Rongak, gigi berlubang jejas kualiti hidup - Utusan Malaysia

Rongak, gigi berlubang jejas kualiti hidup

Senyuman berkeyakinan bermula dengan gigi yang yang sihat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gigi rosak beri kesan biologi, emosi dan psikososial kepada kanak-kanak. Memberus gigi dengan betul adalah antara cara menjaga kesihatan gigi agar ia kekal sihat.

Pensyarah dan Pakar Pergigian Kanak-kanak Universiti Malaya, Dr. Nurul Zeety Azizi berkata, karies gigi atau gigi berlubang merupakan salah satu masalah kesihatan paling kerap dialami masyarakat tidak terkecuali kanak-kanak.

“Gigi berlubang boleh berlaku sekiranya kebersihan dalam mulut dan pemakanan tidak dijaga dengan baik. Jadi, penting untuk ibu bapa memastikan anak-anak sentiasa memberus gigi dan mengamalkan pemakanan yang sihat setiap hari,” katanya kepada Seri.

Tambah Dr. Nurul Zeety, dalam aspek kesihatan mulut, pengurangan kuantiti gula dalam diet seharian dapat membantu mencegah masalah gigi berlubang.

“Makanan yang perlu dielakkan dalam diet anak-anak adalah makanan yang mempunyai kandungan gula tinggi seperti gula-gula, air berkarbonat dan coklat. Makanan tersebut boleh digantikan dengan snek yang lebih sihat, seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Sekiranya perlu, makanan yang tinggi kandungan gula boleh diberikan dalam kuantiti sedikit, semasa waktu makan atau meal time. Pengambilan snek secara kerap di antara waktu-waktu makan (contohnya antara masa makan tengahari dan makan malam) juga perlu dielakkan kerana ini dapat meningkatkan kebarangkalian untuk kerosakan gigi berlaku,” jelasnya.

RONGAK, BERLUBANG
Beliau turut mengakui sekiranya gigi kanak-kanak rongak, ia boleh menjejaskan keyakinan diri mereka kerana banyak kajian dilakukan di seluruh dunia mendapati masalah gigi berlubang dalam kalangan kanak-kanak boleh menjejaskan kualiti hidup mereka, termasuklah hilang keyakinan diri.

“Masalah gigi berlubang, sekiranya dibiarkan tanpa sebarang rawatan boleh merebak ke bahagian saraf dan menyebabkan rasa sakit, bengkak dan bernanah. Ini akan membuatkan anak-anak tidak boleh makan atau tidur, sekaligus mengganggu aktiviti harian mereka.

“Lantaran bentuk gigi berubah atau mempunyai perubahan warna kesan daripada gigi berlubang, ia akan menyebabkan anak-anak malu bergaul dengan rakan sebaya. Masalah ini sering dilihat pada anak-anak yang sudah mula bersekolah,” katanya.

BERUS GIGI SESUAI
Kanak-kanak perlu didedahkan dengan tabiat memberus gigi seawal umur enam bulan atau pada ketika gigi pertama mula tumbuh.

Pemilihan berus gigi tepat, amat membantu mereka memberus gigi dengan baik.

“Pilih bulu berus lembut bagi mengelakkan mencederakan gusi. Malah ia lebih fleksibel dan dapat memberus ke kawasan yang sukar dicapai.

“Pilih berus gigi mempunyai grafik atau ilustrasi animasi yang dapat menarik perhatian anak-anak, sekaligus dapat memberi kesan positif terhadap tabiat memberus gigi,” ujarnya.

Tinjauan di Jordan Asia Pacific Sdn. Bhd., 97 peratus peserta menggunakan berus gigi yang sesuai mengikut umur anak-anak mereka, manakala 62 peratus peserta menyatakan mereka menukar berus gigi anak mereka setiap tiga bulan.

Ia menunjukkan bahawa ramai ibu bapa sedar betapa pentingnya penjagaan gigi yang betul untuk kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN