KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia), Muhammad Hazamin Harun, berkata radio masih memainkan peranan penting dalam memastikan ekosistem nasyid Malaysia terus berkembang meskipun industri muzik kini semakin dipengaruhi oleh platform digital dan penstriman.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada stesen-stesen radio tempatan yang terus memberikan ruang kepada karya nasyid dan lagu Islamik.
“Semua ini membuktikan bahawa radio masih mempunyai peranan yang sangat penting dalam kelangsungan ekosistem nasyid Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai stesen radio yang memberikan sokongan kepada penggiat nasyid, termasuk IKIMfm yang memberikan slot khas selama tiga jam dengan menampilkan lagu-lagu Hijjaz serta kumpulan-kumpulan yang lahir daripada bimbingan mereka sempena Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah.
Menurutnya, sokongan seumpama itu bukan sekadar membantu aspek promosi sesebuah konsert, malah merupakan satu bentuk pengiktirafan media terhadap perjalanan, karya dan sumbangan artis nasyid kepada industri muzik tanah air.
Hazamin turut mengimbas sokongan yang pernah diberikan rangkaian radio Astro termasuk ZAYAN menerusi program Inteam Take Over sempena kempen Konsert Kasih Kekasih Inteam, selain peranan SalamFM yang terus memberikan ruang kepada lagu dan penggiat nasyid menerusi program carta nasyidnya.
Beliau turut menghargai stesen-stesen radio arus perdana yang meskipun tidak memfokuskan kepada genre nasyid atau lagu religi secara khusus, masih menyediakan ruang tertentu untuk karya-karya berkenaan.
“Dalam era digital dan streaming, kita mempunyai banyak saluran baharu untuk membawa muzik kepada masyarakat.
“Tetapi radio masih mempunyai kekuatan tersendiri dalam memperkenalkan karya, membina penerimaan pendengar dan menghubungkan artis dengan khalayak yang lebih luas,” katanya lagi.











