Segerakan penubuhan Ombudsman Malaysia

Segerakan penubuhan Ombudsman Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR perkhidmatan awam sentiasa mengalami tekanan daripada masyarakat agar memperbaiki keseluruhan prestasi, sistem penyampaian perkhidmatan awam dan tanggungjawab kepada pemegang taruh. Besar kemungkinan aduan dan rungutan yang disampaikan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dilihat seolah-olah tidak berhasil.

Justeru, satu mekanisme kawalan baharu perlu diwujudkan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat dan mengatasi defisit kepercayaan terhadap kredibiliti sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ombudsman adalah satu badan yang berfungsi sebagai platform bagi masyarakat untuk menyalurkan aduan dan rungutan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam yang menjamin integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan Institut Demokratik Kebangsaan untuk Hubungan Antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat, frasa ombudsman berasal dari Sweden yang bermaksud pembela ataupun wakil kepada rakyat. Badan ini secara sejarahnya ditubuhkan oleh Raja Charles XII di Sweden pada 1713 yang bertujuan menyelia pelaksanaan undang-undang dan memantau pembesar-pembesar khususnya para hakim, panglima perang dan penjawat awam melaksanakan tugas mereka menurut undang-undang.

Dr. Rudolf Machacek yang merupakan bekas hakim Mahkamah Agung Austria menukilkan bahawa Raja Charles XII ketika mengalami kekalahan dalam peperangan Poltava, melarikan diri dan hidup dalam buangan di Stambul selama hampir lima tahun. Baginda telah terpengaruh dengan institusi di bawah pemerintahan Khalifah Uthmaniyah yang mempunyai satu badan untuk memantau kerajaan ketika melaksanakan tadbir urus dan perkhidmatan awam.

Badan tersebut dikenali sebagai Institusi Hisbah yang bertangunggjawab dalam melaksanakan prinsip al-amr bil makruf wa al-aahyu anil munkar.

Terdapat empat bidang utama dalam institusi ini iaitu mengawal selia aktiviti perekonomian, menjaga ibadah dan perilaku yang menyalahi hukum agama, mengawal kesihatan dan mengawasi industri ubat-ubatan serta mengurus hal ehwal perbandaran dan menjaga ketenteraman bandar. Institusi ini akan memantau, menyiasat dan membetulkan penyalahgunaan kuasa dalam mana-mana bidang utama ini.

Raja Charles XII yang terpesona dengan institusi ini akhirnya menandatangani ordinan penubuhan ombudsman yang mirip dengan Institusi Hisbah di Istana Timurtasch ketika baginda berada dalam tahanan.

Pada 1809, ombudsman diwujudkan oleh perlembagaan Sweden dan kuasa untuk melantik badan tersebut berpindah daripada raja kepada Parlimen. Pembentukan ombudsman di Sweden pada zaman moden mempunyai fungsi yang masih sama iaitu memantau perjalanan Parlimen dan menyelia perkhidmatan awam dalam kerajaan.

Badan ini juga ditubuhkan di kebanyakan negara komanwel seperti Australia, New Zealand, England dan sebagainya dengan pelbagai nama seperti Pesuruhjaya Parlimen di England dan Commonwealth Ombudsman di Australia.

Penubuhan Ombudsman Malaysia bagi menggantikan BPA adalah wajar dan perlu sebagai satu usaha reformasi institusi. Faktor mendesak untuk merealisasikan penubuhan Ombudsman Malaysia ialah isu-isu besar melibatkan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban kadangkala sukar untuk dibawa ke mahkamah kerana memerlukan kos perbicaraan yang tinggi. Maka ombudsman yang dianggap sebagai badan bebas dan berkecuali mampu menjalankan tanggungjawab ini.

Faktor lain yang menyokong penubuhan ombudsman ialah kelemahan dari sudut kawalan di peringkat badan perundangan (Parlimen). Badan perundangan tidak mempunyai masa yang cukup untuk meneliti atau menyelesaikan masalah melibatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Selain itu, badan eksekutif berjaya mengawal sebahagian ahli badan perundangan kerana sebilangan ahli badan perundangan adalah orang yang sama menduduki badan eksekutif.

Oleh yang demikian, satu entiti bebas untuk mengawal tindak-tanduk badan eksekutif dari sudut integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban seperti ombudsman perlu ditubuhkan. Sekiranya gagasan idea ini dapat direalisasikan, Ombudsman Malaysia perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya berada di bawah mana-mana jabatan mahupun agensi kerajaan seperti BPA.

Implikasi penubuhan Ombudsman Malaysia ialah badan bebas dan berkecuali ini dapat meneliti akauntabiliti kewangan kerajaan iaitu menjamin keadilan sosial dan memastikan wang rakyat diguna dengan baik. Selain itu, ombudsman dapat memastikan pegawai kerajaan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan penuh integriti.

Kedudukan ombudsman juga tidak seperti BPA kerana badan ini bebas daripada badan eksekutif dan secara tidak langsung memberi jaminan kepada orang awam untuk membuat aduan dan disiasat secara telus dan terbuka. Orang awam yang biasanya menghadapi kesukaran untuk memeriksa dokumen kerajaan tidak perlu bimbang kerana ombudsman mempunyai kuasa untuk menyemak dokumen berkenaan.

Secara rumusannya, penubuhan ombudsman dan penggubalan Akta Ombudsman Malaysia perlu disegerakan sebagai satu usaha reformasi institusi. Sektor perkhidmatan awam perlu dilihat efisien dan efektif menerusi sistem penyampaian perkhidmatan awam yang menjamin integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban. Secara tidak langsung, reformasi institusi ini dapat dibuat berasaskan kepada pelaksanaan al-siayasah al-syariyyah dan menepati kehendak maqasid al-syariah.-UTUSAN

DR. Muhammad Hafiz Badarulzaman ialah Ketua Unit Penyelidikan Syariah & Undang-Undang Perniagaan Islam, Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×