PETALING JAYA: Esok rakyat Malaysia akan menentukan siapa di antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA), yang akan menawan Putrajaya dan mentadbir negara untuk lima tahun akan datang.
Namun, selepas 13 hari tempoh berkempen dan di sebalik semua gabungan mendakwa mereka sedang mendahului lawan masing-masing, penganalisis masih tidak nampak ada parti yang mampu meraih angka magis untuk majoriti mudah 112 kerusi.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir menganggap kajian atau penyelidikan dan dakwaan parti yang mendahului bukanlah cerminan keseluruhan sentimen pengundi sebaliknya hanya satu perang saraf untuk mempengaruhi rakyat.
Katanya, banyak perkara yang perlu diambil kira seperti jumlah calon seramai 945 orang, pertembungan terlalu banyak penjuru, peratusan keluar mengundi, sentimen golongan muda, undi pos dan undi luar negara serta pola pengundian seluruh negara.
“Nak dapatkan angka keramat 112 kerusi adalah agak mustahil dalam PRU15 kali ini kerana blok yang bertanding terlalu banyak, tidak seperti PRU14 yang hanya ada dua blok.
“Jika peratusan undi rendah, BN ada kelebihan untuk membentuk kerajaan secara solo. Tetapi jika peratusan tinggi, bukan sahaja BN malah parti-parti lain tidak mampu mempunyai majoriti mudah dan memerlukan kerajaan campuran membentuk kerajaan Pusat,” katanya.
Jeniri menambah, ketiadaan isu nasional yang besar mengakibatkan tiada parti yang benar-benar dominan dalam kempen kali ini.
“Sekarang tidak ada ibu kepada segala isu. Ada isu inflasi dan kos sara hidup tetapi negara lain pun hadapi masalah yang sama. Jadi, pengundi perlu memilih calon parti yang layak pimpin negara tangani isu ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.
Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan menyifatkan, hanya dua parti yang berkemungkinan besar akan membentuk kerajaan iaitu BN dan PH berdasarkan tinjauan di lapangan sepanjang 13 hari berkempen dan kajian secara atas kertas.
“Masalahnya, dua parti ini tidak cukup untuk mencapai 112 kerusi untuk menubuhkan kerajaan tapi kalau mereka bergabung sama ada dengan parti dari Sabah atau Sarawak, mungkin cukup.
“Lonjakan tenaga PH juga tidak seperti 2018, kalau nak dianggarkan jumlah crowd yang berjaya ditarik oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim memang ramai tetapi tenaga tidak sama seperti 2018, jadi boleh dikatakan BN di hadapan sedikit berbanding PH,” katanya.
Pensyarah sosiologi politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian pula enggan meramalkan siapa mendahului, namun menyifatkan kajian dan penyelidikan yang dilakukan sepanjang kempen PRU15 adalah panduan kepada pengundi untuk memilih parti pada hari mengundi.
“Namun, jika dalam kajian itu mengatakan parti tertentu mendahului, jangan terlalu yakin dan sama juga dengan parti yang dikatakan ketinggalan. Peratusan keluar mengundi yang akan menentukan keputusan PRU15 nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, peratusan keluar mengundi yang tinggi tidak mampu memberi jaminan bahawa satu parti berupaya membentuk kerajaan secara solo.
Hal ini kerana katanya, pecahan undi berlaku khususnya di 70 kawasan majoriti Melayu apabila persaingan sengit antara BN dan PN sekali gus menyebabkan masing-masing memperoleh peluang sama rata manakala PH berpeluang cerah di kawasan bandar.
“Sekiranya peratusan keluar mengundi rendah, tidak mustahil keadaan seperti mana berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor berlaku semula dalam PRU15 dengan BN boleh menang dengan selesa.
“Namun berdasarkan tinjauan kami, peratusan mengundi dijangka meningkat setelah pengundi muda khususnya teruja keluar mengundi untuk pertama kali,” katanya.
Pengarah Program Merdeka Center, Ibrahim Suffian menjelaskan, keterujaan parti untuk membuat ramalan penguasaan kerusi tidak memberi sebarang makna kerana terdapat ramai pengundi senyap yang boleh menyebabkan keputusan berbeza berbanding jangkaan awal.
Katanya, sehingga kini terdapat 10 hingga 12 peratus pengundi muda masih belum membuat keputusan untuk memilih calon dan parti sekali gus menyebabkan sukar menjangkakan pihak manakah mara ke depan setakat kini. -UTUSAN










