Kerabu kerang bunga betik - Utusan Malaysia

Kerabu kerang bunga betik

Resipi Kerabu kerang bunga betik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUNGA atau putik betik jantan sedap dijadikan ulam. Biasanya selepas dipetik daripada pokok, bunga betik ini akan dibasuh dan direbus untuk dimakan dan dicicah bersama sambal belacan, budu atau cencaluk. Sangat membangkitkan selera dan bertambah-tambah nasi dibuatnya.

Selain sebagai ulam, putik betik ini juga sedap dibuat kerabu yang digaul bersama kerang rebus dan bahan-bahan lain. Rugi siapa belum cuba.

RESIPI KERABU KERANG BUNGA BETIK
Bahan tumbuk

5 tangkai cili padi hijau

3 cili padi merah (diracik dahulu)

5 biji lada hitam

4 batang serai (diracik)

2 sudu makan udang kering (boleh ganti ikan bilis)

2 inci lengkuas muda

Bahan utama
500 gram bunga betik (direbus hingga empuk dan lembut, toskan airnya)

¼ sengkuang (dihiris halus)

500 gram kerang (direbus dan dikupas kulit)

1 genggam tauge segar dibuang ekor

4 biji bawang merah (dimayang halus)

2 sudu makan kerisik

1 hiris limau nipis

Nota: Pastikan tos atau keringkan air bunga betik dengan tisu. Lap dengan perlahan-lahan.

Bahan kuah
⅔ cawan air asam jawa (bancuh dengan air masak)

1 cawan perahan santan segar (perah dengan air masak dan ambil perahan pertama yang pekat)

½ sudu kecil garam atau lebihkan secukup rasa

½ sudu kecil gula

Nota: Jika tiada santan segar yang diperah sendiri atau hanya beli di pasar, pastikan masak dahulu santan.

Cara penyediaan
1. Sediakan mangkuk dan masukkan bahan tumbuk dan kerisik.

2. Gaul hingga mesra. Gaul dengan sudu supaya kerabu tidak mudah basi nanti.

3. Setelah sebati dan mesra, masukkan hirisan bawang merah dan sengkuang. Gaul rata.

4. Kemudian masukkan tauge, kerang dan bunga betik. Gaul sebati.

5. Akhir sekali, tuangkan bancuhan kuah santan. Pastikan sekata, perahkan hirisan limau nipis. Siap untuk dihidang. Selamat mencuba.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN