah satu genre fotografi yang paling bermanfaat yang boleh anda lakukan. Dengan teknik yang betul, anda akan dapat menghasilkan imej yang menakjubkan walaupun lokasinya hanya di belakang rumah sendiri.
Bagi jurugambar makro, Husni Che Ngah yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang makro fotografi, merakamkan gambar makro memberi kepuasan tersendiri buatnya.

Beliau mula fokus terhadap fotografi makro sejak 2013. Bermula dengan memiliki lensa makro, beliau ‘memburu’ objek-objek kecil seperti serangga dan binatang yang senang dicari di kawasan persekitaran.
Pun begitu, beliau mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlu ada kesabaran dalam mendekati subjek, selain perlu melakukan pemerhatian dalam mengetahui karektor dan habitat serta tingkah laku serangga yang dirakam.
Sebagai jurugambar makro sepenuh masa, Husni turut menyumbang hasil fotografi makro dalam penyelidikan dan buku-buku terbitan Universiti Sains Malaysia.
Buku penyelidikan Borneo Spiders – A Photographic Field Guide, Royal Belum: The Hidden Treasure of Perak, Fungi, Insects and Spiders of Merbok dan Pulau Rawa: Pearl of Johor antara sebahagian daripada karyanya. Beliau turut menyumbang gambar untuk majalah National Geographic selain memenangi anugerah foto terbaik dari Jabatan Alam Sekitar.










