MUKADIMAH
AMARAN dikeluarkan Bank Dunia terhadap situasi ekonomi global yang dijangka berdepan kemelesetan tahun depan selepas tindakan bank pusat seluruh dunia menaikkan kadar faedah serentak.
Tindakan ini semestinya memberi kesan kepada rakyat di negara ini walaupun selesai tempoh genting bagi melaksanakan proses demokrasi dalam menentukan hala tuju negara.
Tanggungjawab berat bakal digalas kerajaan baharu yang dibentuk sebaik tamat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi memastikan ekonomi yang menjadi tunjang kesejahteraan rakyat dipertingkatkan.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah bekas Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) DR.NUNGSARI AHMAD RADHI dan bekas Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, DR. MUHAMMED ABDUL KHALID bagi mendapatkan pandangan. Turut membantu jurufoto, Fauzi Baharuddin dan Mohd. Farizwan Hasbullah.
MINGGUAN MALAYSIA: Dengan hutang mencecah RM1.045 trilion atau 63.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), adakah kerajaan baharu perlu lebih berhati-hati dengan perbelanjaan?
NUNGSARI: Ada tiga perkara yang perlu dilihat. Pertama, kalau dilihat pada manifesto semasa berkempen sebelum ini, banyak bercerita berkenaan pelan jangka pendek berkaitan jaringan keselamatan sosial untuk membantu mereka yang terkesan termasuk usahawan dan isi rumah. Itu memang perlu.
Akan tetapi sangat sedikit bercerita tentang kedudukan kewangan dan fiskal kerajaan. Kedudukan fiskal sekarang teruk. Selama 22 tahun belanjawan defisit, pinjam duit sehingga mencecah sampai RM1 trilion. Selepas itu hasil kerajaan semakin lama turun sehingga sama dengan kos operasi. Duit yang ada perlu bayar pencen dan gaji kakitangan awam sehingga hendak buat pembangunan pun perlu meminjam.
Perlu dilihat kerajaan baharu nanti bagaimana mahu mengubah ke arah ekonomi yang lebih baik. Sekarang ini banyak yang cakap berkenaan gaji rendah. Gaji kelas menengah pun RM2,000 lebih manakala pendapatan isi rumah kira-kira RM6,000. Pertumbuhan ekonomi pun tidak serancak tujuh ke lapan peratus. Jadi, ini masalah struktur dan perlu diselesaikan untuk jangka panjang. Yakinkan pelabur dan wujudkan firma berdaya saing dengan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi. Selain itu, perbelanjaan juga perlu dilihat dan perlu ada langkah penjimatan.
Adakah tahun 2023 dilihat masa sesuai untuk menjana pendapatan daripada sumber baharu seperti memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau cukai lain?
Itu kerajaan kena fikirlah. Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan GST merupakan cukai penggunaan. Masalahnya, kedua-dua cukai ini pukul sama rata termasuk kepada golongan berpendapatan rendah.
Seandainya GST mahu dikenakan, kerajaan tidak boleh ‘tinggal’ orang susah. Contoh, kalau golongan berpendapatan rendah dikenakan GST dan tiada pengecualian, mereka perlu diberikan kredit atau tunai balik.
Selain itu, boleh dilaksanakan cukai keuntungan modal. Saya bagi contoh, orang berpendapatan RM10,000 dikenakan cukai tapi saya yang hanya ada saham dan dapat duit RM10,000 tidak dikenakan cukai. Kadarnya nanti boleh dilihat pada kadar turnover saham nanti, pasarannya berapa dan jual beli saham itu juga boleh dikenakan cukai.
Kerajaan juga mungkin boleh kenakan cukai capital gain property (CGT) untuk yang jual beli rumah. Dia beli dan kemudian jual balik atau untuk pelaburan. Mereka ini wajar dikenakan cukai.
SISTEM SUBSIDI
Reformasi sistem subisidi dengan menyemak semula subsidi seperti harga minyak, adakah ia wajar?
Reformasi subsidi bermakna kerajaan berbelanja amaun yang sama tetapi manfaatkan kumpulan sasar dengan lebih. Ataupun kerajaan kurangkan subsidi tanpa menjejaskan kumpulan sasar. Sebelum ini kerajaan mengakui mereka memperuntukkan sebanyak lebih RM80 bilion untuk subsidi. Tapi sebahagian besar akan untungkan siapa? Sudah tentu T20. Sekiranya ia diperbetulkan sudah tentu dapat diberikan kepada B40 dan sampai kepada golongan sasar.
SIMPANAN KWSP
Seperti kita tahu tabungan swasta jatuh akibat Covid-19 dan tidak menjamin keselesaan persaraan kira-kira 50 peratus rakyat. Apakah cara terbaik yang boleh dilaksanakan untuk bantu KWSP tambah pendapatan?
Sudah tentu kerajaan perlu bantu. Namun saya sasarkan bantuan bukan mereka bergaji RM10,000 dan ke atas yang membuat pengeluaran. Bagi saya orang bergaji tinggi dan keluarkan duit KWSP untuk beli saham mereka tiada masalah. Tapi bagaimana yang bergaji RM3,000 dan ambil duit simpanan itu? Kerajaan perlu wujudkan langkah lain untuk golongan ini dan bukannya ‘cuci tangan’ atau melayan semuanya sama rata. Mungkin kerajaan boleh beri kredit pada cukai untuk satu tempoh.
Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka naik lagi tahun depan. Bagaimana Dr. melihat perkara ini jika benar-benar terjadi?
Kita terperangkap teori mengetatkan dasar kewangan disebabkan berlakunya peningkatan permintaan yang melebihi penawaran sehingga menyebabkan inflasi. Akan tetapi adakah fenomena ini ada di negara kita? Kita punya kenaikan harga bukan disebabkan permintaan terlampau tinggi sehingga berlaku inflasi. Itu berlaku di AS.
Apabila ringgit jatuh masalahnya benda di import terutama makanan jadi mahal, berlaku inflasi. Harga barang naik dan kesan kepada pelbagai produk. Untuk menahan aliran keluar terlalu teruk sehingga menjejaskan kadar pertukaran ringgit dengan dolar, Bank Negara Malaysia (BNM) turut naikkan OPR untuk pastikan perbezaan dengan mata wang dolar tidak terlalu jauh. Tapi masalahnya, pinjaman rumah dan pelbagai lagi sudah tentu naik. Jadi kita terperangkap. Kos pinjaman kerajaan turut naik.
Di AS tidak mengapa mereka mahu kawal ekonomi. Tapi Malaysia? Kita perlu buat persiapan kalau ekonomi dunia menguncup lagi pada 2023. Kerajaan kena rancang sesuatu. Sebab itu, projek mega perlu dihentikan dulu. Kawal perbelanjaan.
Adakah wajar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) antaranya Felda atau entiti perniagaan seperti Sime Darby membantu kerajaan untuk pastikan keselamatan makanan terjamin?
Takrifan perlu jelas. Badan berkanun seperti Felda, Tabung Haji bukan syarikat. Mereka ditubuhkan oleh Akta Parlimen demi matlamat dasar tertentu. Mereka ada membentuk syarikat dan syarikat tersebut bolehlah kita panggil sebagai GLC. Akan tetapi syarikat swasta tersenarai seperti Sime Darby, Maybank dan Telekom adalah syarikat bermotifkan komersial demi membuat keuntungan agar boleh membayar dividen kepada pemegang saham termasuk dana seperti KWSP, Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Dana ini juga ditubuhkan Akta Parlimen untuk tujuan tertentu. Bukan dana kerajaan.
Syarikat swasta yang mempunyai pelaburan daripada dana ini bukanlah GLC. Mereka syarikat komersial yang membuat untung untuk pemegang saham. Ada pemegang saham mereka adalah dana statutori. Tidak menjadikan mereka GLC. Badan berkanun boleh mempelopori apa-apa dasar kerajaan jika ia ada berkaitan. Felda ada tanah dan boleh menimbangkan mempelopori pengeluaran makanan.
Namun, Sime Darby syarikat swasta yang mana keputusannya dibuat oleh lembaga pengarah dan pemegang saham. Kalau untung tentu mereka memasuki bidang tersebut.
GAJI MINIMUM
Adakah wajar kerajaan baharu melihat semula gaji minimum RM1,500?
Sekarang siapa bayar gaji ini? Majikan bukan? Kalau boleh majikan sebenarnya mesti hendak kurangkan lagi gaji. Isu pendapatan perlu dibuat secara perlahan-lahan. Kita ada matlamat tapi tidak boleh terus suruh syarikat bayar dengan harga yang mereka tidak mampu.
Paling penting garis paras kemiskinan dan gaji minimum perlu ada jurang dengan mengambil beberapa perkiraannya.
Kita tidak mahu bila ditetapkan gaji minimum nanti, mungkin ada majikan yang ambil pekerja dengan kelayakan tinggi walaupun bidang tersebut tidaklah memerlukan sijil. Contoh sekarang pun sudah ada. RM1,500 gaji minimum. Ada majikan fikir lebih baik ambil pekerja yang ada diploma. Ia sekaligus merendahkan gaji graduan. Nasib yang bukan graduan pula bagaimana? Itulah yang berlaku sekarang.
Saya ambil contoh paling mudah. Sewaktu saya mula-mula menjadi pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok dulu iaitu tahun 1985 menerima gaji lebih kurang RM1,400 lebih sikit.
Jadi pada masa sekarang adakah gaji graduan masih lagi RM1,500? Ada sesuatu yang tidak betul dalam kita menguruskan ekonomi.
Sepatutnya tahun 1985 gaji RM1,500, selepas itu naik tiga peratus setiap tahun dan sekarang sudah tahun 2023. Ini bermakna gaji permulaan untuk lepasan graduan pada masa sekarang lebih kurang RM 4,000 lebih sikit. Dengan sebanyak itu kuasa membeli macam dulu dan dikira cukup.
Ekonomi negara belum pulih
Adakah yang perlu dilaksanakan kerajaan baharu untuk meningkatkan ekonomi negara?
MUHAMMED: Perlu diakui bahawa ekonomi negara belum pulih. Kita dengar baru-baru ini ekonomi naik 14 peratus. Ya ekonomi berkembang tapi sebelum ini kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Siapa pun tidak keluar rumah. Lagipun kita masih belum pulih sebab pertama, gaji rakyat masih rendah ketika ini berbanding 2019. Gaji belum pulih. Kalau orang Melayu gaji kurang kira-kira 15 peratus iaitu RM300 berbanding 2019.
Selepas itu orang hilang kerja sekarang kira-kira 600,000 orang. Sebelum Covid-19 pun sudah 450,000. Jadi sektor buruh masih lemah, tidak pulih dengan kadar pengangguran sekarang masih tinggi berbanding 2019. Justeru kalau nak ingat kita pulih, sebenarnya belum. Bermaksud bantuan perlu diperbaharui untuk rakyat. Justeru apa yang boleh kita buat?
Pertama, kita perlukan pendapatan untuk berbelanja demi rakyat. Sekarang kita dengar banyak yang kata nak buat GST. GST tanpa ada pembaharuan cukai lain adalah tidak adil kerana GST lebih menekan termasuk kepada orang susah.
Ini bermaksud untuk kerajaan baharu ini jangan tekan orang susah dan dalam masa sama bukan tekan orang kaya. Cukai mesti adil. Kalau buat buat GST kena buat juga cukai modal atau cukai dividen. Kita boleh buat tanda aras, kalau dividen kurang 100,000 dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau KWSP, jangan cukai. Tapi yang lain harus dikenakan.
Kalau saya kerja dapat gaji RM100,000 saya perlu bayar cukai tapi kalau untung dividen RM100,000 dalam jumlah sama, saya tidak dikenakan cukai sedangkan kita semua dapat jumlah sama. Cukai perlu adil. kalau buat GST tanpa cukai lain ini menekan orang susah.
Yang kedua pula, apabila sudah ada pendapatan daripada cukai, jangan membazir terutama bantuan diberikan tidak sampai kepada orang memerlukan. Banyak yang cakap mahu memperbaharui subsidi. Itu benda betul dan harus dilakukan.
Saya beri contoh mudah. Kalau ada berpendapatan RM1,000, subsidi untuk minyak petrol untuknya kira-kita RM16. Kalau seseorang itu berpendapatan RM10,000 dengan subsidi dia kira-kira RM10,000. Namun caranya perlu dibuat dengan bermaruah. Tidak perlu buat kad kerana melibatkan kos. Bantuan subsidi perlu diberi melalui akaun bank. Mungkin ada segelintir membazir, beli rokok atau lain-lain. Lagipun berapa kerat membazir kerana majoriti orang susah memang gunakan ke arah kebaikan.
Ketiga, cabaran sebelum ini akibat Covid-19. Tapi masalahnya polisi kerajaan terdahulu nak tolong ekonomi kita dengan korek tabung sendiri tanpa tahu kesan akan datang. Walhal rata-rata orang Melayu sekarang 50 peratus ada yang simpanan tidak sampai RM4,000. Jadi, bantuan orang tua apabila pencen harus dilihat dan bantuan selepas bersara terutama kepada pesara yang berada di bawah paras kemiskinan.
SUBSIDI BERSASAR
Bagaimana dengan keperluan data seandainya pemberian subsidi bersasar dilaksanakan?
Kalau untuk subsidi bersasar tidak susah sebab kita ada data yang banyak. Sekarang pun ada 19 sehingga 20 data daripada pelbagai agensi. Kalau pendapatan bawah RM3,000 kita beri bantuan tunai dalam bentuk tunai untuk org susah. Subsidi untuk pengangkutan petrol sebab kita tahu siapa yang dapat. Sistem harus mudah dan senang.
Apakah mekanisme terbaik bagi memastikan golongan B40 atau yang berada di bawah paras kemiskinan menerima pulangan semula selepas dikenakan GST?
Untuk bagi pulangan balik itu perkara kedua. Pertama duit tunai yang kerajaan dapat harus digunakan dengan baik. Cukai GST berbanding negara lain bukan paling tinggi dan cukai pendapatan pun bukan paling tinggi. Kalau negara lain Denmark, Sweden dan Finland, lebih kurang 50 peratus pendapatan mereka dikenakan cukai. Tapi rakyat mereka tidak banyak yang lari berbanding negara lain.
Sebab apa? Kerana ada pulangannya dan duit dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk lain. Sebagai contoh, pendidikan percuma, makanan anak di sekolah percuma dan tiada ketirisan. Duit digunakan dengan betul.
Ini tidak. Cukai dibayar tapi Kabinet ramai dan ini sudah tentu menyebabkan orang marah. Pada masa sama harga barang naik. Kedua, harga barang perlu distabilkan. Untuk yang kurang berkemampuan pula, bantuan tunai harus diberikan. Sekarang ini bantuan bukan dapat pada orang susah tapi pada golongan pertengahan dan orang kaya.
Adakah wajar melaksanakan skim gaji minimum baharu?
Gaji minimum sekarang RM1,500. Jadi berapa gaji patut diberikan? BNM dan KWSP ada buat pun kajian berapa gaji minimum diperlukan untuk hidup di ibu kota. Untuk seorang kira-kira RM2,800. Kalau nak naik terus sukar untuk syarikat. Tapi itu harus jadi matlamat kita. Ke arah living wage (sara hidup) yang dapat memenuhi kos minimum. Dan ini boleh bergerak dan dimulakan bukan sahaja kerajaan tetapi syarikat swasta termasuk GLC. Mungkin pelepasan cukai dilaksanakan ke arah living wage. Nak kata tiada duit susah juga. Gaji CEO bayaran gaji tinggi takkan gaji pekerja RM2,800 sebagai permulaan tidak boleh?
HARGA BARANG TAK TURUN
Jangkaan OPR naik tahun depan?
Sebab apa naik? Sebab yang diberikan kalau tidak naik, ringgit akan jatuh dan menyebabkan inflasi.Tapi sebelum ini kata OPR naik sebab nak kawal harga barang dan mata wang ringgit. Tapi harga barang turun ke atau mata wang ringgit naik?
Jadi apa yang boleh kita atasi? Kalau dilihat pada individu itu contoh dia ada RM100 dan di mana dia banyak belanja? Banyak pada makanan, pengangkutan, rumah dan utiliti.
Kalau harga barang, kita import hampir RM60 bilion untuk makanan. Jadi dasar makanan domestik itu penting dan harus dipertingkat. Kedua, untuk peningkatan harga barang, rasionalisasi subsidi perlu dilakukan. Tiada lagi bantuan untuk orang kaya. – Mingguan Malaysia










