BUKAN mudah bagi seorang penyanyi untuk bertahan dalam industri seni yang penuh dengan cabaran dan persaingan.
Tetapi, penghibur asal Indonesia, Afgansyah Reza mampu membuktikan kehadirannya dalam dunia hiburan bukan persinggahan sementara.
Perjalanan 14 tahun bukan tempoh sekejap. Sepanjang perjalanan itu, banyak kemanisan dan keperitan yang ditelan penyanyi berusia 33 tahun ini.
Namun, tiada istilah putus asa baginya. Melewati lebih satu dekad, Afgan tetap teguh berkarya dan terus melangkah ke tahap tertinggi.
Pada sidang media Afgan Evolution Concert KL baru-baru ini, penyanyi ini berkongsi perancangan kerjaya bagi tahun mendatang.
“Saya bercita-cita untuk membawa Konsert Evolution ini ke tempat lain. Mungkin Jakarta atau Singapura. Itu matlamat dan perancangan saya.
“Selain itu, saya mahu terbang ke luar negara untuk menghasilkan album Inggeris yang lain. Mungkin ke United Kingdom (UK) atau Amerika Syarikat (AS).
“Ada juga yang mencadangkan kepada saya agar kembali ke layar perak. Kenapa tidak bukan? Saya boleh cuba,” katanya.
Kata Afgan, dia ingin terus bermotivasi untuk mengejar impian yang masih belum kesampaian.
Justeru, anak kelahiran Jakarta ini menemukan inspirasi pada kejayaan rakan industri seperti Agnes Monica yang berjaya menempah nama ke peringkat antarabangsa.
“Kejayaan artis rantau ini di peringkat global dianggap sebagai Asian Movement yang memberi kekuatan kepada saya.
“Bermula dengan artis K-Pop, seterusnya artis Asia Tenggara. Masing-masing mencipta nama di peringkat global.
“Kejayaan mereka menyuntik motivasi untuk saya kejar impian memiliki pendengar di peringkat global,” katanya.
Hidup lebih tenang
Afgan menyifatkan 2020 sebagai tahun yang menduga. Sama seperti manusia lain, Afgan turut terkesan dengan pandemik yang hadir membelenggu seluruh dunia.
Penyanyi ini mengakui, tempoh tersebut adalah antara yang paling sukar. Gangguan mental dan emosi yang dialaminya telah membuka mata kepada hal penting yang selama kurang diberi perhatian.
“Disebabkan pandemik, saya diserang mental block. Bayangkan, selepas 13 tahun bekerja tanpa henti, segala-galanya terhenti secara mengejut. Penyanyi tidak dapat membuat persembahan dan merakam lagu.
“Lebih parah lagi apabila kita terpaksa hidup berjauhan dan berasingan kerana penularan wabak. Itu adalah tahun yang cukup sukar,” katanya.
Bercerita lanjut, Afgan bersyukur kerana diberi kesedaran bahawa mental dan emosinya pada fasa itu terlalu rapuh.
Dia lega, kerana telah mengambil langkah perlu untuk memastikan gangguan (mental) yang dihadapi tidak berlarutan.
“Saya alami burn out dan segera mendapatkan bantuan. Situasi itu menyedarkan saya tentang hal dalaman yang perlu dipulihkan.
“Saya memutuskan untuk berjumpa pakar psikiatri bagi memastikan mental dalam keadaan baik. Itu menjadi rutin bulanan yang saya kekalkan sehingga sekarang,” katanya.
Afgan bersyukur hidupnya lebih tenang sekarang. Katanya, kesihatan mental tidak boleh diambil mudah dan perlu diberi keutamaan.
“Saya lebih spiritual dan gemar bermeditasi. Kawan-kawan yang melalui pengalaman yang sama ada menyarankan kaedah tertentu untuk menjaga emosi dan mental.
“Boleh katakan, hidup saya semakin tenang sekarang,” jelasnya.
Perubahan selepas Covid-19
Penyanyi perlu menjaga pernafasan, vokal dan stamina kerana bidang kerja mereka bergantung kepada tiga perkara itu. Disebabkan itu, kesihatan adalah penting dan perlu mereka utamakan.
Ramai penyanyi sebolehnya mahu menghindari daripada dijangkiti Covid-19 kerana wabak tersebut akan menjejaskan mutu pernafasan dan suara mereka.
Namun sudah ditentukan Afgan antara yang kurang bernasib baik selepas dijangkiti wabak berkenaan sebanyak dua kali sekitar tahun lepas.
Menceritakan pengalamannya, penyanyi ini mengakui jangkitan berkenaan telah membawa perubahan besar dalam hidupnya.
“Saya tidak merasa apa-apa pada jangkitan pertama. Namun mengalami kesan yang sangat teruk sehingga jatuh pengsan apabila mendapat jangkitan kedua.
“Bayangkan selepas tujuh hari dan disahkan bebas Covid-19, saya terus membuat persembahan. Itu adalah saat yang sukar kerana diserang batuk dan gagal menyanyi dengan baik,” katanya.
Kata Afgan, banyak perubahan diri berlaku selepas dijangkiti wabak tersebut. Lebih merisaukan adalah kesannya terhadap mutu nyanyiannya.
“Vokal dan stamina saya terjejas. Tenaga juga cepat kehabisan.
“Saya tidak ada pilihan selain mencari jalan keluar daripada semua masalah ini. Alhamdulillah, semuanya terkawal sekarang,” katanya lagi.
Rawat rindu peminat
Kedatangan Afgan ke ibu negara sempena Afgan Evolution Concert KL baru-baru sememangnya dinantikan peminat di negara ini.
Selepas lima tahun, Afgan kembali merawat rindu pencintanya di Malaysia.
Ketika sidang media, Afgan ada meluahkan rasa gemuruh untuk membuat persembahan setelah bertahun-tahun tidak menghiburkan peminatnya di sini.
Bagaimanapun, pada malam itu, Afgan membawa persembahan bertenaga berserta nyanyian yang tidak menghampakan di hadapan 2800 peminat yang memenuhi Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Diiringi enam pemuzik yang diterbangkan khas dari Jakarta, penyanyi ini memukau menerusi 23 buah lagu yang dipersembahkan.
Ketika berucap di atas pentas, Afgan meluahkan kerinduan setelah lama terpisah dengan peminat di Malaysia .
“Saya rindu pada semua. Adakah kamu juga rindukan saya? Empat tahun kita tidak berjumpa. Saya sangat gembira kerana dapat lagi membuat konsert di sini.
“Malam ini saya akan nyanyikan banyak lagu, apa sahaja akan saya bawakan. Bahkan yang tidak ada dalam senarai juga akan saya nyanyikan.
“Terima kasih kerana menerima kehadiran saya di sini. Malam ini, saya ingin membuat anda gembira,” ucapnya.
Konsert yang bermula sembilan malam itu berlangsung selama dua jam setengah.
Rata-rata peminat berpuas hati kerana dapat berhibur dengan lagu-lagu kegemaran mereka seperti Jodoh Pasti Bertemu, Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Untukmu Aku Bertahan dan banyak lagi.
Afgan juga berkesempatan mendedikasikan lagu Sinaran buat penyanyi legenda tanah air Datuk Sheila Majid yang turut hadir malam itu.
Pada malam tersebut, Afgan sempat meluahkan ucapan terima kasihnya buat peminat yang selama ini menyokong perjalanan seninya.
“Sudah 14 tahun saya berkarya dan berada dalam industri muzik. Saya tidak akan dapat melangkah sejauh ini tanpa sokongan peminat Malaysia.
“14 tahun bukan perjalanan yang mudah. Andalah yang bersama saya dikala jatuh dan bangun. Saya sangat menghargai anda semua,” ujarnya.










