Pendidikan merupakan hak asasi setiap manusia tanpa mengira bangsa, agama mahupun status.
Hanya dengan pendidikan dapat membuka lembaran baharu kepada kehidupan terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan atau terpinggir.
Ruksana Nur Mohamad, seorang remaja berstatus pelarian Rohingya membuktikan pendidikan mampu membawa perubahan biarpun kepada golongan sepertinya.
Gadis berusia 18 tahun yang juga pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu berjaya memiliki pencapaian akademik, kemahiran dan penguasaan bahasa yang baik. Beliau kini ditawarkan menjadi pembantu guru di pusat bimbingan alternatif, Refugee Intellectual Skills & Excellence (Rise), untuk mengajar anak-anak Rohingya lain, kemahiran membaca dan mengira.
Kata Ruksana, ilmu yang dipelajari itu bukan sahaja meluaskan pengetahuan, malah turut membantu dirinya untuk lebih berkeyakinan ketika berkomunikasi dengan ramai orang. Beliau kini berkemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
“Saya rasa sangat bersyukur dan bertuah kerana diberi peluang untuk menuntut ilmu di Rise. Banyak ilmu saya pelajari di sini. Rise bukan sahaja membantu saya meningkatkan kemahiran berbahasa, malah saya turut berpeluang mempelajari kemahiran lain seperti sulaman dan membuat kek serta pastri,” katanya.
Ruksana menetap di Malaysia bersama ibu, ayah dan tiga orang adik-beradiknya pada 2013.
Ketika umur 14 tahun, ibu bapa Ruksana membuat keputusan untuk mendaftarkan Ruksana di Rise yang juga merupakan sebuah sekolah di bawah seliaan Islamic Relief Malaysia yang ditubuhkan pada Februari 2017.
Pencapaian dan kisah inspirasi Ruksana bukan sahaja boleh dijadikan contoh buat pelajar lain, malah mampu menjadi pembakar semangat kepada anak yatim serta komuniti pelarian bahawa status bukan penghalang untuk mereka menggapai cita-cita.
“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana diberi peluang kembali berbakti kepada komuniti sendiri.
“Saya mahu lebih ramai lagi anak-anak yang berstatus seperti saya berjaya mencipta kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.
“Terima kasih guru dan juga para penyumbang yang membantu memastikan Rise terus beroperasi sehingga kini. Semoga Allah membalas segala kebaikan dengan sebaik-baik ganjaran,”ujarnya lagi.
Kerjasama NGO & Sukarelawan
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Siti Fadilah Mohamad Hood berkata, kerjasama antara agensi berkenaan bersama sukarelawan khususnya dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sudah terjalin sekian lama.
Ia selari dengan visi badan itu untuk mewujudkan dunia prihatin, dengan mengajak masyarakat untuk bersama, bersatu meringankan penderitaan gologan memerlukan.
“Apabila kita bercakap mengenai kemajuan sesebuah negara, kita pastinya tidak akan lari dari turut membincangkan mengenai kebolehmampuan generasi muda kita untuk mencorak masa hadapan negara.
“Justeru, Islamic Relief sentiasa terbuka dan mengalu-alukan penglibatan golongan muda untuk sama-sama menyumbang tenaga dan idea dalam kerja kebajikan dan kesukarelawanan.
“Kami juga menyokong pandangan ilmuan dan pendidik di IPT bahawa negara kita tidak hanya memerlukan generasi muda cemerlang dalam akademik, malahan kita mahu mereka turut dilengkapi dengan pelbagai kemahiran insaniah lain serta memiliki nilai empati yang tinggi,” katanya.
Antara usaha sama yang pernah dijalankan adalah kejayaan membina sistem perpaipan yang bersistematik dari telaga ke kawasan kediaman, masjid dan tanaman penduduk di Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu.
Selain itu, mereka turut mengusahakan pengumpulan dana bagi membantu projek membekalkan air bersih di Somalia, sumbangan tenaga bagi aktiviti pembersihan rumah penduduk terjejas banjir di sekitar Lembah Klang dan sebagainya.
Didik diri
Sementara itu, pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohamad Adam Lai Abdullah, menjelaskan, banyak pengalaman berharga ditimba menerusi penglibatannya dalam kerja-kerja sukarelawan bersama NGO.
“Apabila terlibat dengan kerja-kerja di lapangan, saya dapat belajar secara praktikal tentang cara berkomunikasi dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.
“Ia memudahkan saya untuk lebih memahami ilmu-ilmu teori yang saya pelajari di dewan kuliah. Saya juga dapat menambah rangkaian kenalan dalam kalangan individu juga golongan professional,” katanya ditemui pada program Hari Keusahawanan Pelajar di Rise, Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Adam turut bersetuju bahawa penglibatan mahasiswa dalam kerja kebajikan dan kesukarelawanan dapat memberi nilai tambah bagi mereka serta membantu menggilap bakat serta kemahiran yang ada.
“Dalam arus kemodenan dunia saat ini, anak muda seperti kami perlu terus kuat membina jati diri agar tidak rapuh dipengaruhi anasir-anasir negatif yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat, khususnya anak muda Islam,” katanya.









