IPOH: Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa sebarang penyebaran ajaran yang meragukan dan disyaki menyeleweng daripada agama Islam sentiasa dipantau rapi oleh pihak berkuasa agama.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setiap aduan atau maklumat berkaitan penyebaran fahaman berkenaan akan disiasat oleh pihak berkaitan dan setakat ini keadaan di negeri ini masih terkawal.
“Ada (kes yang dikesan di negeri ini) tapi saya tidak dapat memberikan angka. Kita memang tahu (kewujudan fahaman tersebut) namun ia masih dalam kawalan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, sebarang penyebaran fahaman yang bercanggah dengan agama Islam sentiasa dibincangkan dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikannya, dengan laporan berkaitan disalurkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Mufti Perak.
Malah katanya, Sultan Perak selaku Ketua Agama Islam negeri turut mengambil maklum perkara itu apabila beliau bersama Pengarah JAIPk dan Timbalan Mufti Perak telah dipanggil menghadap untuk memberi taklimat.
“Jika ada aduan daripada orang ramai berkaitan dengan sesuatu tingkah laku yang dikatakan berbeza dengan ajaran Islam, maka JAIPk dan Jabatan Mufti akan turun padang untuk buat siasatan.
“Maknanya, setiap peristiwa itu kita tahu, laporan kita tahu. Jadi nak kata kita biarkan, tidak. Memang dalam pengetahuan kita,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, penyebaran ajaran sesat di negara ini kini beralih daripada pertemuan fizikal kepada penggunaan media sosial dan aplikasi mesej tertutup.
Menurut beliau, aktiviti penyebaran fahaman sesat bergerak bebas merentasi sempadan sekali gus menyukarkan usaha pengesanan awal oleh agensi penguat kuasa.
“Kumpulan terbabit juga semakin licik apabila berselindung di sebalik program pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif dan pengajian agama tidak formal bagi menarik pengikut,” katanya. – UTUSAN










