BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu dugaan dialami pengarah, Azhari Zain, 50, yang ditimpa strok sehingga membataskan pergerakan hariannya.
Apatah lagi hendak mengeluarkan butir-butir percakapan, Azhari hanya mampu memberi isyarat menerusi gerakan kepala atau hanya menunjukkan reaksi emosi seperti sedih.
Sebagai isteri, sudah menjadi kewajipan bagi Wahizatul Nureen Azmi atau mesra disapa Nureen menjaga suami yang terlantar sejak sembilan bulan lalu.
Kata Nureen, serangan itu membuatkan Azhari hilang deria rasa, selain tangan sehingga bahagian bawah tubuhnya tidak boleh berfungsi.
“Alhamdulillah, dia masih boleh mendengar, melihat dan berfikir. Kalau doktor hendak cucuk jarum, dia ada memberikan refleksi sebab sakit. Keadaan kesihatannya baik, tetapi untuk pulih semula mengambil masa.
“Sekarang suami memang tidak boleh uruskan diri dan lehernya pula ditebuk untuk memasukkan tiub bagi memudahkan pernafasan. Ia menyebabkan dia sukar bercakap, manakala bahagian perutnya ditebuk untuk diberikan susu dan ubat,” katanya.
Azhari mengalami strok Februari lalu, seminggu selepas ibunya (ibu Azhari meninggal dunia.
Berkongsi tentang kos perubatan, Nureen bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu meringankan bebannya sekeluarga.
Katanya, bantuan yang diterima sedikit sebanyak melegakan dirinya bagi menampung kos perubatan walaupun mempunyai simpanan sendiri.
“Suami pensyarah, jadi pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) banyak membantu, selain ahli keluarga, saudara-mara, rakan industri dan pelajarnya.
“Wang simpanan memang ada sebab sejak dulu, suami memang sentiasa beringat. Kos perubatan pula ditanggung UiTM.
“Namun, tidak menolak jika ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan tidak kira dalam apa bentuk pua. Saya memang terbuka dan berlapang dada sekiranya ada pihak sudi membantu kos rawatan alternatif seperti suplemen, pakar terapi, akupuntur, urutan dan perbelanjaan lain.
“Pihak zakat juga ada memberikan bantuan lampin, ubat dan tisu basah setiap bulan. Ada juga kos yang saya perlu tambah sendiri,” jelasnya.
CEKAL DEMI ANAK
Nureen berkata, dia perlu cekal dan kuat menjaga suaminya sendirian memandangkan anak sulung di asrama, manakala dua anak lain masih kecil.
“Kami ada tiga anak dan yang sulung berusia 16 tahun di asrama. Dua anak lain masih kecil berusia tiga dan lima tahun.
“Anak yang sulung setiap kali pulang akan membantu uruskan kerja rumah. Dia sangat rapat dan paling faham keadaan ayahnya.
“Anak yang lain mula-mula terkejut juga kerana masih kecil, tetapi lama-kelamaan sudah faham dan sentiasa mendoakan kesihatan ayah mereka,” kongsinya.
Ditanya memori bersama Azhari yang paling dirindui, Nureen berkata, sudah tentu dia terkenang perwatakan suami yang penyayang dan ceria bersama keluarga.
“Saya tidak akan lupa dia sebagai bapa yang penyayang dan sangat baik terhadap anak-anak. Suami juga banyak memberikan motivasi kepada pelajar ketika menjadi pensyarah,” katanya.
Sebelum ini, Azhari tidak mempunyai sejarah penyakit kronik. Namun, Februari lalu, dia mengalami angin ahmar sehingga pernah kritikal apabila saluran darah dalam otak tersumbat.
Selepas tiga bulan terlantar di hospital, Azhari dibenarkan pulang ke rumah pada 18 April lalu.
DAVID TEO AMBIL BERAT
Sementara itu, penerbit filem, David Teo, 58, sayu melihat keadaan kesihatan rakannya ketika mengunjungi kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.
David yang juga Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) memaklumkan, penggiat seni itu pernah menjalani rawatan akupuntur dan selepas itu, terdapat sedikit perubahan.
“Contohnya, dia sudah dapat mengeluarkan sedikit suara. Tetapi, hanya bunyi suara yang boleh kita dengar sebab dia tidak dapat bercakap. Sebelum ini, dia langsung tidak boleh mengeluarkan suara,” katanya.
Menurutnya, keadaan Azhari sudah banyak berubah, berbanding sembilan bulan lalu.
“Bila saya bercakap, dia menangis. Malah, ketika kami duduk berbincang pun, dia menangis. Dia hanya boleh mengangguk dan menunjukkan riak muka sahaja kepada kita.
“Dia hanya minum susu menggunakan tiub sepenuhnya,” katanya.
Kata David, tiada apa yang mampu dititipkan, melainkan nasihat dan memberi semangat kepada rakan seperjuangan yang pernah mengarahkan 10 filem di bawah MIG.
Melihatkan keadaan itu, David berkata, dia terbayang ketika Azhari sihat. Baginya, pengarah itu mempunyai pandangan sangat tegas, sentiasa positif dan disenangi kru produksi.
Antara filem yang pernah diarahkan Azhari termasuk Santau, 7 Petala Cinta, Hantu Dalam Botol Kicap, Flat 3A dan Zoo.
Azhari memulakan karier seni pada 2004, pernah menjadi penulis dalam banyak projek filem antaranya Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.
Dalam pada itu, David memaklumkan, pihak MIG ada menyampaikan sumbangan berbentuk wang ringgit bagi meringankan beban penderitaannya.
KENANGAN SANTAU
Mengimbas kenangan bersama Azhari, David berkata, dia tidak akan melupakan kenangan penghasilan filem Santau yang mencipta rekod pecah panggung dalam tempoh tujuh hari tayangan.
“Filem ini memberikan untung dan ketika itu, Azhari adalah pengarah pertama saya. Dia sangat kreatif, pantas dan cekap ketika bekerja.
“Dia sangat bersemangat dan berkobar-kobar semasa mempersembahkan idea mengenai filem itu. Kata-katanya juga penuh dengan motivasi setiap kali berbual dengan artis dan kru produksi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, David memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan filem seram baharu arahan Ungku Ismail Aziz yang dijangka ditayangkan pada tahun depan.
“Ini merupakan filem pertama arahan Ungku Ismail dan ia masih dalam peringkat pasca produksi kerana melibatkan teknik imej janaan komputer (CGI). Mungkin Januari atau Februari depan, filem ini akan ditayangkan di pawagam,” katanya.
Pada masa sama, David juga berpuas hati kerana drama bersiri Rampas Cintaku berjaya ‘merampas’ hati rakyat Malaysia selepas meraih 60 juta tontonan di platform digital.










