Bayi cedera di rumah pengasuh, suami isteri direman

Bayi cedera di rumah pengasuh, suami isteri direman

Dzulkhairi Mukhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan cedera ketika berada di rumah pengasuhnya di Durian Tunggal.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menerima laporan kejadian pada pukul 11.32 pagi semalam selepas bayi berkenaan didapati mengalami kecederaan fizikal ketika di bawah jagaan pengasuh di sebuah rumah di Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami benjol pada dahi selain lebam di belakang badan sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

“Hasil siasatan awal mendapati pengasuh pada mulanya memaklumkan bahawa kecederaan itu berlaku selepas mangsa terhantuk pada lantai dan tersangkut di bawah katil ketika sedang merangkak.

“Bagaimanapun, punca sebenar yang menyebabkan kecederaan dialami mangsa masih belum dapat dipastikan kerana ia masih dalam penelitian pegawai perubatan. Mangsa kini ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Melaka untuk rawatan dan pemantauan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menjalankan siasatan sebelum menahan pasangan suami isteri itu dipercayai pengasuh mangsa.

Katanya, kedua-dua suspek warga tempatan ditahan kira-kira pukul 11.30 malam semalam di sekitar Melaka bagi membantu siasatan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tambahnya, hasil semakan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan awal air kencing juga negatif daripada penyalahgunaan dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN