Tidak mudah lari dari suami narsistik - Utusan Malaysia

Tidak mudah lari dari suami narsistik

Sikap manipulasi mewujudkan trauma bonding iaitu mangsa akan rasa takut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penghidap Kecelaruan Personaliti Narsistik (NPD) merupakan individu yang hanya berpaksikan kepada kepuasan dan kehendak diri sendiri tanpa memikirkan perasaan orang lain, waima pasangannya sendiri.

Sikap mereka yang obses terhadap diri sendiri dan berasakan mereka adalah yang terbaik dalam segala hal menyebabkan pasangan hanya mampu makan hati.

Menurut Pakar Hipnoterapi, Sharifah Fadzlin Binyahaya, NPD didiagnosis sebagai sejenis penyakit mental.

Oleh itu, suami yang mempunyai NPD adalah dikategorikan sebagai golongan yang mempunyai penyakit mental.

Walaupun kelihatan normal dan matang seperti orang lain, namun secara dalaman mereka mempunyai tantrum menyamai kanak-kanak berusia empat tahun.

“Suami yang ada NPD seringkali melakukan gaslighting iaitu tindakan manipulatif terhadap pasangan. Mereka sering memberikan kata-kata positif yang mengelirukan dan brainwash sehingga pasangan mempertikaikan kewarasan sendiri.

“Jika bergaduh dan sebagainya mereka akan mengatakan bahawa pasangan yang mempunyai masalah mental. Bila dia buat begitu isteri jangan beri tindak balas, sebaiknya diamkan sahaja,” katanya kepada Seri.

Mengenai rasional tindakan berdiam diri itu, Sharifah Fadzlin berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya amukan daripada si suami sekali gus menyebabkan perbalahan berpanjangan memandangkan salah satu ciri-ciri NPD adalah merasakan diri mereka sentiasa betul.

Namun, apabila isteri sering memendam pula akan menimbulkan kekacauan di dalam diri isteri itu sendiri akibat sering menahan perasaan.

Malah, kata Sharifah Fadzlin, isteri juga berisiko untuk mendapat masalah bipolar dan penyakit mental jika berterusan hidup bersama suami NPD.

Lebih memeritkan, tidak mudah pula untuk lari atau berpisah daripada lelaki jenis ini disebabkan sikap manipulasi yang tinggi dalam diri mereka.

“Memang kebanyakan mereka (isteri) hendak lari dari suami NPD namun boleh dikatakan selalunya 80-90 peratus gagal kerana NPD adalah sejenis sifat yang orang tidak boleh tinggal dia, kalau dia yang tinggalkan tak mengapa.

“Mereka akan mainkan sentimen agama, buat fatwa sendiri, gunakan anak dan kemudiannya akan menyalahkan isteri semula. Kalau betul hendak tinggalkan NPD, kesabaran kena tinggi.

“Sikap manipulasi mereka juga akan mewujudkan trauma bonding iaitu mangsa akan rasa takut dan rasa hendak kembali semula kepada pemangsa kerana mangsa fikir betul kah tidak boleh hidup tanpa pemangsa?,” katanya lagi.

Oleh itu, isteri yang ingin membawa haluan sendiri dinasihatkan agar mendapatkan bantuan kaunseling dan terapi supaya trauma bonding dapat diatasi.

Jika ingin bertahan pula isteri disarankan untuk bersikap sentiasa menyokong dan membodek setiap tingkah laku NPD bagi mengelakkan perbalahan.

Kekerasan boleh terjadi

Bagi kes yang kronik pula, ada NPD yang menggunakan kekerasan terhadap isteri apabila isteri bangkit dan melawan serta tidak akur dengan kehendak mereka.

Perkara itu dikongsikan Ketua Seksyen Kerjaya Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Redzuan Zamberi yang menjelaskan, kekerasan akan mula terjadi apabila isteri menyuarakan hasrat untuk bercerai.

Susulan itu, NPD akan mula berdendam kerana mereka hanya mahukan isteri yang akur dan tunduk dengan kemahuan mereka.

“Boleh jadi juga mereka ini akan merayu minta maaf dan berbaik semula, tetapi sekejap sahaja. Selepas itu mereka akan mula memanipulasi isteri semula dan mengabaikan isteri.

“NPD ini adalah manusia yang terperangkap dalam diri yang merasakan diri mereka adalah betul dan mereka ini juga berupaya untuk melumpuhkan pasangan dengan kata-kata-kata dan perbuatan mereka lakukan,” kongsinya.

Sukar mengaku
Lebih membimbangkan, kebanyakan penghidap NPD tidak sedar mengenai kecelaruan yang ada dalam diri mereka menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya.

“Jika ada yang datang jumpa pakar psikiatri pun apabila isteri sudah menuntut cerai.

“Tetapi mereka ini juga sukar menerima kenyataan bahawa diri mereka sakit dan bila menerima rawatan mereka tidak akan mengaku,” katanya yang turut berkongsikan fakta majoriti penghidap NPD adalah lelaki.

Fakta itu disokong oleh kajian yang dilakukan di luar negara yang mendapati 80 peratus penghidap NPD terdiri daripada lelaki manakala hanya 20 peratus melibatkan wanita.

Sayang isteri tapi…

Jika difikirkan semula, adakah penghidap NPD ini tidak mempunyai sedikit pun rasa sayang kepada pasangan sehingga sanggup melakukan sebegitu?

Kata Redzuan, suami jenis ini tetap sayangkan isteri namun mereka ini keliru serta berpegang kepada prinsip yang isteri tidak boleh lebih daripada suami.

“Sebab itu, dalam kebanyakan kes kita lihat mereka ini cenderung untuk memilih wanita yang kontra dengan sikap mereka dan mudah untuk dimanipulasi.

“Dengan cara itu akan memu­dahkan mereka untuk mengawal isteri mengikut keinginan mereka sendiri,” ujarnya lagi.

Siapa mahu mengaku ada masalah mental?
TAK ramai yang tahu apa itu penyakit Kecelaruan Personaliti Narsistik (NPD).

Tetapi pada masa sama, banyak pasangan suami isteri melaluinya tanpa sedar bahawa itu adalah satu penyakit.

Ia adalah penyakit mental yang mana ‘pesakit’ ini merasakan dia saja yang betul, terbaik, kagum dengan diri sendiri secara berlebihan, tidak boleh ditegur dan suka menjadi perhatian utama.

Menurut seorang peguam syarie penyakit ini selalunya dialami dalam kalangan suami.

Saya ada membaca keluhan-keluhan isteri dalam media sosial peguam syarie tersebut yang ‘makan hati’ melayan perangai suaminya seorang narsistik.

Ada yang memberitahu, pada mulanya dia memikirkan pasangannya itu jenis yang mementingkan kesempurnaan.

Tetapi makin lama hidup bersama, barulah dia tahu suaminya ada NPD, tidak boleh ditegur walaupun buat salah dan menggunakan agama untuk suaminya sentiasa ‘menang’.

Ada juga yang meluahkan walaupun suaminya meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi sesuatu perbuatan yang menjejaskan hubungan mereka tetapi selepas itu dia seperti lupa langsung apa yang dijanjikan dan mengulangi perkara sama dan isteri itu mendapat makian ‘berbakul-bakul’ hampir setiap hari.

Dan paling menarik perhatian saya, ada yang mengadu suaminya sentiasa memuji dirinya kacak dan menjadi kegilaan perempuan di luar.

Menunjuk mesej-mesej orang yang ingin menggodanya.

Dan mengatakan isterinya itu patut bersyukur, kerana dia memilihnya untuk kahwin.

Sedangkan ramai lagi perempuan yang cantik-cantik mahukan dia!

Memang berat betul kalau mendapat pasangan yang mengalami NPD ini kerana terpaksa meredah satu hubungan yang toksik.

Maka pakar kaunseling menyarankan agar pasangan ini mendapatkan khidmat nasihat atau pergi jumpa psikiatri.

Masalahnya pihak yang mengalami NPD tentu sukar sekali dibawa berbincang untuk ke sesi kaunseling kerana keegoan yang terlalu tinggi.

Merawat ‘mangsa’ NPD saja tidak selesaikan masalah.

Iyalah, orang yang ada sakit mental selalunya tidak mahu mengaku mereka ada masalah itu.

Ini adalah cabaran yang perlu dilalui oleh suami isteri yang ada penyakit NPD ini.

Perlu diingat NPD juga boleh membahayakan keselamatan mangsa termasuk anak-anak.

Memang tiada sesiapa pun mahukan perkahwinan yang membebankan emosi dan mental.

Jika masing-masing mahukan kebahagiaan, tentu ada jalan keluarnya.

Ada dua pilihan, memilih untuk terus berduka atau menamatkan kemelut itu. Itu saja.

——
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN