MUKADIMAH
KEMPEN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbaki 48 jam sahaja lagi, namun Barisan Nasional (BN) sudah mengisytiharkan keyakinan akan melepasi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, Sabtu ini.
Menjawab kemusykilan kenapa wujud perbezaan ramalan beberapa penganalisis politik termasuk daripada musuh BN bahawa BN tidak akan menang melebihi 50 kerusi, Pengarah Pilihan Raya BN, DATUK SERI MOHAMAD HASAN percaya orang muda akan menjadi faktor penentu kejayaan pihaknya menawan semula Putrajaya.
Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di Rantau, Negeri Sembilan baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO itu bercakap tentang sebuah parti teras yang besar dalam kerajaan. Ini katanya bagi mengembalikan pemerintahan negara yang stabil, mantap dan kuat.
Ikuti pandangan Mohamad dalam temu bual singkat ini.
YAKIN TUBUH KERAJAAN
UTUSAN: Ada tanggapan mengatakan tiada mana-mana gabungan parti mendapat majoriti dalam PRU15?
MOHAMAD: Saya yakin BN boleh tubuhkan kerajaan. Tak tahulah (ramalan) penganalisis politik ini, sebab dia (ada) tuan punyakan? Mereka menulis, memberi pandangan mengikut selera masing-masing.
Mereka ini merupakan peramal-peramal politik, saya pengamal politik. Saya Pengarah Pilihan Raya parti, saya lihat strategi dan saya lihat setiap inci persiapan parti. Saya yakin BN akan melintasi garisan (112 kerusi).
PROFESOR DARI LANGIT
Apakah faktor-faktor menguatkan keyakinan BN?
Kalau diikutkan daripada pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN), trend orang menyokong semula BN ini sudah nampak. Betullah dulu PRU14, orang kata BN ini teruk, itulah, inilah. Betullah kita ada masalah itu dan ini serta BN gagal untuk memperjelaskan isu-isu dengan baik.
Akhirnya orang terpesona dengan bermacam-macam janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) ketika itu. Maka orang kata bagi mereka (PH) peluang untuk mentadbir kerana cara mereka bercakap itu seolah-olah mereka ini profesor dari langit. Tetapi apabila diberi peluang mentadbir negara, mereka gagal.
Boleh nyatakan kegagalan PH dalam 22 bulan?
Gagal kerana mereka menyebabkan ekonomi kita menguncup. Patutnya kita memperbesarkan (ekonomi). Yang kita (BN) melaksanakan banyak projek adalah untuk kita mengembangkan ekonomi. Bila ekonomi berkembang, maka peluang pekerjaan akan banyak wujud.
Tetapi mereka membatalkan projek-projek berimpak tinggi. Mereka menguncupkan ekonomi, maka banyaklah pengangguran. Orang tak ada kerja dan bermacam-macam lagi (masalah).
Jelas anak muda memang sudah fed up (bosan).
Kegemilangan kita yang dibina dan dimajukan selama lebih 60 tahun telah terpadam dan Malaysia menjadi sebuah negara yang tidak lagi dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Empat tahun, kerosakan telah pun dilakukan terhadap negara ini.
Sekarang ini, kita sudah jauh ketinggalan di peringkat ASEAN, kita sudah jatuh nombor lima selepas Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam. Dulu kita nombor dua selepas Singapura.
Apa penyebabnya? Tidak lain dan tidak bukan kerana negara tidak diurus dengan baik dalam masa empat tahun itu.
SOKONGAN ORANG MUDA
Yakinkah orang muda kembali menyokong BN?
Di (PRN) Johor, pertama kali pengundi 18 tahun ke atas boleh mengundi, saya kaji setiap pusat daerah mengundi (PDM) dan kawasan-kawasan yang kita menang. Di kawasan yang kita menang adalah di saluran orang muda yang dulunya kita banyak kalah ataupun kita kalah semua.
Tetapi di Johor semua kita menang. Itu sebabnya BN banyak menang di bandar-bandar. Kita menang di Larkin, Permas, Yong Peng dan Senggarang. Pekan Ayer Itam, Kluang dan Mahkota kita menang semua.
Di sini banyak anak muda, sebab dia duduk di bandar-bandar. Saya kaji apa isyarat yang mereka nak bagi. Akhirnya saya boleh rumuskan bahawa anak muda sudah fed up dan meluat.
Mereka hendakkan negara ini diuruskan oleh satu kerajaan yang stabil. Kerana kerajaan stabil sahaja dapat menggamit orang datang ke negara kita untuk melabur, membawa modal dan banyak industri akan dibuka, bukannya lari dari negara kita.
Dalam masa empat tahun terutama semasa 22 bulan (PH memerintah), industri lari keluar. Ataupun semasa 22 bulan campur 17 bulan (diperintah) Perikatan Nasional (PN), bukan sahaja pelabur luar tak datang, tetapi pelabur dalam negara yang sudah lama di sini pun, keluar mengalihkan operasi mereka ke negara jiran. Jadi, anak muda telah fed up. Di Johor mereka secara terang-terangan berikan mandat kepada BN.
Berbaloikah kembali menyokong BN?
Apabila BN menang, Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) memberi taklimat kepada saya, dalam masa tujuh bulan, mereka telah dapat RM60 bilion pelaburan baharu.
Jadi, apa maknanya? Bahawa pelabur memang hendak datang ke Malaysia, tetapi dia nak pergi ke tempat yang boleh menjamin pelaburan mereka apabila ada kerajaan yang mantap dan stabil. Dan Johor, ekonominya meningkat mendadak. Jadi, ini juga yang anak muda nak Sabtu ini.
FORMULANYA
Bukankah trend di seluruh dunia adalah mewujudkan kerajaan campuran pelbagai parti?
Sejak merdeka sehinggalah PRU13, kita mempunyai parti teras yang besar dalam kerajaan dan mendapat dua pertiga mandat dalam Parlimen. Semua itu merupakan kekuatan kita.
Itu formula dan rahsia mengapa kita dapat membangunkan negara dengan begitu cepat. Berjaya keluarkan penduduk daripada kepompong kemiskinan yang tinggi peratusannya sejak daripada merdeka, tak ada lagi orang buta huruf dan menjadi juara atau pemimpin kepada negara-negara dunia ketiga.
Negara membangun, tak lain tak bukan kerana kerajaan kita stabil, mantap dan kuat. Kita dapat membangunkan negara kerana barisan kepimpinannya merupakan pemimpin dari satu parti.
Dulu semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali pertama, dia berjaya dan dapat mentadbir negara dengan baik kerana didukung oleh satu parti teras yang kuat dan menteri-menteri Kabinet berkaliber.
Tetapi bila dia jadi Perdana Menteri kali kedua, dia tidak lagi seefektif semasa menjadi Perdana Menteri kali pertama kerana tidak menjadi Perdana Menteri kepada satu parti teras yang besar. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun cuma ada 13 kerusi ketika itu. Ada lima parti menyokong menjadi kerajaan PH. DAP paling besar, kemudian PKR, diikuti Bersatu, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Warisan (Warisan). Masing-masing menteri bila dibuat keputusan (Kabinet), mereka bukan nak buat terus sebagai dasar kerajaan tetapi terpaksa merujuk dulu kepada kepimpinan parti masing-masing.
Kerajaan PH diurus secara majlis presiden. Jadi, ini merupakan suatu keadaan yang tidak menentu dan Dr. Mahathir tidak dapat berfungsi sebagai Perdana Menteri, tidak seperti semasa beliau menjadi Perdana Menteri kali pertama. Itu sebabnya beliau, akhirnya meletakkan jawatan. – UTUSAN










