Azie bahagia keliling dunia - Utusan Malaysia

Azie bahagia keliling dunia

NORMAZIAH bersama suami, Riezman Khuzaimi mahu menghabiskan masa dengan melancong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGENALI figura wanita besi atau iron lady ini terpancar aura yang luar biasa.

Datuk Normaziah Sheikh Mohamed, 52, yang lebih dikenali sebagai Azie bukanlah nama yang asing di Malaysia.

Pakar strategi dan ahli perniagaan yang idealistik ini, adalah wanita tunggal di negara ini yang terlibat dalam perniagaan sistem paip pembuatan dan kejuruteraan.

Jolokan wanita besi selayak untuknya, lantaran terbabit dalam perniagaan didominasi lelaki menerusi, Megapadu Sdn. Bhd. syarikat pembuatan Polyethylene Fittings untuk air, gas, minyak dan industri marin.

Dua tahun lalu beliau tekad bersara dalam dunia perniagaan demi merealisasikan misi mengelilingi dunia bersama suami, Riezman Khuzaimi, 52, selepas lebih tiga dekad terbabit dalam dunia perniagaan.

“Hidup ini mesti ada gol dan gol saya mahu pencen pada umur 50 tahun. Saya tidak mahu bila lutut dah sakit, barulah nak settle down dan makan angin.

“Anak-anak juga sudah dewasa dan mengambil alih perniagaan saya. Perniagaan ini bukan bisnes kecil. Mereka perlu betul-betul mahir dan bersedia sebelum terjun ke dunia perniagaan.

“Anak sulung saya kini umur 35 tahun bersama suami akan uruskan beberapa syarikat, manakala anak yang lain juga sudah mulakan perniagaan sendiri,” katanya kepada Seri.

Pemenang anugerah Wanita Ikon 2007 anjuran Majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) ini tidak menyangka anak-anak tidak mahu mengambil jalan mudah dalam menumpang dan mengecapi kekayaan atas usaha pengorbanan beliau sebagai ibu.

“Anak suruh saya habiskan sahaja duit yang ada. Bagi mereka, saya sudah besarkan mereka dengan cukup sempurna dan tiba giliran mereka pula membalas jasa.

“Mereka beritahu, ‘biar kami buatkan mummy berbangga pula’. Macam mana mereka lihat ibu saya berbangga dengan kejayaan saya, begitu juga mereka. Saya sangat terharu apabila anak-anak sangat menghargai pengorbanan saya. Daripada nobody, mereka juga mahu begitu. Kini, mereka ingin buktikan boleh berjaya seperti saya,” katanya.

AIR MATA IBU PEMBAKAR SEMANGAT
Mengimbas kembali kesusahan keluarganya sejak kecil membuatkan beliau berazam untuk berjaya. Bagaimana beliau mengasihi ibunya, begitu juga anak-anaknya yang mengidolakan beliau. Ia satu kebanggaan.

“Saya berasal daripada keluarga susah. Ibu bapa saya bercerai dan ibu menjadi ibu tunggal. Setiap malam sebelum tidur di rumah setinggan berdindingkan papan, saya dan ibu akan menangis bersama-sama.

“Air mata ibu seperti minyak tanah itulah yang bakar semangat saya. Saya ingin berjaya, sebab nak pastikan ibu saya gembira.

“Ketika umur 17 tahun, saya terfikir mahu membantu ibu. Saya berkahwin di usia mentah dengan bekas suami yang berusia 35 tahun ketika itu. Kononnya mahu keluar daripada kesusahan sebab ada yang dapat membantu. Ibu pada awalnya tidak mengizinkan tetapi meletakkan syarat saya perlu habiskan tingkatan lima dan sambung belajar di private school untuk habiskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Misinya untuk menumpang hidup dengan bekas suami kecundang gara-gara tidak mendengar kata ibunya.

“Saya cuba bertahan sehingga dua orang anak, kemudian lahir anak kedua ketika saya 21 tahun. Selepas beberapa bulan bersalin, saya angkat kaki bawa anak-anak saya sehelai sepinggang dengan RM300 dalam poket ketika itu hasil kerja sebagai kerani. Duit dalam akaun bank juga kosong.

“Sebenarnya, apa yang berlaku adalah titik perubahan kehidupan saya. Jika tidak terjadinya perkara ini saya tidak akan menjadi seperti hari ini. Bahkan saya berjumpa semula bekas suami ketika anak-anak sudah besar dan beri contoh baik kepada mereka.

“Saya ucap terima kasih. Pengalaman bersamanya itu menjadikan siapa saya hari ini,” katanya.

DARI KECANTIKAN KE PERNIAGAAN PAIP
Wanita kelahiran Johor Bahru, Johor ini berkata, beliau bertatih dari satu tangga ke satu tangga untuk menceburi bidang yang diminatinya kini.

“Selepas bercerai saya sambung pengajian diploma dalam bidang kecantikan selama dua tahun di Beauty College England sebelum ditawarkan menjadi beautician di Kayla Beverly Hills sebuah, jenama Amerika Syarikat (AS) yang sangat popular ketika itu.

“Saya bekerja di situ daripada zero, tiada pekerja lain, sayalah yang buat marketing dan segala-galanya sehingga menjadi manager.

“Saya berhenti pada umur 25 tahun dan mulakan bisnes salon kecantikan di Pandan Indah. Disebabkan saya pernah urus syarikat yang besar maka bisnes yang saya mulakan ini ibarat celah gigi sahaja. Saya buka salon tanpa membuat pinjaman bank. Duit simpanan RM30,000 dikumpul daripada umur 21 tahun saya gunakan sebaiknya,” katanya yang juga membuat sewaan pakaian wanita dan baju pengantin kemudian mengembangkan perniagaan dengan berjinak-jinak dalam jualan perabot.

Pada usia 28 tahun, ketika pembukaan kedai perabot, beliau diperkenalkan oleh ibunya dengan seorang lelaki dan berkahwin untuk kali kedua.

Perkahwinan yang hanya bertahan selama 14 tahun itu banyak mengajarnya memulakan hidup baharu.

Beliau kemudian menerajui syarikat Megapadu yang diusahakan sendiri setelah melihat peluang yang besar dalam perniagaan paip yang dimonopoli golongan lelaki.

“Selepas berkahwin, saya terfikir untuk buat bisnes trading dan dalam bidang kejuruteraan kerana suami ketika itu bekerja dalam bidang ini.

“Jadi, saya dapat idea untuk melakukan perniagaan yang dimonopoli lelaki ini. Plan perlukan air, jadi saya jual paip. Saya dapatkan paip dari Itali, berjumpa dengan beberapa jabatan yang berkaitan dengan air untuk belajar lebih mendalam dan tidak sangka disambut baik.

“Saya ambil peluang itu. Mereka juga teruja kerana ada wanita yang berani untuk menjadi ‘penyeri’ dalam bidang seperti ini dan Alhamdulillah bisnes yang saya usahakan ini kekal hingga ke hari ini,” katanya.

MEMPERKASAKAN WANITA
Berbekalkan perjalanan hidup, pengalaman dan kejayaan yang dikecapi inilah menjadi asbab beliau ingin memperkasakan wanita.

“Sebagai ibu, biarpun ribut taufan, jika kita berdiri teguh, anak yang memegang baju kita, dia akan selamat dan akan mengikut ibunya. Jadi anak-anak tidak akan terpesong pada gejala yang tidak betul.
“Bagi saya, menjadi seorang ibu perlu kuat, bila anak melihat dan adore dengan kita, pasti mereka akan dengar cakap ibu dan tidak akan melawan cakap seperti anak-anak saya,” katanya.

SENYUMAN ORANG ADALAH TERAPI
Azie turut aktif dalam kerja-kerja kebajikan terutama dalam membantu wanita dan ibu tunggal.

Penglibatannya dalam kerja-kerja amal, didorong oleh kepayahan dan keperitan yang pernah dilalui ketika baru hendak bermula membangunkan perniagaan dulu.

“Setiap tahun saya tidak pernah putus bersedekah dan bantu orang-orang susah. Senyuman mereka sebenarnya penawar kebahagiaan. Mendaki tangga kejayaan bukan mudah, banyak kekecewaan dan semua orang perhati kitakan lebih-lebih lagi diduga dengan suami yang tidak setia atau keluarga yang tidak suka dengan apa yang kita buat,” katanya.

BUANG EGO SUAMI ISTERI
Menjadikan kegagalan dua perkahwinan sebelum ini sebagai pengajaran, kata Azie, beliau tidak mahu lagi diuji dengan masalah rumah tangga yang tidak berkesudahan.

“Bila kita berjaya, musuh paling ketat dalam suami isteri adalah ego. Kita sendiri pun akan rasa sendiri hebat. Bila kita rasa hebat, pasangan kita akan rasa rendah dan tidak dihormati.

“Itulah punca masalah rumah tangga. Jadi, kita sebagai wanita dan isteri perlu tahu kedudukan kita manakala suami pula perlu memahami isteri kerana apa yang isteri lakukan semuanya untuk keluarga. Sebab itu penting untuk kita mempunyai pasangan yang saling menghargai satu sama lain,” katanya.

Tambah Azie, harta, kedudukan, gelaran dan pangkat menguji seseorang dalam mencari kebahagian. Sebab itu, beliau dan Riezman bersatu hati untuk menolak ego ketepi bagi memastikan rumah tangga yang dibina selama tujuh tahun ini harmoni.

“Saya berkahwin dengan Riezman, dia selebriti, saya pula ahli korporat. Saya beritahu dia, sayang, bila kita masuk pintu gate bawah sana, saya tinggalkan title datuk di luar rumah, awak pun sama tinggalkan gelaran artis di luar rumah. Bila kita masuk rumah, I adalah Azie dan you sebagai Riezman. Sekarang, kami sangat gembira dan bahagia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN