PETALING JAYA: Harapan pingat perak yang diletakkan di bahu beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani berkecai selepas langkah mereka terhenti di suku akhir pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi, Jepun, hari ini.
Pasangan No. 6 dunia itu terpaksa akur kepada gandingan No. 3 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 13-21, 17-21 dalam masa 29 minit di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.
Sze Fei-Izzuddin yang berusaha bangkit selepas ketinggalan 11-20 apabila berjaya mengutip enam mata berturut-turut, namun, kemaraan mereka akhirnya terhenti di mata 17 pada set kedua.
Kekalahan beregu profesional itu juga menyaksikan mereka gagal mengulangi pencapaian Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia Hangzhou di China, empat tahun lalu.
Beregu wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah menjadi wakil tunggal negara yang berjaya meloloskan diri ke separuh akhir dan pingat gangsa sudahpun berada dalam genggaman mereka. – UTUSAN











