Vaksin dan kanak-kanak, wajib atau tidak? - Utusan Malaysia

Vaksin dan kanak-kanak, wajib atau tidak?

Sulokchana Alagan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sama ada di Malaysia mahupun negara luar, bayi dan kanak-kanak terdedah dengan ancaman penyakit berjangkit kerana sistem imun yang rendah berbanding orang dewasa.

Bagaimanapun, pengetahuan dan kepekaan ibu bapa dalam menghadapi ancaman penyakit menjadi penentu utama tahap kesihatan anak pada masa hadapan.

Usah ambil mudah sekiranya anak demam, selesema, sakit perut mahupun batuk kerana ia mungkin petanda ia penyakit berjangkit yang membawa risiko ke arah lebih serius sehingga memerlukan rawatan segera.

Menurut Pakar kanak-kanak Hospital Pakar KPJ Batu pahat, Dr. Sulokchana Alagan, vaksin berfungsi dalam merangsang sistem daya tahan jangkitan (sistem imun) tubuh yang membentuk immuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

“Tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semula jadi bagi melindungi diri daripada jangkitan virus dan bakteria.

“Namun begitu, mekanisma pertahanan tubuh bagi daya lawan jangkitan (imun) boleh dirangsang dengan suntikan vaksin untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu,” katanya.

Pengambilan vaksin mampu menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu.

Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya bermula selepas dos terakhir setiap vaksin yang diambil mengikut jadual imunisasi ditetapkan.

Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), memberikan imunisasi secara percuma melindungi kanak-kanak daripada jangkitan tuberculosis (batuk kering), hepatitis B, disteria, pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, Haemophilus influenza type b, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan Japanese encephalitis (JE).

Keberkesanan vaksin ini tidaklah 100 peratus kerana ia bergantung kepada tindakbalas individu.

Sekiranya kanak-kanak diberikan imunisasi mengikut jadual ditetapkan, mereka akan terlindung daripada penyakit cegahan vaksin. Ertinya, sekiranya dijangkiti, kesan dan komplikasi akibat jangkitan tersebut tidak merbahaya.

“Terdapat vaksin yang memerlukan dos tambahan atau booster untuk membantu tubuh badan dalam menguatkan lagi imuniti terhadap penyakit tertentu. Dos tambahan ini perlu untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan dan memastikan antibodi pada paras tertinggi.

“Perlindungan diperolehi secara awal adalah lebih baik daripada tiada perlindungan langsung bagi kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan,” tambahnya.

Justeru, ibu bapa tidak perlu bimbang membenarkan anak-anak mereka mengambil vaksin kerana secara jelasnya pengambilan vaksin bukan sahaja dapat membantu kanak-kanak dalam mencegah penyakit yang mengancam nyawa, bahkan dapat membantu dalam menguatkan imun kanak-kanak dengan merangsang sel pertahanan, seterusnya melindungi anak dengan lebih baik untuk masa hadapan.

Mitos mengenai vaksin:

*Vaksin boleh menyebabkan autisme – SALAH

FAKTA:
Pada tahun 1998, seorang doktor British, Andrew Wakefield menerbitkan sebuah artikel mengenai kemungkinan adanya kaitan antara campak, beguk, rubella vaksin (MMR ) dan autisme. Tetapi kajian dibuktikan palsu dan Wakefield kehilangan lesen perubatannya di atas dakwaan salah laku profesional. Saintis gagal meniru hasil penemuannya malah berpuluh-puluh kajian melibatkan berjuta-juta kanak-kanak, mendapati tiada kaitan antara vaksin dan autisme.

*Vaksinasi boleh menyebabkan maut – SALAH

FAKTA:
Vaksin adalah sangat selamat. Kebanyakan tindak balas vaksin biasanya kecil dan bersifat sementara seperti sakit-sakit lengan atau demam ringan. Penyakit serius adalah amat jarang berlaku dan perkara tersebut dikaji dengan teliti. Anda mungkin akan lebih parah oleh vaccine-preventable disease berbanding vaksin itu sendiri. Sebagai contoh, dalam kes polio, penyakit ini boleh menyebabkan lumpuh, campak yang boleh menyebabkan encephalitis (radang otak) dan buta. Beberapa vaccine-preventable disease juga boleh menyebabkan kematian.

*Influenza hanya sejenis penyakit bersifat gangguan dan vaksin tidak begitu berkesan – SALAH

FAKTA:
Kebanyakan vaksin influenza menawarkan imuniti dan ia adalah cara terbaik untuk mengurangkan peluang mengalami selesema teruk yang boleh tersebar kepada orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN